Monday, August 30, 2021

Karangan PT3: Punca rasuah berlaku

 Masalah rasuah di negara ini semakin berleluasa terutama dalam kalangan pegawai kerajaan.

Jelaskan punca-punca amalan buruk ini menular.


Amalan rasuah bermaksud tindakan mengambil wang secara tidak sah untuk melakukan sesuatu perkara. Isu rasuah sudah lama menjadi bahan berita dalam media massa terutamanya akhbar sehingga masyarakat sudah biasa dengan berita sebegini. Maka, pelbagai faktor mendorong amalan wang suapan ini berlaku di Malaysia.


Penyebab utama berlakunya amalan yang keji ini ialah negara ini tidak menguatkuasakan peruntukan perundangan yang ketat dalam isu ini. Perkara ini berlaku kerana setiap lapisan masyarakat meliputi pihak ahli politik, polis, dan badan kehakiman tidak memandang serius rasuah sehingga gagal meluluskan akta yang lebih ketat. Akibatnya, ramai pihak yang disyaki melakukan rasuah berjaya melepaskan diri mereka kerana undang-undang yang wujud tidak lengkap dan menyeluruh untuk menahan mereka.


Selain itu,  persepsi masyarakat yang menilai kejayaan seseorang berdasarkan pemilikan materialistik telah menjadikan rasuah sebagai duri dalam daging masyarakat. Situasi ini timbul kerana semua orang menggunakan kebendaan sebagai kayu ukur untuk menentukan kejayaan hidup individu itu. Ringkasnya, pandangan sebegini telah membuka ruang kepada semua pihak untuk mengambil rasuah supaya mereka boleh membeli kereta besar dan rumah besar sebagai tanda kejayaan hidup.


Tambahan pula, rasuah terus menular kerana tangga gaji pekerja sektor awam di negara ini begitu rendah. Kos sara hidup yang semakin tinggi telah menjadikan pekerja kerajaan rambang mata apabila ditawarkan rasuah yang bernilai ribuan ringgit itu. Sesungguhnya, gaji bulanan yang terlalu rendah telah menjadikan pekerja kerajaan sasaran utama amalan rasuah untuk berlaku dengan mudah.


Punca terakhir yang menyebabkan rasuah berlaku dikaitkan dengan kegagalan masyarakat memandang keji amalan rasuah itu. Kegagalan untuk melihat kesalahan rasuah sebagai sesuatu yang memalukan disebabkan oleh sikap masyarakat yang hipokrit dalam menjalani kehidupan harian. Lantaran itu, semua kesalahan rasuah tidak dilihat sebagai memalukan walaupun rasuah sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita.


Kesimpulannya, semua hujah tadi telah membuktikan bahawa amalan rasuah sudah menjadi serius di negara ini. Semua pihak perlu bertegas dalam mengekang amalan rasuah daripada berterusan dan bukannya setakat hangat-hangat tahi ayam sahaja. Sudah sampai masanya kita sebagai rakyat Malaysia yang berwawasan memberikan noktah terhadap amalan rasuah

No comments:

Artikel Pilihan

Karangan UASA: Cara-cara popularkan semula permainan tradisional