Wednesday, March 31, 2021
SPM: Langkah-langkah bentuk disiplin diri
Disiplin amat penting dalam kehidupan manusia.
Huraikan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk membentuk disiplin seseorang.
Disiplin merujuk satu sikap yang mengutamakan pematuhan terhadap peraturan kehidupan masyarakat. Antara contoh disiplin itu meliputi disiplin di sekolah, di rumah, dan juga di pejabat. Pihak media massa melihat isu disiplin ini semakin penting kerana sering menyiarkan sikap remaja yang suka melanggar disiplin terutama di sekolah. Jadi, ada banyak tindakan yang boleh dibuat untuk memastikan diri seseorang itu mempunyai disiplin.
Langkah yang paling mudah melibatkan usaha kerajaan melancarkan kempen tentang disiplin dalam kalangan masyarakat. Kempen ini boleh disiarkan menerusi media massa pada masa perdana terutama di televisyen negara ini. Penayangan kempen menerusi media massa ini memudahkan rakyat untuk memahami kepentingan disiplin dalam kehidupan lalu bersama-sama mengamalkannya pula. Lantaran itu, tindakan menganjurkan kempen sebegini boleh membawa lebih banyak pihak mengamalkan disiplin dalam hidup mereka.
Selain itu, amalan disiplin ini boleh dipupuk melalui usaha ibu bapa memaparkan teladan yang baik. Orang tua yang selalu berdisiplin terutama dalam aspek mematuhi masa dan bekerja boleh memberi impak kepada golongan muda juga. Anak akan memahami kepentingan disiplin setelah melihat ibu bapa mereka berusaha mematuhi disiplin sebaik mungkin. Sesungguhnya, ibu bapa yang memberi teladan sebegini boleh menjadikan generasi muda memandang disiplin sesuatu yang penting dipatuhi dengan rigid dalam kehidupan harian mereka.
Malah, kejayaan memiliki rakyat yang berdisiplin boleh dicapai jika pihak sekolah mengenakan disiplin yang ketat tanpa sebarang tindakan pilih kasih atau pilih bulu. Semua pelajar yang melakukan kesalahan akan dihukum dengan adil dan berpatutan berdasarkan kesalahan yang dilakukan tersebut. Pelajar di sekolah ini akan memahami dan menyedari bahawa setiap kesilapan akan membawa balasan tertentu. Oleh itu, pengenalan disiplin yang ketat di sekolah boleh mendidik pelajar supaya memahami tindakan mereka boleh menimbulkan pelbagai kesan yang harus ditanggung itu.
Tambahan pula, disiplin ini boleh dipupuk atau dibentuk oleh diri remaja itu sendiri. Remaja yang bijak akan melihat disiplin sebagai satu peraturan yang dibuat supaya kehidupan mereka menjadi lebih mudah dan tersusun. Lama-kelamaan, remaja itu menyedari bahawa kejayaan dalam hidup banyak bergantung kepada kemampuan diri mereka untuk mematuhi peraturan yang ada di dunia ini. Jelaslah, diri remaja itu sendiri harus ada sikap mengutamakan disiplin dalam kehidupan seharian mereka itu.
Kesimpulannya, semua tindakan tadi memang mampu untuk memastikan disiplin dalam kalangan masyarakat kita terutama remaja begitu kukuh. Kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama daripada remaja supaya melihat disiplin itu sebagai sesuatu yang positif dan bukannya sesuatu yang mengawal mereka. Sikap mengutamakan disiplin ini boleh membantu negara untuk mencapai wawasan yang diidamkan pada masa hadapan pula. Peribahasa biar mati anak jangan mati adat mengingatkan kita bahawa kemusnahan sesuatu bangsa itu banyak ditentukan oleh kepatuhan mereka terhadap disiplin dan peraturan dalam kehidupan harian yang sudah terkumpul menjadi budaya sesuatu bangsa pula.
Wednesday, March 24, 2021
SPM: Sebab-sebab pelajar ponteng sekolah
Banyak pelajar pada zaman ini tidak berminat untuk belajar lalu sering ponteng sekolah.
Jelaskan sebab-sebab pelajar ponteng itu.
Ponteng sekolah bermaksud pelajar tidak pergi ke sekolah secara sengaja atau berpura-pura sakit itu. Antara punca yang mendorong pelajar mengambil tindakan ini banyak tetapi sikap diri sendiri turut menjadi penyebab utama isu ponteng semakin menular itu. Kemelut negatif ini telah menjadi satu masalah sosial yang mula mendapat perhatian semua pihak terutamanya daripada pihak kerajaan kita. Lantaran itu, punca-punca yang membawa ponteng sekolah berlaku harus dikaji dan difahami supaya jalan penyelesaiannya boleh diketahui.
Sebab utama pelajar negara ini ponteng sekolah dikaitkan dengan ketiadaan minat untuk belajar di sekolah tersebut. Kajian telah membuktikan bahawa pelajar tidak berminat untuk belajar kerana melihat subjek itu sebagai membosankan, sukar difahami, atau tidak mengetahui kaitan pelajaran itu dengan masa depan mereka. Kegagalan minda pelajar untuk berfikir secara matang tentang masa depan telah menjadikan ketiadaan minat untuk belajar ini sebagai sesuatu yang sukar dikikis. Akibatnya, banyak pelajar mengambil jalan mudah dengan tidak mahu pergi ke sekolah setiap hari itu.
Selain itu, sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan fenomena ponteng sekolah ini semakin menjadi-jadi di kawasan bandar. Kehidupan bandar yang mengutamakan aspek kebendaan telah mendorong ibu bapa memberikan tumpuan khusus terhadap kerjaya mereka lalu menjadikan tugas mendidik anak terabai pula. Situasi ini seolah-olah memberikan tanggapan kepada anak bahawa pendidikan di sekolah itu tidak penting kerana ibu bapa mereka sendiri tidak memberi penekanan pembelajaran di sekolah itu. Maka, kegagalan ibu bapa menjalankan tugas mendidik anak itu telah membuka peluang kepada pelajar untuk terus mengamalkan amalan ponteng sekolah ini.
Tambahan pula, pengaruh rakan telah menjadikan pelajar berani untuk tidak pergi ke sekolah apabila berasa tidak suka itu. Dalam dunia kehidupan pelajar sudah pasti nasihat, teguran, cadangan, dan pujukan rakan sebaya lebih dipercayai daripada kata-kata ibu bapa mereka sendiri. Malangnya, semua cadangan rakan sebaya itu berunsur negatif yang mampu menjejaskan imej pelajar yang masih tercari-cari identiti sendiri itu. Sesungguhnya, pelajar yang mudah dipengaruhi oleh rakan mereka akan lebih terdedah untuk terlibat dalam amalan ponteng sekolah berbanding mereka yang memiliki sahabat yang sejati.
Kemelut ponteng sekolah ini turut berlaku disebabkan cara pengajaran dan pembelajaran sesetengah guru yang tidak menarik itu. Ada guru yang selalu ponteng kelas, tidak bersedia dengan bahan pendidikan, sering bermesyuarat, dan sebagainya yang menjejaskan kualiti pembelajaran pelajar di kelas pula. Apabila perkara sebegini diamalkan oleh seseorang guru sudah pasti pelajar tidak lagi berminat untuk mendengar penerangan guru mereka ketika berada di dalam kelas itu. Jadi, pelajar sanggup ponteng kerana mereka berpendapat cara pengajaran dan pembelajaran guru tertentu tidak memenuhi keperluan diri mereka itu.
Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa ponteng sekolah sudah menjadi satu wabak yang perlu diselesaikan segera. Semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru perlulah berganding bahu serta mengubah sikap mereka jika mahu kemelut ponteng sekolah ini ditangani secara efektif pula. Kegagalan untuk menghalang budaya ponteng ini bakal menyaksikan banyak pelajar tidak akan menerima pendidikan yang sempurna dalam kehidupan mereka itu. Peribahasa pemuda harapan negara, pemudi tiang bangsa membuktikan bahawa pelajar amat penting untuk kemajuan negara pada masa hadapan terutamanya pelajar yang berpendidikan tinggi itu.
Wednesday, March 17, 2021
SPM: Punca-punca makanan ringan popular?
Makanan ringan menjadi satu jenis makanan yang diminati oleh masyarakat kita terutama kanak-kanak.
Bincangkan punca-punca makanan ringan begitu popular dalam kalangan masyarakat.
Makanan ringan diklasifikasikan sebagai makanan yang mudah untuk disediakan dan dinikmati oleh masyarakat pengguna tanpa mengira masa. Antara makanan ringan itu meliputi kategori kerepok, gula-gula, manisan dan sebagainya. Pihak media massa sering menyiarkan bahan berita mengenai isu makanan ringan ini yang menjadi kegilaan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia. Sebenarnya, ada banyak sebab yang membawa makanan ringan ini menjadi sesuatu yang lumrah di negara ini terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Punca utama yang mendorong makanan ringan ini begitu menular dalam masyarakat kita kerana syarikat pengeluar makanan ini begitu bijak merancang strategi pengiklanan produk mereka itu. Bayangkan setiap iklan yang dikaitkan dengan makanan ringan ini pasti melambangkan suasana yang ceria dan penuh rasa seronok yang mudah difahami oleh kanak-kanak kita. Ada juga syarikat yang menawarkan hadiah istimewa setiap kali makanan ringan keluaran syarikat mereka ini dibeli oleh pengguna. Jadi, makanan ringan sudah sebati dalam masyarakat kita kerana kemahiran syarikat pengeluar untuk mempromosikan produk mereka dalam bentuk yang menarik lagi unik.
Selain itu, kanak-kanak melihat makanan ringan sebagai sesuatu yang “cool” atau menarik untuk dinikmati. Pada pandangan mereka, makanan ringan yang dinikmati itu akan menjadikan diri mereka lebih dikenali lalu ditiru oleh rakan-rakan yang lainnya terutama setelah melihat iklan produk tersebut. Makanan ringan telah dikatakan sebagai contoh kehidupan moden yang bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak bergaya zaman globalisasi ini. Bayangkan, tidak ada lagi kanak-kanak yang suka menikmati dodol, kuih tempatan atau karipap di kantin kerana melihat makanan itu sudah ketinggalan zaman.
Penularan budaya makanan ringan ini turut dikaitkan dengan mudahnya untuk memperoleh makanan sebegini. Kanak-kanak boleh membeli makanan ini di kedai runcit dan kawasan kantin sekolah pada bila-bila masa pula terutama ketika masa rehat di sekolah. Kanak-kanak mendapati keadaan sebegini memudahkan mereka untuk pergi membeli makanan yang tidak sihat ini tanpa sebarang halangan pula. Maka, makanan ringan ini terus menjadi-jadi kerana makanan ini dijual di mana-mana pun.
Kita juga tidak boleh menafikan bahawa makanan ringan itu secara relatifnya lebih murah berbanding makanan lain yang dikatakan lebih berkhasiat itu. Kadar harga yang murah ini kerana makanan ini dihasilkan tanpa khasiat dan begitu mudah cara penyediaannya berbanding dengan makanan lain yang berkualiti itu. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak malah orang dewasa melihat makanan ringan ini sesuatu yang boleh dinikmati sepanjang masa pula. Lama-kelamaan, mereka akan menjadi ketagih dengan makanan ringan ini tanpa disedari pula.
Konklusinya, makanan ringan sudah menjadi satu budaya baru dalam kehidupan generasi moden Malaysia. Kita hendaklah mula berfikir tentang kemelut ini kerana sudah pasti kualiti kesihatan kanak-kanak kita akan terjejas suatu masa nanti. Topik yang meliputi obesiti dan gigi rosak sudah mula menjadi perbualan masyarakat kita ekoran menularnya amalan memakan makanan ringan sebegini. Mungkin sudah sampai masanya, kerajaan lebih tegas dalam memantau penjualan makanan ringan ini terutama di kawasan kantin sekolah dan tempat umum yang lainnya bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
PT3: Kesan-kesan positif program gaya hidup sihat
Kerajaan telah menjalankan pelbagai program gaya hidup sihat untuk memastikan kesihatan rakyat Malaysia menjadi lebih baik.
Jelaskan kesan-kesan positif yang timbul daripada program sebegini.
Program gaya hidup sihat merujuk aktiviti yang dirangka oleh kerajaan untuk menghasilkan masyarakat yang sihat tubuhnya. Contoh aktiviti yang termasuk dalam program ini meliputi aktiviti berkayak, merentas desa, mendaki gunung, dan berjalan kaki di kawasan taman perumahan. Sebenarnya, program sebegini membawa banyak manfaat kepada rakyat semua.
Kebaikan yang timbul apabila program ini diamalkan oleh rakyat Malaysia ialah kualiti kesihatan peribadi mereka bertambah baik. Apabila masyarakat melihat informasi yang tertera melalui program ini sudah pasti mereka akan berusaha mengambil pelbagai tindakan untuk bersenam kerana sedar kesihatan amat bernilai. Jelaslah, program ini akan membawa kesedaran kepada rakyat untuk menjadikan diri mereka lebih sihat sejahtera.
Selain itu, kos perubatan masyarakat akan menjadi lebih rendah apabila program ini berjaya mencapai matlamatnya. Setiap ahli masyarakat tidak akan kerap menjalani rawatan di hospital kerana badan mereka lebih sihat lalu wang itu digunakan untuk kegunaan lain. Lama-kelamaan, wang lebihan ini boleh menjadikan kualiti kehidupan masyarakat lebih ceria dan bermakna.
Tambahan pula, imej masyarakat dan negara menjadi tersohor apabila program ini diamalkan dalam kehidupan harian mereka. Orang luar akan cuba memahami kehidupan masyarakat tempatan apabila melihat kualiti kesihatan mereka begitu baik berbanding negara mereka. Ringkasnya, program yang dilancarkan itu apabila dibuat dengan berkesan akan menjadikan negara ini terkenal pada mata masyarakat dunia.
Akhir sekali, masyarakat di negara ini bakal mencapai matlamat hidup mereka apabila program gaya hidup sihat diamalkan oleh mereka. Apabila kesihatan baik sudah pasti rakyat boleh bekerja dengan sempurna, melakukan perkara yang menjadi idaman mereka sebelum meninggalkan kehidupan ini. Sesungguhnya, kepuasan diri akan di capai apabila masyarakat kita mengikuti semua program gaya hidup sihat ini.
Kesimpulannya, semua perkara tadi akan diperoleh apabila program ini disertai oleh rakyat Malaysia. Namun, ada pihak yang melihat program sebegini membazirkan wang kerajaan sahaja. Slogan badan cergas otak cerdas membuktikan bahawa kesihatan menjadi dasar untuk memajukan rakyat dan negara dalam era kemodenan ini.
Sunday, March 14, 2021
Wednesday, March 10, 2021
PT3: Cara-cara atası pencemaran alam
Dunia mengalami pencemaran yang begitu ketara.
Berikan pendapat anda cara-cara mengatasi pencemaran alam ini.
Pencemaran alam dilihat sebagai satu fenomena kemusnahan alam akibat kesilapan manusia. Antara pencemaran itu meliputi pencemaran udara, air, laut, dan juga kemusnahan hutan secara berleluasa. Sebenarnya, ada pelbagai kaedah yang boleh dilakukan untuk mengekang pencemaran daripada terus berlaku itu.
Tindakan yang paling berkesan ialah masyarakat kita mengamalkan amalan kitar semula itu. Sikap kitar semula ini boleh dipupuk jika pihak berkuasa berani meletakkan tong kitar semula di beberapa kawasan yang strategik itu. Jelaslah, amalan kitar semula tidak akan memusnahkan alam kerana masyarakat tidak membazir itu.
Selain itu, kita boleh menggunakan sumber tenaga alternatif yang tertentu seperti tenaga air, cahaya matahari, dan angin itu. Malaysia merupakan sebuah negara yang dianugerahkan pelbagai sumber tenaga asli yang banyak sehingga menjadikan negara ini gelap mata untuk membuat keputusan. Akibatnya, negara kita tidak akan menggunakan minyak yang banyak menghasilkan bahan sisa kotor itu.
Tambahan pula, isu pencemaran boleh diatasi jika kawasan sungai diselenggarakan dengan baik. Penjagaan sungai penting kerana sungai yang baik akan menghalang berlakunya kejadian banjir kilat, tanah runtuh dan aliran air yang tidak menghakis tanah. Ringkasnya, sungai yang tidak bermasalah akan menjamin kualiti alam yang baik berlaku.
Kesimpulannya, semua tindakan tadi berupaya untuk menjadikan alam kita lebih bersih dan berkualiti. Isu pencemaran alam harus ditangani dengan bijak oleh semua pihak sebelum terlewat. Peribahasa nasi menjadi bubur mengingatkan kita agar bertindak dahulu sebelum kemelut pencemaran alam ini menjadi semakin meruncing itu.
Friday, March 05, 2021
SPM...Cara-cara menjadi pengguna bijak di Malaysia
Saban hari media massa menyiarkan berita mengenai rungutan masyarakat tentang kenaikan harga barang di negara ini. Rungutan ini membuktikan bahawa isu kenaikan harga barang bukanlah satu mitos tetapi realiti perit yang sukar untuk diterima oleh penduduk negara terutama golongan berpendapatam rendah. Sudah ada pelbagai pihak menyuarakan kaedah dan tindakan yang boleh diambil oleh pengguna untuk mengharungi cabaran kos kehidupan yang semakin tinggi itu. Jadi, apakah langkah yang boleh diambil oleh masyarakat untuk menjadi pengguna yang bijak itu?
Sudah pasti tindakan yang praktikal ialah pengguna tidak membeli barang mewah dalam kehidupan harian mereka. Maknanya, pengguna hendaklah mencari pilihan lain untuk semua keperluan barang yang dibeli berbanding pembelian sebelum harga barang naik. Kalau dahulu pengguna begitu mengutamakan produk luar negara yang harganya begitu tinggi itu sudah sampai masanya mereka beralih membeli produk keluaran tempatan pula. Jelaslah, pengguna bijak akan menolak produk luar negara yang mahal dengan membeli produk buatan tempatan itu.
Selain itu, golongan pengguna juga boleh mengamalkan amalan makan di rumah dengan lebih kerap berbanding dahulu. Kalau sebelum ini hampir setiap minggu pengguna membawa ahli keluarga menjamu selera di rumah, kini amalan itu perlu dikawal. Sikap memasak sendiri makanan menjadikan pengguna boleh mengawal kos perbelanjaan harian dan juga memastikan kualiti makanan yang dinikmati itu baik. Ringkasnya, amalan makan di luar rumah harus dikekang jika pengguna mahu memastikan diri mereka berjaya mengharungi krisis kenaikan harga barang ini.
Tambahan pula, pengguna hendaklah membuat perancangan dalam setiap pembeliannya terutama barang yang berharga mahal. Mereka boleh membuat perbandingan harga dengan menyelidik semua kedai sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu produk seperti peti sejuk, mesin basuh, pakaian, dan sebagainya itu. Tindakan membuat perancangan dan bandingkan harga ini memastikan pengguna akan menerima nilai terbaik daripada barang yang dibeli tersebut. Sesungguhnya, pengguna yang bijak akan memeriksa terlebih dahulu harga barang yang ingin dibeli sebelum membuat keputusan akhir membelinya itu.
Usaha lain untuk meneruskan kehidupan pengguna dalam keadaan negara mengalami krisis harga barang naik ialah konsep kitar semula diamalkan dengan meluas. Dalam amalan ini semua benda yang ada di rumah digunakan dengan sebaik mungkin sehinggalah benda itu tidak lagi boleh digunakan atau sudah betul-betul rosak. Misalnya, pakaian anak sulung boleh diberikan kepada anak kedua dan seterusnya atau kasut abang diberikan kepada adik. Langkah ini boleh membawa penjimatan dalam kos pembelian beberapa keperluan utama pengguna terutama pakaian dan sebagainya itu.
Pendek kata, semua langkah untuk menjadi pengguna bijak itu penting diamalkan oleh semua lapisan masyarakat negara ini. Masalah kenaikan harga barang mampu diatasi dengan efektif apabila semua tindakan di atas dilaksanakan dengan penuh daya. Namun, kegagalan untuk melakukan perkara di atas boleh menyaksikan penduduk negara ini terus dibelenggu masalah kenaikan harga barang yang mampu menjejaskan kualiti kehidupan mereka. Bak kata pepatah ukur baju di badan sendiri yang mengingatkan kita supaya berbelanja mengikut kemampuan kewangan diri itu.
Monday, March 01, 2021
SPM: Kesan-kesan buruk amalan rasuah dalam sesebuah negara itu
Rasuah amat bahaya di negara ini apabila diamalkan secara meluas.
Huraikan kesan-kesan buruk gejala ini.
Rasuah bolehlah dikatakan sebagai satu tindakan mengambil wang secara tidak sah yang dibuat atas dasar yang melanggar peraturan negara. Contoh negara yang dikatakan mempunyai kadar rasuah tinggi di dunia ini meliputi negara di benua Afrika, Indonesia, dan beberapa negara dunia ketiga lainnya. Media massa terutamanya akhbar sering menyiarkan berita tentang kes rasuah terutama yang melibatkan tokoh politik terkenal negara. Jelaslah, amalan rasuah itu boleh meninggalkan banyak kesan buruk terhadap pembangunan negara.
Impak negatif yang mudah difahami berlaku apabila rasuah berleluasa ialah imej negara itu pada mata orang luar akan terjejas. Kejadian makan suap yang keterlaluan akan memberikan gambaran bahawa semua aktiviti yang berlaku di negara ini mestilah berdasarkan sumbangan wang tertentu. Sememangnya, kejadian rasuah di negara ini tidak begitu meluas tetapi tindakan sebilangan kecil rakyat negara ini telah membuktikan bahawa rasuah itu wujud di Malaysia. Maka, kejadian rasuah walau sekecil hama pun tetap mampu menjatuhkan maruah negara pada masyarakat luar.
Selain itu, kajian sudah membuktikan bahawa kes rasuah turut membawa peningkatan dalam kejadian jenayah yang berlaku di negara tersebut. Semua rasuah yang berlaku ada kaitan dengan kumpulan penjahat yang cuba menguasai sesuatu perniagaan tersebut. Lama-kelamaan, pergaduhan sesama ahli kumpulan penjahat ini akan berlaku sehingga membawa pembunuhan dan sebagainya meningkat pula. Sesungguhnya, amalan rasuah boleh membawa wujudnya pelbagai kejadian jenayah yang menjadi satu wabak pula.
Tambahan pula, kejadian rasuah boleh menjejaskan perkembangan pertumbuhan ekonomi negara dalam masa terdekat itu. Kos untuk melakukan projek pembangunan seperti sekolah, jalan raya, dan sebagainya akan menjadi lebih mahal kerana kos rasuah terpaksa diambil kira dalam pelaksanaan projek sedemikian itu. Kerajaan terpaksa membatalkan atau menunda projek tertentu kerana kekurangan sumber kewangan untuk membiayai projek tersebut. Oleh itu, sebarang kejadian rasuah boleh membawa perkembangan pertumbuhan ekonomi negara menjadi tidak stabil lalu menuju ke arah kemelesetan ekonomi pula.
Malah, rasuah yang menular seperti kanser itu turut menjejaskan kualiti kehidupan rakyat biasa. Kos kehdiupan harian akan menjadi lebih tinggi seperti kos membeli roti, makanan lainnya, dan sebagainya kerana rasuah telah menjadi sebahagian kos membuat perniagan tersebut berlaku. Rakyat jelata terutama golongan miskin akan menderita kerana harga barangan keperluan di luar kemampuan mereka untuk membelinya pula. Maka, rasuah yang berlaku akan menjadikan kehidupan masyarakat semakin menderita pula.
Kesimpulannya, rasuah bukanlah satu amalan yang harus menjadi kebanggaan kita semua. Kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama pihak masyarakat yang harus melaporkan sebarang kejadian rasuah kepada pihak berkuasa tanpa banyak alasan. Manakala, pihak kerajaan perlulah lebih tegas dan berani untuk membawa pesalah rasuah ini ke muka pengadilan agar hukuman yang setimpal boleh di berikan kepada golongan yang tidak berperikemanusiaan itu. Bak kata pepatah nasi sudah menjadi bubur yang mengingkatkan kita betapa pentingnya rasuah diatasi sebelum terlewat.
Artikel Pilihan
-
Bahasa kebangsaan menjadi alat yang penting dalam usaha membawa kesejahteraan kehidupan di negara ini. Jelaskan kepentingan bahasa kebangsaa...
-
Penyakit berjangkit yang berlaku di negara ini telah mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa. Jelaskan punca-punca perkara ini berlaku...
-
Permainan tradisional semakin dilupakan oleh masyarakat terutama generasi muda. Jelaskan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini. Permai...