Sunday, May 23, 2021

Karangan PT3: Cara-cara penggunaan rangkaian sosial yang sihat oleh remaja

Rangkaian sosial menjadi kegilaan masyarakat zaman ini terutamanya remaja kita tetapi memahami kesannya.


Jelaskan cara-cara penggunaan yang sihat oleh remaja dalam isu ini.


Rangkaian sosial merujuk penggunaan perisian di internet yang membolehkan penghantaran pelbagai mesej kepada seseorang dengan satu sentuhan sahaja. Perisian yang popular meliputi Facebook, Twitter, Instagram, dan sebagainya. Jadi, memang ada banyak penggunaan rangkaian sosial yang sihat boleh diamalkan oleh remaja kita terutamanya di sekolah.


Penggunaan yang sihat ialah remaja menggunakan rangkaian sosial untuk berkomunikasi dengan mudah dan pantas. Mereka boleh berhubung dengan sesiapa sahaja terutamanya ibu bapa dan saudara di mana-mana sahaja mereka berada pada bila-bila masa pula. Sebenarnya, penggunaan sebegini berupaya merapatkan hubungan sesama ahli keluarga menjadi lebih mesra.


Selain itu, remaja yang bijak akan menggunakan rangkaian sosial terutamanya facebook untuk memperoleh sesuatu informasi yang penting. Banyak pihak terutamanya syarikat gergasi dan pihak kerajaan menggunakan facebook dan twitter untuk melaporkan sesuatu aktiviti yang dijalankan oleh mereka kepada masyarakat umum. Maka, penggunaan rangkaian sosial secara bertanggungjawab ini bakal menjadikan remaja sebagai insan yang bermaklumat tinggi.


Tambahan pula, rangkaian sosial boleh digunakan oleh remaja sebagai cara untuk memperoleh kenalan atau sahabat baru dalam hidup mereka. Semua orang boleh mengakses rangkaian sosial orang lain lalu mereka boleh menggunakan kaedah ini untuk mengenali kawan baru yang berada jauh dari tempat tinggal seseorang tersebut. Akibatnya, remaja menggunakan kawan baru mereka ini sebagai tempat meluahkan perasaan apabila dilanda sesuatu kemelut jiwa yang meruncing tersebut.


Akhir sekali, remaja yang berwawasan boleh menggunakan rangkaian sosial sebagai satu kaedah untuk menonjolkan bakat atau kebolehan sendiri. Bakat dalam bidang tertentu seperti memasak, menyanyi dan kemungkinan menulis boleh diketengahkan menerusi rangkaian sosial sehingga menjadikan remaja dikenali umum berdasarkan kemahiran itu. Ringkasnya, rangkaian sosial boleh digunakan oleh remaja untuk mengasah bakat mereka dalam bidang tertentu menjadi lebih baik pada masa hadapan.


Konklusinya, rangkaian sosial harus digunakan oleh remaja mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh masyarakat kita. Namun, ada remaja yang tidak sedar lalu mereka terperangkap dalam arus perdana penggunaan rangkaian sosial yang menjurus ke arah berlibur tanpa mendatangkan apa-apa hasil yang baik terhadap kehidupan mereka. Peribahasa tepuk dada tanya selera mengingatkan remaja supaya memahami sendiri penggunaan rangkaian sosial supaya sejajar dengan kehidupan mereka yang penuh dengan dugaan dan cabaran hebat tersebut.

Monday, May 17, 2021

Karangan PT3: Punca-punca kemalangan jalan raya melibatkan motosikal bertambah?

Kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal semakin banyak di negara ini.


Jelaskan punca kemalangan ini bertambah.


Kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal merujuk kejadian malang yang menimpa penunggang atau pembonceng kenderaan tersebut. Biasanya kejadian ini berlaku pada waktu sibuk dan di kawasan berselekoh tajam yang bahaya itu terutamanya waktu malam. Sebenarnya, pelbagai faktor mendorong musibah ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita yang masih enggan mengakui kesilapan sendiri.


Punca utama kemalangan motosikal berlaku disebabkan sikap penunggang kenderaan itu yang menungang secara tidak beretika. Mereka biasanya menunggang secara laju dan berbahaya ala pelumba jalanan sehingga mudah membawa kemalangan terjadi pula. Jelaslah, kemalangan motosikal berlaku akibat sikap penunggang yang tidak mematuhi peraturan jalan raya itu seolah-olah mereka sahaja yang menggunakan jalan raya.


Selain itu, penunggang motosikal juga tidak suka memakai topi keselamatan ketika menunggang itu. Sikap negatif ini menyebabkan sebarang kemalangan yang berlaku berupaya untuk meragut nyawa walaupun impaknya begitu kecil. Banyak penunggang beranggapan kemalangan tidak boleh menimpa diri mereka lalu tidak memakai topi keledar yang boleh menyelamatkan mereka daripada kecederaan teruk di kepala itu. 


Tambahan pula, kebanyakan penunggang lebih suka menunggang motosikal mereka secara berkumpulan pula. Apabila mereka menunggang secara berkumpulan ini sudah pasti bahaya akan berlaku kerana kesukaran untuk mengawal motosikal apabila kecemasan terjadi. Maka, kadar kemalangan tinggi kerana penunggang membawa motosikal mereka secara berkumpulan dalam keadaan bahaya itu.


Kajian juga telah membuktikan bahawa penunggang motosikal di negara ini tidak suka menggunakan lorong sikal yang telah disediakan itu. Keengganan sebegini menyebabkan motosikal mereka lebih mudah dilanggar oleh kenderaan lain yang dipandu dengan laju itu. Sesungguhnya, kemalangan motosikal boleh dikurangkan jika penunggang menggunakan lorong yang betul ketika di atas jalan raya itu.


Kesimpulannya, semua punca tadi telah menyebabkan kemalangan yang membabitkan motosikal bertambah saban tahun. Semua pihak terutama ibu bapa perlulah memantau kelakuan anak mereka terutama ketika berada di jalan raya. Konsep lepas tangan oleh pihak ibu bapa hendaklah dikikis kerana merekalah yang menjadi golongan awal yang boleh menasihati anak supaya menunggang motosikal secara baik.

Wednesday, May 12, 2021

Karangan SPM 2021: Cara-cara remaja menggunakan laman sosial dengan efektif

Penggunaan aplikasi rangkaian sosial terutama Facebook dan Twitter begitu meluas dalam kalangan remaja masa kini.


Huraikan cara-cara remaja memanfaatkan laman sosial itu?


Rangkaian sosial merujuk penggunaan perisian internet dalam membuat hubungan sosial atau interaksi sesama manusia pada zaman ini. Kajian membuktikan bahawa rangkaian sosial seperti facebook, twitter, instagram, dan sebagainya telah menjadi peneraju dalam interaksi sesama manusia terutamanya dalam kalangan remaja. Kekerapan remaja menggunakan rangkaian sosial telah mencetuskan pelbagai kritikan sosial yang turut mengundang wacana daripada masyarakat umum. Jadi, apakah kaedah-kaedah yang betul dalam penggunaan rangkaian sosial ini buat remaja?


Penggunaan yang sewajarnya ialah remaja menggunakannya untuk berkomunikasi dan berhubung sesama insan dengan pantas dan mudah. Remaja yang mahir dalam rangkaian sosial ini memerlukan satu sentuhan sahaja untuk bertanya khabar atau berbual dengan ibu bapa dan rakan mereka. Pemilikan telefon bimbit yang semakin canggih telah menjadikan kaedah komunikasi sebegini satu cara hidup remaja yang menarik untuk diperhatikan oleh sesiapa sahaja. Jelaslah, rangkaian sosial boleh digunakan oleh remaja untuk memudahkan mereka berkomunikasi dengan insan lain di dunia ini.


Selain itu, remaja yang berwawasan akan menggunakan rangkaian sosial untuk berkongsi informasi dan ilmu dengan orang lain. Perkongsian ini boleh dilakukan dalam aspek pembelajaran di sekolah dan aktiviti harian mereka supaya semua pihak mengetahui perkara yang sedang berlaku itu. Tindakan ini akan mempercepat penularan sesuatu berita atau perkara penting sesama remaja seperti pembatalan kelas di sekolah dan sebagainya. Ringkasnya, rangkaian sosial menjadikan remaja boleh berkongsi dengan sesiapa sahaja informasi yang dirasakan perlu dengan mudah.


Bakat dan kebolehan remaja boleh ditonjolkan menerusi rangkaian sosial apabila digunakan dengan sebaik mungkin. Rangkaian sosial seperti facebook boleh memuat naik aksi remaja seperti menyanyi dan memasak lalu aksi ini akan diketahui oleh banyak pihak yang mempunyai rangkaian sosial yang serupa. Pendedahan sebegini bukan sahaja membuka peluang bakat remaja dikenali ramai tetapi peluang untuk menjadi lebih terkenal sehingga kebolehan itu menjadi kerjaya juga amat tinggi untuk berlaku. Sesungguhnya, rangkain sosial menjadi platform kepada remaja untuk mengejar impian kerjaya idaman pada masa depan.


Penggunaan rangkaian sosial yang ketara dalam kalangan remaja ialah rangkaian ini memudahkan mereka mencari atau memperoleh kawan baru. Perkenalan yang dibuat menerusi rangkaian sosial begitu mudah kerana tidak memerlukan interaksi bersemuka yang kadang kala boleh menimbulkan rasa tidak selesa kepada seseorang remaja. Apabila mereka berkenalan menerusi kaedah ini pelbagai perkara boleh dibincangkan seperti perbualan kawan dalam dunia nyata tetapi menggunakan telefon bimbit dan komputer sahaja. Lama-kelamaan remaja boleh meluahkan perasaan dan masalah mereka sehingga menjadikan kehidupan remaja yang penuh cabaran itu lebih tenang dan baik.


Kesimpulannya, rangkaian sosial begitu penting dalam kehidupan remaja lalu  tetapi cara penggunaannya perlulah betul dan terkawal.  Kegagalan untuk menggunakannya dengan tepat akan membawa pelbagai impak seperti kes jenayah dan masa dihabiskan sia-sia pula. Kerajaan bersama-sama masyarakat perlu bersikap terbuka dalam isu ini kerana dunia remaja memang oenuh dengan internet terutamanya rangkaian sosial. Peribahasa ukur baju di badan sendiri seolah-olah menekankan kepentingan remaja menilai sendiri keperluan mereka dalam penggunaan rangkaian sosial itu.


Wednesday, May 05, 2021

PT3: Masalah-masalah yang dibawa oleh fenomena mat rempit

Mat rempit menjadi satu panggilan yang sesuai untuk golongan muda yang menunggang motosikal secara berbahaya. Golongan ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat.

Jelaskan masalah-masalah itu.


Mat rempit dikatakan golongan muda yang sering menunggang motosikal tanpa kawalan atau peraturan. Banyak remaja terutama di kawasan luar bandar yang terlibat dalam gejala motosikal ini. Lantaran itu, mat rempit telah menimbulkan pelbagai kemelut di Malaysia sehingga imej golongan ini menjadi tidak begitu baik.


Masalah utama yang ditimbulkan oleh mat rempit ialah golongan ini membawa kemalangan berlaku dengan mudah. Mat rempit menunggang motosikal secara berbahaya dan laju sehingga membawa pengguna jalan raya lain tidak boleh mengawal kenderaan mereka. Sikap mat rempit yang tidak bertanggungjawab itu membawa kemalangan berlaku dengan mudah pula.


Pihak polis sudah mengesahkan bahawa jenayah menjadi aktiviti mat rempit selain menunggang secara berbahaya. Kegiatan lumba haram, pengedaran dadah, dan aktiviti mencuri menjadi agenda utama mat rempit di negara ini. Akibatnya, pihak polis terpaksa menahan mat rempit setiap kali jenayah dilaporkan di sesuatu kawasan itu.


Tambahan pula, mat rempit menjatuhkan imej diri dan keluarga tanpa disedari oleh mereka. Masyarakat sering mengaitkan mat rempit dengan gejala negatif yang ada hubung kait dengan kekurangan kasih sayang keluarga. Lama-kelamaan, peribadi diri dan keluarga akan dipandang serong oleh masyarakat kerana mat rempit dikatakan golongan yang tidak bermoral.


Mat rempit turut menjadi medan golongan muda untuk melakukan aktiviti yang membazirkan masa muda mereka. Golongan ini hanya berbual kosong sambil menunggang motosikal kesayangan itu ke hulu dan ke hilir dengan bunyi enjin yang kuat. Sesungguhnya, masa muda dihabiskan menunggang motosikal tanpa melakukan apa-apa yang berfaedah.


Kesimpulannya, imej mat rempit di negara ini tidaklah baik kerana golongan ini menimbulkan pelbagai masalah. Ibu bapa perlulah lebih bijak dalam mengawasi aktiviti anak mereka supaya tidak terjebak sama. Peribahasa malang tidak berbau boleh meningatkan kita erti amalan menunggang motosikal secara selamat penting.

Artikel Pilihan

Kebaikan-kebaikan memandu secara berhemah