Sunday, June 27, 2021

Karangan PT3: Cara-cara kekalkan perpaduan

Negara kita sedang mengalami masalah perpaduan yang kritikal terutama di kawasan yang berbilang kaum itu. 


Huraikan tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mengawal isu ini.


Perpaduan merujuk satu suasana yang harmoni dalam sesebuah masyarakat negara itu. Antara perkara yang boleh mengancam kestabilan perpaduan negara itu meliputi perasaan hasad dengki, perselisihan faham, dan juga dendam kesumat. Akibatnya, pihak kerajaan perlulah melakukan beberapa tindakan supaya perpaduan di negara ini berjaya dicapai lalu dikekalkan selama-lamanya.


Langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan itu ialah mereka menganjurkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Program ini memiliki pelbagai aktiviti yang boleh memupuk perpaduan sesama pelajar kita yang berbilang kaum itu seperti melawat rumah kebajikan, masuk hutan berkumpulan, dan menembak senjata. Ringkasnya, PLKN boleh membentuk satu golongan remaja yang memiliki sikap toleransi sesama kaum apabila menyertai PLKN.


Selain itu, kerajaan juga boleh mewajibkan subjek Sejarah dalam sistem pendidikan negara kita terutama di sekolah menengah. Pengenalan subjek ini penting kerana banyak bahan sejarah boleh dipelajari oleh pelajar tentang kemerdekaan dan perjuangan rakyat terdahulu itu yang memerlukan semangat kerjasama yang tinggi sesama kaum. Jadi, semakin kerap subjek Sejarah diajar di sekolah semakin tinggilah peluang untuk wujudnya perpaduan itu. 


Tambahan pula, sambutan Hari Kebangsaan boleh dilaksanakan oleh kerajaan dalam suasana yang lebih meriah tetapi bermakna. Semua lapisan masyarakat diminta untuk menyertainya dan merayakannya bersama-sama supaya wujud satu suara Malaysia yang sebenar. Lantaran itu, sambutan Hari Kebangsaan yang dirancang dengan teliti mampu membuahkan semangat cinta akan negara yang sejati secara tersirat.


Kerajaan juga boleh melancarkan Gagasan 1Malaysia yang berteraskan konsep perpaduan sesama kaum itu. Gagasan ini menekankan prinsip sama rata lalu semua projek kerajaan disalurkan demi kesejahteraan  dan kemakmuran hidup rakyat tanpa mengira kaum. Sesungguhnya, gagasan ini akan memberi harapan tercetusnya semangat perpaduan kerana rakyat menyedari kerajaan berusaha membantu kehidupan mereka secara saksama itu.


Kesimpulannya, semua kaedah tadi perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan kita tanpa dalih lagi. Kegagalan untuk bertindak dengan segera mampu menjadikan rakyat Malaysia tidak bersatu hati pula lalu memudahkan musuh negara menangguk di air keruh itu. Peribahasa bersatu teguh bercerai roboh membuktikan bahawa perpaduan itu amat penting dalam mengharungi cabaran globalisasi yang hebat ini.

Sunday, June 20, 2021

Karangan SPM: Faedah pertanian dimajukan di Malaysia

Industri pertanian telah mula mendapat perhatian golongan muda di negara ini terutama di Jawapan pedalaman. Namun banyak usaha perlu dibuat untuk memajukannya.


Huraikan faedah-faedahnya.


Pertanian sering dilihat sebagai satu aktiviti ekonomi yang boleh membawa banyak impak positif kepada negara. Kerajaan kita sendiri sudah mula menyedari kepentingan industri ini lalu berusaha untuk menarik lebih banyak rakyat Malaysia untuk turut menceburinya. Pelbagai pihak telah memberi komentar mereka tentang usaha kerajaan untuk memajukan sektor pertanian ini terutama menerusi media massa negara. Lantaran itu, pelbagai impak positif boleh wujud menerusi aktiviti pertanian yang turut membabitkan ternakan haiwan ini.


Faedah yang ketara ialah negara akan menerima pendapatan yang tinggi lagi stabil saban tahun. Masyarakat dunia sudah sedia maklum diketahui amat memerlukan makanan lalu menjadikan harga komoditi ini begitu tinggi terutama ketika bencana alam melanda pula. Pendapatan yang stabil menjadikan negara tidak akan mengalami masalah kemelesetan ekonomi yang boleh menjejaskan negara itu. Jadi, wang yang terhasil menerusi sektor ini berupaya untuk digunakan oleh negara dalam usaha memajukan pelbagai sektor yang lain pula.


Pada masa yang sama, perkembangan pesat sektor ini membuka lebih banyak peluang kerja baik kepada rakyat tempatan mahupun pekerja asing. Kawasan ladang dan ternak yang begitu luas itu pastinya memerlukan sumber manusia yang banyak untuk menguruskannya dengan efektif. Kewujudan peluang kerja yang luas turut menjamin masa depan pekerja terjamin kerana bukan sahaja gaji yang tinggi diberikan tetapi rakyat berpeluang untuk bertukar-tukar kerja dengan mudah. Ringkasnya, pertanian akan memastikan rakyat negara ini tidak menganggur pula.


Kita sedia maklum bahawa pembukaan kawasan ladang biasanya melibatkan kawasan pedalaman atau belum dimajukan. Situasi ini membawa tindakan kerajaan memajukan sistem pengangkutan dan perhubungan kerana kawasan ladang memerlukan kemudahan awam ini untuk memastikan hasil ladang dapat dikeluarkan dengan sistematik. Perkembangan sistem pengangkutan dan perhubungan ini pula sudah pasti akan dinikmati juga oleh rakyat sekitar kawasan pertanian itu. Sesungguhnya, pembangunan pesat akan berlaku di kawasan yang dimajukan sebagai kawasan pertanian utama negara itu.


Malahan, banyak pihak yakin sektor pertanian negara akan menjadi lebih moden jika bidang ini mendapat perhatian semua pihak. Lebih banyak kajian terhadap jenis tanaman, racun perosak, baja dan teknik penanaman akan dilaksanakan oleh penyelidik negara ini. Hasil kajian mereka ini kemudiannya akan digunakan oleh peladang untuk memajukan hasil ladang mereka pula. Jadi, kualiti pertanian negara akan menjadi lebih baik  dan setanding dengan hasil keluaran negara jiran yang lainnya itu.


Kesimpulannya, semua impak positif yang diutarakan tadi memang boleh dihasilkan menerusi sektor pertanian. Semua pihak hendaklah melihat sektor hijau ini sebagai berpotensi untuk dimajukan pula. Kita harus berusaha bersama-sama bak kata pepatah bagai aur dengan tebing supaya sektor ini mendapat perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya daripada rakyat serta negara. Kalau kita memajukan pertanian, negara ini akan terus bertambah maju pada masa hadapan pula.

Thursday, June 17, 2021

Karangan PT3: Sebab-sebab perayaan dilupakan oleh generasi muda

Sambutan perayaan di negara ini begitu banyak tetapi ada pihak yang tidak merayakannya.


Jelaskan sebab-sebab perayaan mula dilupakan oleh generasi muda.


Perayaan bolehlah dikatakan sebagai hari kebesaran yang disambut oleh masyarakat tertentu di negara ini saban tahun. Antara perayaan itu meliputi Hari Deepavali, Hari Natal, Tahun Baru Cina, dan Hari Raya Aidil Fitri yang disambut oleh rakyat Malaysia. Namun, sudah ada generasi muda yang melupakan sambutan perayaan ini atas beberapa sebab.


Punca utama perayaan dilupakan oleh masyarakat kita disebabkan oleh golongan ini tidak memahami erti atau makna sambutan perayaan tersebut. Mereka sudah tidak melihat perayaan sebagai sesuatu budaya yang harus dikekalkan dalam kehidupan yang bergelar modenisasi itu. Akibatnya, perayaan tidak mendapat tempat dalam jiwa remaja kerana mereka sendiri tidak mampu untuk memahami maksud perayaan itu.


Selain itu, perayaan tidak diminati oleh golongan ini kerana terlalu banyak peraturan atau tradisi yang harus dipatuhi itu sebelum, semasa dan selepas perayaan. Mereka tidak suka dikawal oleh peraturan tradisi yang dilihat sebagai ketinggalan zaman itu baik dalam aspek pakaian dan sebagainya. Lantaran itu, remaja menganggap perayaan sebagai sesuatu yang mengongkong kehidupan harian mereka.


Tambahan pula, remaja tidak meminati perayaan kerana melihat amalan berkunjung ke rumah sanak saudara itu sebagai membazirkan masa. Biasanya perbualan antara keluarga ketika musim perayaan melibatkan prestasi peperiksaan remaja di sekolah yang dianggap topik membosankan remaja itu. Maka, remaja menolak perayaan kerana tidak suka ditanya pelbagai soalan mengenai persekolahan mereka itu.


Kegagalan remaja memahami konsep perayaan turut dikaitkan dengan sikap ibu bapa yang gagal mendidik mereka. Sejak kecil remaja kita tidak didedahkan dengan semangat perayaan ini kerana ibu bapa sendiri tidak membawa anak pergi menziarahi keluarga mereka pada masa perayaan. Akibatnya, remaja membesar tanpa memahami keperluan mereka untuk merayakan sesuatu perayaan tersebut.


Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa perayaan sudah dilupakan oleh masyarakat kita terutama remaja. Perayaan harus disambut dengan meriah oleh masyarakat kita. Peribahasa tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas membuktikan bahawa perayaan merupakan budaya yang harus dikekalkan sepanjang masa kerana itulah lambang sesebuah kaum.

Friday, June 11, 2021

Karangan SPM: Impak buruk penggunaan Internet dalam kalangan masyarakat

Pada era globalisasi ini, teknologi maklumat terutama internet sangat penting. Walau bagaimanapun, penggunaan internet turut memberikan keburukan kepada masyarakat dan negara.


Bincangkan.


Penggunaan internet kini sudah menjadi satu perkara biasa di Malaysia dan dunia amnya. Kepentingan internet dalam kehidupan manusia sudah tidak boleh disangkal lagi oleh mana-mana pihak pun. Kita boleh melihat remaja, orang tua dan kanak-kanak serta ahli perniagaan melayari internet pada setiap masa dan tempat dengan begitu mudah. Dalam keghairahan kita menerima teknologi ini, pelbagai impak negatif telah melanda negara dan masyarakat tanpa disedari.


Internet memudahkan masyarakat untuk mengakses pelbagai maklumat yang terdapat di dalam internet itu terutama bahan-bahan pronografi. Pendedahan yang sebegini boleh meruntuhkan moral seseorang terutama golongan remaja yang belum mampu untuk memikirkan kesan pendedahan keterlaluan mereka terhadap bahan sebegitu. Remaja akan menganggap bahan-bahan sebegini sesuatu yang lumrah lalu mereka berani melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan moral budaya masyarakat kita sebelum ini pula. Internet telah menyebabkan moral masyarakat yang suatu masa dahulu dipandang tinggi semakin dipinggirkan pula.


Selain itu, penggunaan internet berupaya untuk menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara kita. Sudah ada banyak halaman web yang sengaja menyebarkan pelbagai fitnah dan gosip serta propaganda negatif untuk memastikan rakyat di negara ini menerima maklumat yang salah lalu berlakunya kekacauan pula. Semua bahan yang ditulis itu mampu untuk mencetuskan salah faham dan pergaduhan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini dengan begitu mudah. Jelaslah, internet memudahkan penyebaran pelbagai maklumat palsu dan mengelirukan kepada masyarakat.


Revolusi internet turut membuka peluang berlakunya kes-kes penipuan. Kita sudah banyak kali mendengar rungutan dan aduan masyarakat mengenai diri mereka ditipu oleh pihak tertentu terutama berkaitan dengan perniagaan secara elektronik yang semakin mendapat tempat di internet sekarang ini. Pelabur-pelabur yang tidak begitu mengetahui aspek internet telah ditipu dengan begitu mudah dalam jumlah yang banyak oleh golongan tertentu sehingga memberikan imej buruk kepada dunia perniagaan internet yang lain pula. Jadi, internet menyebabkan berlakunya kerugian kewangan yang banyak kepada masyarakat negara ini.


Remaja sering menghabiskan masa mereka dengan melayari internet sebaik sahaja mereka pulang dari sekolah. Lihat sahaja kafeteria siber yang penuh sesak dengan pelajar-pelajar kita itu baik di bandar mahupun di desa. Semuanya menghabiskan tempoh masa yang lama dengan membazir sahaja selain menghabiskan sejumlah wang yang banyak pula untuk melayari internet. Remaja seolah-olah menganggap melayari internet lebih penting daripada menelaah pelajaran atau menghabiskan masa membuat latihan yang diberikan oleh guru sekolah mereka.


Kesimpulannya, pengguna internet terutama remaja harus bertanggungjawab dalam tindakan mereka itu. Semua maklumat yang mereka nampak haruslah diteliti dan disahkan kesahihannya sebelum mereka melakukan sebarang tindakan susulan pula. Pihak ibu bapa perlulah lebih peka dengan mengawasi masa dan halaman web yang dilayari oleh anak mereka. Jika boleh ibu bapa turut sama melayari web bersama-sama anak supaya proses pembelajaran berjalan dengan lebih baik. Semua teknologi mempunyai kebaikan dan keburukannya tetapi manusialah yang menentukannya bak kata pepatah ”tepuk dada tanya selera”.

Wednesday, June 02, 2021

Karangan PT3: Kesan-kesan buruk kejadian pembuangan bayi di Malaysia

Kejadian pembuangan bayi di negara ini terus berlaku walaupun pelbagai pihak sudah melakukan pelbagai cara untuk mengawalnya.

Jelaskan kesan-kesan buruk yang timbul.


Isu pembuangan bayi telah menjadi satu kemelut duri dalam daging buat masyarakat kita. Gejala ini telah menyebabkan masyarakat kita berasa malu kerana teras utama budaya kita mengutamakan aspek kesopanan diri. Pihak media massa juga telah menggunakan masalah ini untuk mengkritik masyarakat kita secara tersirat. Jadi, apakah, impak yang dibawa oleh penularan budaya membuang bayi ini?


Kesan yang ketara ialah imej rakyat dan negara ini terjejas pada mata masyarakat terutama orang asing. Sejak dahulu, masyarakat kita begitu mengutamakan kesopanan terutama dalam aspek pendidikan remaja kita sehingga menjadi kaguman orang asing. Namun, kejadian pembuangan bayi yang semakin kerap berlaku ini telah menukar persepsi orang lain itu sehingga memalukan kita pula. Maka, kejadian buruk ini secara diam-diam telah menconteng arang ke muka masyarakat kita tanpa disedari itu.


Selain itu, sikap tidak bertanggungjawab ini boleh membawa dakwaan jenayah dikenakan kepada ahli masyarakat kita. Pihak polis telah berkali-kali memberi amaran bahawa ibu bapa yang melakukan gejala ini boleh didakwa di mahkamah apabila bayi mereka itu meninggal dunia. Sudah ada banyak kes pembuangan bayi terutama di kawasan sampah dan sunyi yang membawa kematian bayi tersebut walaupun ibu bapa mereka tidak mempunyai niat untuk membunuhnya atau mencederakannya. Ringkasnya, amalan buruk ini bukan sahaja keji tetapi boleh membawa wujudnya kes mahkamah pula yang boleh menjejaskan masa depan individu terbabit untuk satu tempoh yang panjang.


Tambahan pula, masa depan bayi itu turut terjejas dek tindakan ibubapanya yang tidak bertanggungjawab tersebut. Bayi yang dibiarkan bersendirian itu pastinya akan dihantar ke pusat kebajikan masyarakat dan hidup sebagai anak yatim piatu pula. Tanpa belaian kasih sayang dan didikan sempurna sudah pasti anak itu akan membesar sebagai insan yang bermasalah terutama daripada aspek emosinya. Lantaran itu, negara kita akan memiliki banyak remaja yang mempunyai masalah jiwa yang sukar untuk dikawal sehingga menimbulkan pelbagai kesan sampingan lain pula pada masa mendatang.


Kos perbelanjaan pihak berkuasa juga bertambah apabila gejala pembuangan bayi ini tidak dikawal dengan efektifnya. Kerajaan terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk memastikan urusan persatuan kebajikan berjalan dengan lancar. Semakin banyak penghuni rumah kebajikan ini semakin tinggilah kos yang diperlukan untuk mentadbirkannya dengan lancar itu. Jadi, kerajaan tidak akan mempunyai wang lebihan untuk menjalankan aktiviti pembangunan yang lain pula seperti menyediakan jalan raya yang baik dan sekolah yang lengkap peralatannya serta hospital yang moden.


Kesimpulannya, amalan pembuangan bayi ini membawa pelbagai impak yang negatif kepada masyarakat dan negara. Semua pihak terutamanya ibu bapa hendaklah lebih peka dalam urusan mendidik anak mereka itu. Kalau kita masih menuding jari tanpa mahu menerima kesilapan diri sudah pasti gejala ini tidak akan mampu diselesaikan dengan baik. Sudah sampai masanya kita sebagai ahli masyarakat Malaysia bekerjasama untuk membendung gejala pembuangan bayi ini dengan bersungguh-sungguh.

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Usaha-usaha bantu golongan gelandangan

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...