Monday, April 19, 2021

PT3: Kepentingan bahasa kebangsaan di Malaysia?

Bahasa kebangsaan menjadi alat yang penting dalam usaha membawa kesejahteraan kehidupan di negara ini.

Jelaskan kepentingan bahasa kebangsaan diutamakan di Malaysia.


Bahasa Melayu atau Malaysia merujuk bahasa yang telah diwartakan sebagai bahasa pertuturan rasmi di negara ini sejak merdeka. Penggunaan bahasa ini boleh diamalkan ketika berada di pejabat, sekolah, dan apabila berinteraksi dengan kawan-kawan. Sebenarnya, bahasa ini apabila diamalkan boleh membawa pelbagai kesan positif dalam kehidupan masyarakat majmuk Malaysia.


Manfaat yang timbul apabila rakyat Malaysia menggunakan bahasa kebangsaan ini ialah bahasa ini menjadi simbol kebanggaan dalam kalangan penduduk negara. Penggunaan bahasa ini secara meluas ketika bertutur atau berkomunikasi sesama sendiri boleh membuktikan lambang jati diri nasional yang utuh. Lama-kelamaan, rasa bangga akan menyusup masuk ke dalam jiwa kerana melihat berleluasanya penggunaan bahasa ini dalam kalangan rakyat tempatan.


Selain itu, penggunaan bahasa ini boleh menjadi alat perpaduan antara masyarakat Malaysia itu.  Rakyat boleh bersatu padu di bawah satu bumbung yang dieratkan menerusi penggunaan bahasa kebangsaan ini lalu rasa toleransi, muafakat, dan saling menghormati akan terhasil. Ringkasnya, bahasa kebangsaan berupaya mengeratkan hubungan antara kaum di Malaysia dengan mudah.


Tambahan pula, bahasa kebangsaan boleh berperanan menjadi bahasa ilmu dan maklumat dalam era globalisasi ini. Semua sektor pendidikan di Malaysia menggunakan bahasa ini sebagai bahasa pengantar dan kertas peperiksaan bahasa ini menjadi syarat wajib lulus dalam semua jenis peperiksaan. Akibatnya, bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rujukan ilmu dan informasi dalam kalangan pelajar di negara ini.


Bahasa kebangsaan yang digunakan antara rakyat Malaysia ini berupaya mewujudkan semangat kekitaan yang kukuh pula. Apabila bahasa ini dituturkan oleh semua pihak sudah pasti timbul satu persamaan yang kukuh sesama rakyat sehingga mendaulatkan penggunaan ke seluruh negara. Sesungguhnya, bahasa kebangsaan yang digunakan itu boleh menjadi lambang maruah dan imej negara yang sewajarnya.


Kesimpulannya, bahasa kebangsaan bolehlah dilihat sebagai nyawa sesuatu bangsa itu. Kajian sudah membuktikan bahawa bahasa melambangkan bangsa dan tamadun sesuatu rakyat negara itu. Slogan bahasa jiwa bangsa membuktikan bahawa bahasa yang dituturkan itu menunjukkan budaya sesebuah negara.



No comments:

Artikel Pilihan

Karangan UASA: Cara-cara popularkan semula permainan tradisional