Friday, May 01, 2026

Karangan SPM: Nyatakan kepentingan-kepentingan teknologi hijau dalam kehidupan rakyat dan negara ini.

Penggunaan kereta elektrik telah menjadi satu trend di negara ini terutama selepas kenaikan harga minyak yang melambung itu. Namun, ada pihak beranggapan teknologi hijau sebegini masih baharu lalu belum terbukti kemampuannya.

Nyatakan kepentingan-kepentingan teknologi hijau dalam kehidupan rakyat dan negara ini.

Pada era globalisasi ini, isu pencemaran alam sekitar dan pemanasan global semakin membimbangkan. Oleh itu, penggunaan teknologi hijau semakin diberi perhatian oleh masyarakat di seluruh dunia termasuk Malaysia. Teknologi hijau merujuk kepada pembangunan dan penggunaan produk, peralatan serta sistem yang mesra alam bagi mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar. Jelaslah bahawa teknologi hijau amat penting kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

Antara kepentingan teknologi hijau ialah dapat memelihara alam sekitar. Penggunaan tenaga solar, kenderaan elektrik dan bahan kitar semula mampu mengurangkan pencemaran udara serta pencemaran air. Sebagai contoh, penggunaan panel solar dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. Kesannya, udara menjadi lebih bersih dan kehidupan rakyat lebih sihat kerana bersih pangkal sihat.

Selain itu, teknologi hijau dapat menjimatkan kos dan penggunaan tenaga. Peralatan elektrik cekap tenaga seperti lampu LED dan penghawa dingin inverter menggunakan tenaga elektrik yang lebih rendah. Hal ini dapat mengurangkan bil elektrik pengguna setiap bulan serta mengelakkan pembaziran tenaga. Benarlah kata pepatah, sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.

Seterusnya, teknologi hijau mampu meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup masyarakat. Alam sekitar yang bersih dapat mengurangkan penyakit seperti asma, batuk dan alahan. Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam moden dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dan tekanan hidup. Oleh itu, masyarakat akan hidup lebih selesa kerana badan sihat, otak cerdas.

Di samping itu, teknologi hijau juga membantu menjana ekonomi negara. Industri tenaga boleh baharu, kitar semula dan pembuatan produk hijau membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Negara juga mampu menarik pelabur asing yang berminat dalam sektor moden ini. Tegasnya, usaha ini membawa keuntungan kerana di mana ada gula, di situ ada semut.

Kesimpulannya, teknologi hijau membawa pelbagai kepentingan kepada masyarakat dan negara seperti memelihara alam sekitar, menjimatkan kos, meningkatkan kesihatan serta merancakkan ekonomi. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu memajukan teknologi hijau demi kesejahteraan bersama. Jika usaha ini dilaksanakan secara berterusan, Malaysia pasti mencapai kejayaan kerana bersatu teguh, bercerai roboh.

Semua pelajar boleh berjaya kalau mahu berusaha


 

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Nyatakan kepentingan-kepentingan teknologi hijau dalam kehidupan rakyat dan negara ini.

Penggunaan kereta elektrik telah menjadi satu trend di negara ini terutama selepas kenaikan harga minyak yang melambung itu. Namun, ada piha...