Friday, February 26, 2021

PT3: Kebaikan-kebaikan amalan membaca

Amalan membaca dalam diri pelajar harus ditekankan oleh semua pihak.


Huraikan kebaikannya.


Amalan membaca ialah sikap suka menelaah bahan bacaan dalam aktiviti harian seseorang pelajar itu. Antara bahan bacaan itu meliputi novel, majalah dan akhbar yang banyak dijual di kedai-kedai buku itu. Sebenarnya, amalan ini mempunyai banyak faedah kepada diri pelajar apabila dilakukan secara kerap.


Kebaikan yang ketara ialah membaca boleh menambahkan ilmu pengetahuan seseorang itu.  Aktiviti membaca pasti membawa pelajar memperoleh maklumat terkini tentang sesuatu perkara itu seperti penemuan kajian sains yang mengejutkan itu. Lantaran itu, diri pelajar sering terdedah pada kajian saintis yang sering berubah-ubah mengikut zaman.


Selain itu, membaca juga boleh meningkatkan kemahiran bahasa pelajar. Penemuan saban hari istilah atau kosa kata baru yang difahami setelah memeriksa kamus itu akan meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar tersebut. Sesungguhnya, penggunaan kosa kata dalam diri pelajar akan menjadi meluas dan menjadikan pelajar mahir dalam penulisan pula.


Tambahan pula, pemikiran pelajar menjadi lebih baik atau matang apabila kerap membaca bahan akhbar dan majalah. Pembacaan menjadikan pelajar mengetahui banyak isu daripada pelbagai sudut pandangan masyarakat itu tanpa mengira positif atau negatif. Jelaslah, pelajar akan menimbang sendiri semua fakta yang dihuraikan dalam pembacaan itu lalu mampu membuat kesimpulan yang bernas.


Sikap suka membaca boleh mengisi masa lapang pelajar. Amalan ini memerlukan tumpuan yang lama seperti berjam-jam untuk menghabiskan sebuah buku terutama buku pelajaran yang tebal itu. Maka, kemungkinan untuk pelajar tersebut terlibat dalam sebarang kejadian negatif seperti melepak tidak akan berlaku.


Kajian juga membuktikan bahawa pelajar yang kerap membaca buku akan memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang. Kejayaan ini berlaku kerana banyak fakta yang perlu dihafal apabila pelajar menjawab soalan peperiksaan umum negara ini. Akibatnya, ibu bapa akan berasa bangga dengan kejayaan anak mereka dalam peperiksaan itu.


Kesimpulannya, semua faedah membaca itu benar-benar berlaku sekiranya diamalkan secara baik. Ibu bapa perlulah membantu memupuk minat ini dengan memberi galakan atau membeli bahan bacaan yang berkualiti buat anak mereka. Bak kata orang tua-tua membaca itu jambatan ilmu yang membuktikan amalan ini penting dilaksanakan oleh semua pelajar tanpa mengira batasan usia tersebut.

Monday, February 22, 2021

Kelas penulisan PT3 Cikgu Azman



 

Karangan PT3...Cara-cara atas tekanan pelajar

Kehidupan pelajar penuh dengan tekanan terutama tekanan peperiksaan.


Berikan pendapat anda tentang cara mengatasi masalah ini.


Tekanan pelajar bermaksud rasa tidak selesa yang dialami oleh pelajar dalam menjalani kehidupan harian mereka. Pelbagai pihak memberikan tekanan kepada pelajar seperti ibu bapa, pihak sekolah, dan rakan-rakan. Lantaran itu, pelbagai langkah boleh diambil oleh pelajar untuk mengekang tekanan ini.


Kaedah yang boleh dilakukan oleh pelajar untuk mengatasi tekanan ialah mereka berkongsi masalah dengan rakan baik. Tindakan ini bermaksud pelajar yang bermasalah itu boleh meluahkan kerisauannya kepada orang lain tanpa ragu-ragu.  Jelaslah, luahan ini menjadikan jiwa pelajar tersebut lebih tenang untuk meneruskan kehidupan.


Selain itu, usaha bertemu dengan guru kaunseling berupaya menghalang tekanan daripada memusnahkan pelajar. Guru kaunseling yang berpengalaman dalam psikologi itu boleh memberikan pelbagai nasihat yang membina kepada pelajar. Maka, pelajar akan berjaya mengatasi tekanan kerana nasihat guru kaunseling yang betul itu.


Tambahan pula, penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum membantu mengurangkan tekanan tersebut. Apabila menyertai aktiviti seperti sukan ini sudah pasti minda mereka lebih fokus terhadap aktiviti tersebut berbanding masalah yang dialami. Akibatnya, pelajar berasa lebih tenang dan bertenaga untuk menyelesaikan masalah hidup selepas selesai melakukan aktiviti kokurikulum itu.


Pelajar juga boleh mengekang tekanan diri dengan menyertai ceramah motivasi itu. Penceramah motivasi akan menggunakan pelbagai kaedah psikologi supaya pelajar berfikiran positif dalam mengatasi kemelut hidup mereka itu. Ringkasnya, pelajar akan melihat tekanan itu daripada aspek positif lalu mampu meneruskan kehidupannya.


Kesimpulannya, semua tindakan tadi boleh diambil oleh pelajar untuk memastikan tekanan hidup mereka berjaya dikawal. Pelajar perlulah lebih positif apabila mengalami tekanan kerana hidup tanpa tekanan bukanlah hidup sebenar. Bak kata pepatah bumi mana yang tidak ditimpa hujan membuktikan kita semua ada kesilapan yang harus dijadikan pengajaran dalam hidup dan bukannya penamat kehidupan.


Wednesday, February 17, 2021

SPM: Faedah-faedah bersukan di sekolah

Kerajaan mewajibkan program sukan disertai oleh semua pelajar di sekolah.


Huraikan faedah-faedah yang bakal peroleh oleh pelajar dengan menyertai aktiviti sukan di sekolah.


Aktiviti sukan dilihat sebagai satu aktiviti riadah yang baik untuk pelajar di sekolah. Antara aktiviti yang positif ini meliputi acara larian, bola sepak, hoki, badminton, dan sebagainya. Pihak media massa turut menyiarkan banyak bahan berita yang menekankan peri pentingnya sukan dalam kehidupan pelajar yang penuh tekanan itu. Lantaran itu, pelajar yang menyertai aktiviti sukan akan memperoleh pelbagai kesan baik.


Impak positif yang pertama melibatkan masa lapang pelajar berkenaan dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah. Pelajar tidak akan bercampur dengan golongan yang tidak bermoral kerana aktiviti sukan dijalankan di kawasan sekolah dengan pengawasan pihak guru pula. Masa untuk menghabiskan sesuatu acara sukan itu juga memerlukan tempoh yang lama seperti bola sepak yang pastinya mengambil masa sejam lebih. Jadi, pelajar yang terlibat dalam acara sukan akan memenuhkan masa lapangnya dengan baik.


Selain itu, pelajar yang sering menyertai aktiviti sukan dikatakan lebih sihat berbanding dengan pelajar yang melakukan sebarang aktiviti senaman itu. Sukan memerlukan tenaga dan pelajar pasti akan berpeluh apabila melakukan acara sukan seperti hoki dan badminton itu. Peluh yang keluar ini turut menyingkirkan toksik badan selain mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh pelajar itu. Jelaslah, pelajar akan sihat kerana masa tidur mereka juga terjaga kerana sudah keletihan menjalani latihan sukan di sekolah itu.


Malah, pemupukan nilai-nilai murni turut berlaku apabila seseorang pelajar itu menyertai aktiviti sukan di sekolah. Nilai murni seperti bekerjasama, berbincang, berfikir secara kritis dan bersemangat juang pasti tertanam kerana semua nilai ini diperlukan dalam sebarang acara sukan itu. Pelajar yang sudah selalu menyertai sukan akan turut mengamalkan nilai sebegini dalam kehidupan harian mereka yang penuh dengan dugaan itu. Jadi, nilai-nilai murni dapat dipupuk jika pelajar menyertai acara sukan di sekolah.


Sukan juga dilihat sebagai satu kaedah psikologi untuk memberikan keyakinan kepada diri pelajar itu. Acara sukan memerlukan pelajar berinteraksi dan melakukan sesuatu yang diluar kemampuan biasa mereka itu terutama ketika bersaing dalam pertandingan sukan. Kejayaan pelajar melakukan sesuatu yang luar biasa dalam sukan boleh memberikan mereka satu keyakinan bahawa diri mereka bagus dalam sesuatu perkara itu. Sesungguhnya, pelajar akan melihat diri mereka dengan berbeza setelah menyedari potensi diri mereka menerusi acara sukan yang disertai itu. 


Kesimpulannya, semua impak positif tadi memang boleh dialami oleh pelajar kita yang menyertai acara sukan tersebut. Ibu bapa hendaklah memberikan sokongan yang padu kepada anak mereka agar melibatkan diri dalam acara sebegini. Sukan tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang membazirkan masa dan tenaga sahaja kerana kejayaan pelajar tidak harus diukur berdasarkan kejayaan dalam akademik sahaja bersesuaian dengan slogan badan cergas, otak cerdas. Sudah sampai masanya kita melihat sukan sebagai satu komponen utama dalam usaha memajukan sistem pendidikan negara itu.


Saturday, February 13, 2021

SPM: Cara-cara peroleh kecemerlangan akademik

Kecemerlangan akademik menjadi impian semua pelajar namun masih banyak yang gagal mencapainya.


Huraikan cara-cara memperoleh kecemerlangan akademik itu.


Kecemerlangan akademik merujuk kejayaan yang diperoleh oleh pelajar di sekolah. Walaupun ada pihak yang merujuk kejayaan ini dalam bidang akademik sahaja tetapi ada juga yang melihat meliputi aspek yang jauh lebih luas seperti bidang kokurikulum itu. Pihak media massa sering mengkritik pihak sekolah yang hanya berjaya melahirkan pelajar yang bagus dalam peperiksaan tetapi masih gagal menyerlah dalam bidang yang lain pula. Jadi, apakah kaedah-kaedah yang boleh dilakukan oleh seseorang pelajar dalam usaha mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik itu?


Tindakan pertama ialah pelajar perlulah melakukan ulang kaji yang kerap terutama subjek yang sukar buat mereka itu. Amalan ini boleh dilakukan ketika berada di kawasan sekolah dan juga ketika di rumah pada bila-bila masa terluang tersebut. Kekerapan melakukan ulang kaji memudahkan pelajar memahami sesuatu topik dengan lebih mendalam lalu tidak akan mengalami sebarang masalah ketika menghadapi peperiksaan kelak. Lantaran itu, kecemerlangan akademik boleh diperoleh apabila pelajar sering melakukan amalan menelaah bahan pendidikan mereka itu.


Selain itu, pelajar yang bermatlamat tinggi untuk memperoleh kejayaan dalam akademik mereka hendaklah memberikan tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran guru di sekolah. Mereka mestilah bersedia mendengar dan menyalin semua bahan pendidikan yang disuarakan oleh guru tanpa banyak alasan pula. Tindakan memberikan fokus ketika guru mengajar di kelas memudahkan pelajar untuk mengetahui bahagian penting sesuatu topik apabila diberi penekanan oleh pihak guru itu. Akibatnya, pelajar akan berjaya menjawab semua soalan peperiksaan dengan mudah kerana mereka mendengar semua penerangan guru tanpa ada perasaan prejudis itu.


Tambahan pula, kejayaan dalam akademik menjadi lebih holistik apabila pelajar terbabit menyertai semua aktiviti kokurikulum mereka. Pelajar yang berfikiran positif akan melibatkan diri dalam aktiviti persatuan, pasukan beruniform, sukan dan sebagainya dalam usaha menjadikan diri mereka serba boleh dalam pelbagai perkara di sekolah. Penglibatan pelajar dalam kokurikulum juga berupaya untuk merehatkan minda mereka daripada terkongkong oleh amalan membaca buku akademik sahaja lalu memberikan satu ketenangan minda. Sesungguhnya, banyaj pelajar yang berjaya dalam akademik turut melibatkan diri secara serius dalam pelbagai kegiatabn korikulum di sekolah mereka.


Kejayaan dalam akademik turut mampu diraih oleh pelajar apabila mereka tidak terlibat dalam sebarang kesalahan yang melanggar disiplin sekolah. Golongan sebegini akan mematuhi semua disiplin yang ditetapkan oleh pihak sekolah seperti tidak merokok, tidak ponteng sekolah, tidak berambut panjang, dan sebagainya dengan penuh jiwa raga mereka. Kemampuan memastikan diri mereka tidak terlibat dalam kegiatan negatif ini menjadikan minda dan fokus pelajar tidak terganggu dalam mencapai kejayaan akademik itu. Ringkasnya, pelajar yang berjaya dalam akademik mesti mematuhi disiplin sekolah kerana mereka tidak mahu isu disiplin menganggu persiapan mereka dalam mencapai kejayaan dalam peperiksaan kelak.


Kajian juga telah membuktikan bahawa kejayaan pelajar dalam akademik banyak ditentukan dengan tahap interaksi mereka dengan rakan dan guru di sekolah. Hubungan yang lebih mesra dan harmoni sesama pelajar lain dan guru akan menjadikan jiwa pelajar lebih tenteram lalu mudah menerima pelajaran guru. Kewujudan interaksi dengan guru juga membolehkan pihak guru memberikan tumpuan peribadi kepada pelajar berdasarkan kemampuan mereka dalam sesuatu subjek tersebut sehingga berjaya. Maka, semakin rapat hubungan pelajar terbabit dengan rakan dan guru semakin tinggilah peluang untuk dirinya berjaya dalam bidang akademik.


Konklusinya, semua tindakan yang dihuraikan tadi boleh dilakukan oleh semua pelajar yang mahu mencapai kejayaan dalam akademik mereka. Pelajar harus sedar dan memahami bahawa kejayaan akademik penting supaya kehidupan masa depan mereka lebih terjamin dan cerah pula. Kegagalan memperoleh kejayaan akademik di sekolah boleh membawa satu dugaan kehidupan yang maha besar kepada pelajar tersebut. Bak kata pepatah usaha tangga kejayaan yang membuktikan bahawa usaha untuk berjaya terletak pada tangan pelajar tersebut.




Sunday, February 07, 2021

Ebuku persiapan akhir SPM




 

SPM: Kaedah negara serantau hadapi krisis makanan

Krisis kekurangan makanan yang berlaku di rantau ini dapat ditangani secara berkesan melalui kerjasama antara negara serantau.


Bincangkan kerjasama yang dapat dilakukan oleh Malaysia dengan negara-negara jiran untuk menangani krisis tersebut.


Krisis kekurangan makanan di rantau ini sering dikaitkan dengan kegagalan rakyat sesebuah negara untuk menerima  makanan yang secukupnya. Antara negara rantau ini yang sering mengalami masalah kekurangan makanan meliputi Laos, Myammar, Indonesia dan India. Kemelut kekurangan makanan turut mendapat reaksi pemimpin dunia terutama apabila menghadiri sesuatu persidangan yang mendapat liputan meluas media massa itu. Sebenarnya, pelbagai tindakan yang berunsur kerjasama boleh dilaksanakan oleh Malaysia dan negara-negara serantau untuk membasmi isu yang semakin mendapat perhatian masyarakat global ini.


Langkah bekerjasama yang paling munasabah dilaksanakan oleh Malaysia dan negara jiran ialah penghantaran bekalan makanan kepada negara yang menghadapi masalah kekurangan makanan itu. Bekalan makanan yang meliputi beras, gula, tepung dan minyak masak ini boleh dihantar menggunakan saluran pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Palang Merah Antarabangsa yang sering melakukan tugas sebegini. Tindakan pantas negara-negara serantau ini boleh meringankan beban yang dipikul oleh negara terbabit terutama setelah negara itu dilanda bencana alam yang boleh membawa kemusnahan bekalan makanan secara besar-besaran seperti angin taufan dan gempa bumi. Lantaran itu, masalah kekurangan bekalan makanan selepas bencana alam berlaku boleh ditangani apabila penghantaran bekalan ini dilaksanakan dengan segera.


Selain itu, kekurangan makanan boleh ditangani dengan efektif apabila semua negara yang berjiran di rantau ini berkongsi teknologi yang mereka gunakan itu. Amalan berkongsi teknologi ini terutamanya penggunaan mesin atau jentera boleh mengurangkan penggunaan buruh manusia secara menyeluruh dalam sektor pertanian sesebuah negara itu. Malah, penggunaan jentera secara meluas turut berupaya untuk meningkatkan produktiviti iaitu menambah jumlah penghasilan sesuatu bahan makanan tersebut.  Jadi, semakin banyak teknologi yang dikongsi oleh negara serantau semakin kurangnya berlaku kejadian kekurangan bekalan makanan di kawasan ini.


Tambahan pula, negara rantau ini boleh berkongsi kepakaran masing-masing dalam bidang pertanian. Setiap negara boleh menghantar pakar mereka dalam bidang pertanian yang kemudiannya digunakan oleh petani di negara lain untuk memajukan sektor pertanian tersebut. Teknik-teknik menanam, memetik, dan memilih baka pokok pertanian sudah pasti akan didedahkan kepada petani di negara tertentu itu lalu membawa pulangan hasil yang jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini. Ringkasnya, teknik penanaman pertanian yang lebih moden berupaya untuk menghapuskan masalah kekurangan bekalan makanan yang menghantui sesebuah negara di dunia itu.


Bukan sahaja pemberian teknologi dan berkongsi kepakaran tetapi Malaysia dan negara yang lain boleh menyuntik sumber kewangan sebagai modal kepada negara yang mengalami krisis makanan itu.Pemberian peruntukan kewangan ini boleh memberikan negara tersebut kemampuan untuk membina kemudahan awam yang berupaya memajukan sektor pertanian mereka seperti pembinaan empangan dan pembelian benih pertanian yang berkualiti pula. Semua modal yang disalurkan oleh negara serantau itu menjadi cara untuk negara tertentu memodenkan lagi sistem pertanian mereka selaras dengan perubahan zaman yang mengutamakan teknologi dan penggunaan jentera itu. Sesungguhnya, pemberian sumber kewangan menjadi satu kaedah yang paling mudah dalam usaha mengekang isu kekurangan bekalan makanan ini.


Akhir sekali, kempen tentang krisis makanan ini boleh dilaksanakan oleh semua negara yang bertanggungjawab itu. Usaha mengadakan kempen kesedaran ini boleh menimbulkan rasa bertanggungjawab dalam diri setiap rakyat di rantau ini supaya melihat makanan sebagai sesuatu yang penting dan harus dikongsi bersama. Rakyat yang menyedari kepentingan tidak membazir makanan akan melakukan tindakan yang boleh mengurangkan impak krisis makanan apabila benar-benar berlaku. Maka, kempen yang dilancarkan itu akan memberi pengetahuan kepada rakyat tentang keperluan tidak membazir makanan yang diperoleh saban hari itu.


Konklusinya, krisis kekurangan makanan ini memerlukan kerjasama semua pihak terutama negara yang berjiran dengan mereka itu. Kerjasama secara holistik itu penting kerana masalah makanan ini sudah menjadi isu global yang sukar untuk diselesaikan tanpa pembabitan semua pihak. Kegagalan untuk menghulurkan kerjasama itu boleh menyaksikan angka kematian akibat kebuluran di dunia ini akan bertambah setiap tahun terutama di benua Afrika dan Asia itu. Peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat membuktikan bahawa masalah kekurangan makanan ini boleh diatasi setelah semua pihak bersatu dalam melaksanakan tugas mereka.


Monday, February 01, 2021

Ebuku untuk persiapan akhir SPM





 

PT3: Kebaikan-kebaikan wujudnya hutan di Malaysia

Negara ini memang pernah dikelilingi oleh hutan tetapi pembangunan yang pesat telah mengurangkan kawasan hutan itu.

Jelaskan kebaikan-kebaikan wujudnya kawasan hutan di negara ini.


Hutan merujuk kawasan yang diliputi oleh tumbuh-tumbuhan hijau itu. Kawasan hutan ini boleh wujud di kawasan panas, salji, kawasan tanah tinggi, kawasan sungai, dan sebagainya. Maka, apakah manfaat-manfaat yang diberikan oleh hutan kepada masyarakat semua?


Kebaikan utama yang diberikan oleh hutan kepada manusia ialah hutan membekalkan sumber oksigen kepada manusia. Kebanyakan pokok di dalam hutan menghasilkan oksigen apabila mereka berusaha untuk membuat makanan lalu oksigen ini akan disedut oleh manusia tersebut. Jelaslah, hutan yang tebal akan menjamin manusia memperoleh bekalan oksigen yang segar sepanjang masa.


Selain itu, semua pihak bersetuju bahawa hutan yang luas akan membekalkan sumber pendapatan kepada negara dan pekerjaan kepada masyarakat. Hutan boleh dijadikan sebagai destinasi pelancongan yang memberikan sumber kewangan kepada negara daripada cukai syarikat dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Akibatnya, negara terus makmur dan rakyat gembira kerana taraf hidup mereka bertambah baik kerana hutan dikekalkan.


Tambahan pula, hutan yang dikekalkan dengan sempurna boleh menjamin kejadian bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh tidak berlaku secara kerap. Tumbuh-tumbuhan mempunyai akar yang panjang lalu mereka berupaya memastikan struktur tanah tidak akan mudah terlerai apabila hujan lebat melanda sesuatu kawasan itu. Lantaran itu, kejadian banjir kilat dan tanah runtuh tidak akan berlaku lalu kadar kematian mampu dikurangkan.


Hutan yang diselia dengan efektif boleh menjadi habitat flora dan fauna yang penting kepada manusia. Keadaan hutan yang memiliki kawasan hijau, sungai, paya, pasir, dan sebagainya menyediakan habitat yang sempurna untuk haiwan dan pokok membiak. Lama- kelamaan, hutan akan memastikan flora dan fauna negara tidak akan pupus itu.



Kesimpulannya, semua kebaikan tadi memang akan berlaku apabila hutan dijaga dengan baik oleh masyarakat di Malaysia. Ada segelintir ahli masyarakat kita yang gemar memusnahkan hutan kerana tidak memahami kepentingan hutan dalam kehidupan manusia itu. Peribahasa kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga mengingatkan kita bahawa tindakan sesetengah pihak itu boleh menjejaskan masa depan semua.


Artikel Pilihan

Karangan SPM: Usaha-usaha bantu golongan gelandangan

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...