Monday, September 28, 2020

E-Buku Karangan Penting 2020

Ebuku ini mendedahkan pelajar tentang tajuk-tajuk utama SPM 2020. Semua karangan diberikan dalam bentuk karangan lengkap. Bahan ini boleh dipesan sekarang dengan harga diskaun RM30 dan menerimanya pada 15 November 2020. Harga selepas ini ialah RM50.





SPM: Peranan ibu bapa atası masalah pelajar tidak lewat

Isu tidur lewat dalam kalangan pelajar semakin ketara terutama mereka yang masih bersekolah rendah itu.

Jelaskan peranan ibu bapa bagi menangani isu ini.


Tidur lewat ditakrifkan sebagai amalan masuk tidur melebihi jam 10 malam setiap hari buat seseorang pelajar sekolah itu. Antara alasan yang membawa pelajar sering tidur lewat meliputi alasan menonton televisyen, keluar dengan kawan, dan sibuk membuat kerja sekolah. Banyak pihak membuat komentar mereka tentang masalah tidur lewat dalam kalangan pelajar menerusi media massa tempatan terutamanya akhbar itu. Maka, ibu bapa mempunyai pelbagai tugas penting dalam usaha menangani kemelut pelajar tidur lewat tersebut.


Langkah paling mudah ialah ibu bapa meminta anak mereka membuat jadual harian untuk melaksanakan aktiviti anak itu. Kewujudan jadual harian ini boleh dilaksanakan apabila ibu bapa mengenakan hukuman bersifat mendidik apabila anak enggan mematuhi arahan membuat jadual itu. Anak-anak akan mematuhi jadual yang telah dibuat itu tanpa sebarang alasan lagi kerana sedar ibu bapa akan mengenakan hukuman tertentu jika mereka mengabaikannya. Jadi, anak tidak akan tidur lewat apabila mereka mempunyai jadual aktiviti harian yang dipatuhi dengan sempurna itu.


Selain itu, ibu bapa yang bertanggungjawab akan memantau kerja sekolah anak mereka dalam usaha mengekang isu tidur lewat ini. Golongan tua ini boleh menasihati anak mereka agar memanfaatkan masa di sekolah untuk menyiapkan semua tugasan guru dan boleh mengulang kaji di rumah lalu tidur awal. Situasi ini menyebabkan anak tidak lagi boleh menggunakan alasan untuk menyiapkan tugasan sekolah supaya mereka boleh tidur lewat tersebut. Sesungguhnya, sikap ibu bapa yang memantau kerja sekolah anak boleh memastikan anak mereka menyiapkan tugasan itu mengikut masanya.


Tambahan pula, penggunaan internet di rumah perlu diawasi oleh ibu bapa yang mahu anak mereka tidur awal di rumah sepanjang minggu. Ibu bapa boleh meletakkan komputer di ruang yang boleh diawasi oleh mereka apabila anak melayari internet itu. Anak tidak lagi boleh menggunakan alasan melayari rangkaian sosial sebagai sebab mereka tidak mahu tidur awal apabila penggunaan komputer diawasi dengan ketat itu. Akibatnya, budaya melayari laman sosial yang menjadi punca utama pelajar tidur lewat itu tidak akan tertanam dalam jiwa sesebuah remaja tersebut.


Tindakan susulan lain dalam usaha mengawal isu tidur lewat ini meliputi sikap ibu bapa yang melarang anak mereka menonton televisyen pada waktu malam ketika hari persekolahan itu. Larangan ini boleh dilakukan dengan memberi teguran secara berhemah kepada anak bersama-sama hujah yang logik itu. Tindakan ibu bapa yang tegas dalam isu ini membawa anak tidak akan teruja untuk mengikuti setiap episod program televisyen yang ditayangkan itu kelak. Lantaran itu, anak tidak lagi tidur lewat kerana mereka tidak suka menonton televisyen pada setiap malam terutama pada hari persekolahan itu.


Ibu bapa boleh mengawal masa tidur anak mereka dengan sistematik apabila menjadikan diri mereka sendiri sebagai teladan. Mereka tidak seharusnya menggunakan alasan bahawa mereka boleh tidur lewat kerana tidak bekerja atau disebabkan mereka orang tua itu apabila ditanya oleh anak. Pendekatan yang tepat ini akan menyebabkan anak berasa lebih yakin dengan teguran membina dan sikap disiplin ibu bapa mereka itu sendiri dalam mengawal masa tidur. Jadi, teladan yang diberikan oleh ibu bapa ini mengukuhkan lagi usaha mereka untuk mendedahkan keburukan tidur lewat kepada anak itu.


Kesimpulannya, amalan tidur lewat dalam kalangan pelajar perlu dihindari kerana pelbagai impak negatif boleh timbul apabila amalan ini dilakukan untuk satu tempoh yang panjang. Pelajar yang kerap tidur lewat tidak mampu memberi tumpuan di kelas, mudah mengantuk, dan boleh tercicir daripada proses pengajaran sekolah itu. Ibu bapa mestilah membentuk sikap menghargai masa dalam diri anak-anak jika mahu kemelut tidur lewat ini diatasi sepenuhnya. Masa mestilah dirancang dan dipatuhi serta dihargai bak kata pepatah masa itu emas dalam jiwa setiap insan itu terutama golongan pelajar yang baru hendak menikmati kehidupan.



Wednesday, September 09, 2020

Cara ibu bapa memastikan anak meluangkan masa dengan keluarga ketika cuti sekolah

 Remaja pada zaman ini semakin kurang meluangkan masa untuk membantu ibu bapa di rumah terutama pada musim cuti sekolah.

Huraikan peranan keluarga bagi menangani masalah ini.


Sedarwarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat di negara ini tentang isu remaja yang tidak tahu meluangkan masa untuk membantu ibu bapa di rumah terutama ketika musim cuti tetapi lebih gemar menghabiskan masa di kafe siber atau melepak bersama-sama rakan di pelbagai lokasi. Remaja zaman ini begitu berbeza daripada remaja zaman dahulu yang melihat masa cuti sekolah ialah waktu meringankan beban ibu bapa. Pihak media massa telah menggunakan kelemahan remaja ini untuk menjadikan saluran mereka lebih diminati apabila menyiarkan kelemahan remaja itu saban hari. Sebenarnya, ibu bapa mempunyai tugas berat untuk memastikan remaja membantu mereka melakukan kerja-kerja rumah apabila cuti sekolah menjelang tiba.


Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa perlu merancang pelbagai kegiatan untuk anak-anak mereka ketika musim cuti sekolah kerana golongan ini belum mampu berfikir secara matang. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ini meliputi amalan membersihkan rumah dan sebagainya yang boleh mengambil sebahagian besar masa remaja apabila mereka tidak ke sekolah itu. Aktiviti ini juga boleh disertai oleh ibu bapa lalu remaja akan berasa terangsang untuk melakukan perkara itu kerana sedar ibu bapa mereka sendiri melakukan perkara yang serupa. Lama-kelamaan, remaja tidak lagi perlu diingatkan tentang perkara yang perlu dilakukan oleh mereka ketika musim cuti sekolah bermula itu.


Bagi sesetengah ibu bapa pula mereka boleh mengambil cuti ketika anak mereka cuti sekolah untuk menghabiskan masa bersama-sama anak itu. Apabila melihat ibu bapa berada di rumah sudah pasti anak lebih teruja untuk melakukan sebarang kerja rumah yang disuruh oleh ibu bapa kerana mereka mahu ibu bapa berasa bangga dengan hasil kerja itu. Hubungan anak dengan ibu bapa turut menjadi lebih baik kerana mereka melakukan semua kerja rumah bersama-sama dalam suasana yang mesra. Sesungguhnya, ibu bapa yang prihatin akan memastikan diri mereka mengambil cuti sebaik sahaja anak mereka memulakan cuti sekolah tersebut.


Selain itu, ibu bapa boleh menghantar anak mereka balik ke kampung apabila cuti panjang sekolah bermula itu. Golongan muda ini boleh mengenali datuk dan nenek serta ahli keluarga yang lain kerana masa cuti yang panjang dihabiskan di kampung sahaja. Datuk dan nenek turut berupaya mendidik remaja ini erti kehidupan manusia yang sebenar terutama aspek kemanusiaan serta persaudaraan yang penting dalam kehidupan ini. Jelaslah, remaja yang menghabiskan masanya di kampung ketika cuti sekolah akan menjadi insan yang lebih memahami erti kehidupan sebenar di dunia ini.


Tambahan pula, ibu bapa yang berpandangan jauh boleh mengamanahkan kerja-kerja rumah kepada anak mereka ketika cuti sekolah. Kerja ini meliputi aktiviti yang ada kaitan dengan teknologi maklumat seperti komputer, telefon bimbit dan sebagainya kerana golongan muda lebih mahir untuk mengendalikan teknologi sebegini berbanding orang tua mereka. Apabila diberi amanah sebegini sudah pasti remaja itu berasa diri mereka mempunyai sesuatu yang boleh disumbangkan untuk kesejahteraan kehidupan keluarga mereka. Lama-kelamaan, remaja itu akan memiliki rasa jati diri yang positif kerana sedar mereka memiliki sesuatu kelebihan atau kemahiran yang berguna pada masa depan.


Ibu bapa yang peka dengan keperluan anak mereka akan menyusun pelbagai program untuk diikuti oleh anak ketika cuti sekolah. Mereka boleh diminta menghadiri kelas tentang pengurusan rumah tangga, menjahit, memasak, dan sebagainya yang boleh memberikan anak mereka satu kelebihan setelah meninggalkan alam persekolahan kelak. Semua kemahiran yang dipelajari ketika cuti sekolah boleh memberikan satu idea kepada remaja tentang kerjaya yang bakal diceburi oleh mereka pada masa depan. Maka, remaja yang menyertai pelbagai kursus ketika cuti sekolah akan mempunyai satu kelebihan berbanding remaja yang menghabiskan cuti mereka tanpa sebarang aktiviti itu.


Kesimpulannya, ibu bapa hendaklah berusaha menjadikan cuti sekolah anak mereka lebih bernilai dengan menyusun pelbagai aktiviti menarik. Jika mereka gagal melakukan perkara ini sudah pasti anak mereka tidak akan mempelajari apa-apa perkara yang berguna dalam kehidupan kelak. Remaja perlulah memberi peluang kepada ibu bapa dan tidak menolak sebarang arahan ibu bapa mereka apabila diminta melakukan kerja-kerja di rumah. Peribahasa bagai menatang minyak yang penuh membuktikan tugas ibu bapa dalam mendidik anak pada zaman ini begitu rumit tetapi perlu dilakukan dengan penuh kasih sayang.



Artikel Pilihan

Kebaikan-kebaikan memandu secara berhemah