Friday, July 30, 2021

Karangan SPM: Sebab-sebab kejadian ragut berlaku

Media Massa sering melaporkan kejadian jenayah seperti kes ragut yang sering berlaku di negara kita sejak akhir-akhir ini. 


Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan kes ragut  menjadi lebih serius.


Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat?


Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka lalu menjadi sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan jenayah ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.


Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Sudah terang lagi bersuluh, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.


Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.


Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat tersebut. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah dalam jiwa mereka. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka.


Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.

Thursday, July 22, 2021

Karangan PT3: Kebaikan membina lebuh raya

Lebuh raya menjadi satu aspek kemudahan awam utama di Malaysia. Negara ini mempunyai banyak lebuh raya.


Berikan faedah-faedah membina lebuh raya ini.



Negara kita terkenal dengan jaringan lebuh raya yang berkualiti dan meluas itu. Hampir semua negeri di negara ini memiliki sistem jalan raya dan lebuh raya yang moden dan selamat itu. Sebenarnya, lebuh raya mempunyai banyak kebaikan tersendiri.


Kebaikan utama pembinaan lebuh raya ini ialah proses perjalanan sesebuah kenderaan itu menjadi lebih singkat. Biasanya, jalan lama mengambil masa yang panjang untuk sampai ke sesuatu destinasi berbanding lebuh raya yang dibina untuk kepantasan bergerak itu. Maka, semakin banyak lebuh raya di bina semakin mudah lagi pantas perjalanan ke mana-mana destinasi itu.


Selain itu, usaha membina lebuh raya boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Proses pembinaan itu memerlukan arkitek, jurutera dan pekerja tambahan yang banyak untuk satu tempoh masa yang panjang pula. Sesungguhnya, lebuh raya bukan sahaja memudahkan perjalanan masyarakat tetapi memberikan peluang mencari rezeki pula.


Tambahan pula, imej negara menjadi baik pada mata orang asing menerusi pembinaan lebuh raya ini. Sudah banyak kali orang asing terutamanya pelancong luar memuji kehebatan dan kecanggihan sistem pengangkutan negara terutamanya lebuh raya itu. Lantaran itu, semakin banyak lebuh raya semakin tinggilah imej negara pada orang luar.


Lebuh raya negara ini juga dikatakan menawarkan aspek keselamatan yang tinggi nilainya. Kebanyakan lebuh raya negara kita mempunyai lebih daripada tiga lorong yang memastikan risiko kemalangan berkurangan. Oleh itu, lebuh raya menjamin keselamatan penggunanya daripada kejadian yang tidak diingini itu.


Konklusinya, semua kebaikan lebuh raya yang dihuraikan tadi memang wujud di negara ini. Masyarakat hendaklah menghargai usaha kerajaan membina lebuh raya ini lalu tidak memusnahkannya begitu sahaja. Peribahasa jauh perjalanan luas pandangan harus difahami dengan mendalam lalu penggunaan lebuh raya akan menjadi sesuatu kemestian dalam hidup masyarakat kita.

Friday, July 16, 2021

Karangan SPM: Punca-punca makanan ringan popular dalam kalangan masyarakat

Makanan ringan menjadi satu jenis makanan yang diminati oleh masyarakat kita terutama kanak-kanak. 

Bincangkan punca-punca makanan ringan begitu popular dalam kalangan masyarakat.


Makanan ringan diklasifikasikan sebagai makanan yang mudah untuk disediakan dan dinikmati oleh masyarakat pengguna tanpa mengira masa. Antara makanan ringan itu meliputi kategori kerepok, gula-gula, manisan dan sebagainya. Pihak media massa sering menyiarkan bahan berita mengenai isu makanan ringan ini yang menjadi kegilaan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia. Sebenarnya, ada banyak sebab yang membawa makanan ringan ini menjadi sesuatu yang lumrah di negara ini terutama dalam kalangan kanak-kanak.


Punca utama yang mendorong makanan ringan ini begitu menular dalam masyarakat kita kerana syarikat pengeluar makanan ini begitu bijak merancang strategi pengiklanan produk mereka itu. Bayangkan setiap iklan yang dikaitkan dengan makanan ringan ini pasti melambangkan suasana yang ceria dan penuh rasa seronok yang mudah difahami oleh kanak-kanak kita. Ada juga syarikat yang menawarkan hadiah istimewa setiap kali makanan ringan keluaran syarikat mereka ini dibeli oleh pengguna. Jadi, makanan ringan sudah sebati dalam masyarakat kita kerana kemahiran syarikat pengeluar untuk mempromosikan produk mereka dalam bentuk yang menarik lagi unik.


Selain itu, kanak-kanak melihat makanan ringan sebagai sesuatu yang “cool” atau menarik untuk dinikmati. Pada pandangan mereka, makanan ringan yang dinikmati itu akan menjadikan diri mereka lebih dikenali lalu ditiru oleh rakan-rakan yang lainnya terutama setelah melihat iklan produk tersebut. Makanan ringan telah dikatakan sebagai contoh kehidupan moden yang bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak bergaya zaman globalisasi ini. Bayangkan, tidak ada lagi kanak-kanak yang suka menikmati dodol, kuih tempatan atau karipap di kantin kerana melihat makanan itu sudah ketinggalan zaman.


Penularan budaya makanan ringan ini turut dikaitkan dengan mudahnya untuk memperoleh makanan sebegini. Kanak-kanak boleh membeli makanan ini di kedai runcit dan kawasan kantin sekolah pada bila-bila masa pula terutama ketika masa rehat di sekolah. Kanak-kanak mendapati keadaan sebegini memudahkan mereka untuk pergi membeli makanan yang tidak sihat ini tanpa sebarang halangan pula. Maka, makanan ringan ini terus menjadi-jadi kerana makanan ini dijual di mana-mana pun.


Malahan, ada pihak yang mengaitkan isu ini dengan kekurangan pengawasan ibu bapa yang menjadikannya semakin meruncing itu. Banyak pihak melihat ibu bapa zaman ini terlalu sibuk bekerja sehingga tidak berupaya untuk memantau aktiviti anak terutama amalan pemakanan yang tidak sihat itu. Ibu bapa lebih suka melihat anak mereka gembira menikmati makanan ringan ini daripada menegur golongan muda itu kerana sudah penat bekerja atau tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluarga pula. Ringkasnya, ketiadaan teguran ibu bapa itu seolah-olah memberikan lampu hijau kepada anak untuk meneruskan amalan yang tidak sihat ini dalam kehidupan mereka itu.


Konklusinya, makanan ringan sudah menjadi satu budaya baru dalam kehidupan generasi moden Malaysia. Kita hendaklah mula berfikir tentang kemelut ini kerana sudah pasti kualiti kesihatan kanak-kanak kita akan terjejas suatu masa nanti. Topik yang meliputi obesiti dan gigi rosak sudah mula menjadi perbualan masyarakat kita ekoran menularnya amalan memakan makanan ringan sebegini. Mungkin sudah sampai masanya, kerajaan lebih tegas dalam memantau penjualan makanan ringan ini terutama di kawasan kantin sekolah dan tempat umum yang lainnya bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.


Monday, July 12, 2021

Karangan PT3: Sebab perayaan dilupakan?

Sambutan perayaan di negara ini begitu banyak tetapi ada pihak yang tidak merayakannya.


Jelaskan sebab perayaan mula dilupakan oleh generasi muda.


Perayaan bolehlah dikatakan sebagai hari kebesaran yang disambut oleh masyarakat tertentu di negara ini saban tahun. Antara perayaan itu meliputi Hari Deepavali, Hari Natal, Tahun Baru Cina, dan Hari Raya Aidil Fitri yang disambut oleh rakyat Malaysia. Namun, sudah ada generasi muda yang melupakan sambutan perayaan ini atas beberapa sebab.


Punca utama perayaan dilupakan oleh masyarakat kita disebabkan oleh golongan ini tidak memahami erti sambutan perayaan tersebut. Mereka sudah tidak melihat perayaan sebagai sesuatu budaya yang harus dikekalkan dalam kehidupan ini. Akibatnya, perayaan tidak mendapat tempat dalam jiwa remaja kerana mereka sendiri tidak memahami maksud perayaan itu.


Selain itu, perayaan tidak diminati oleh golongan ini kerana terlalu banyak peraturan atau tradisi yang harus dipatuhi itu. Mereka tidak suka dikawal oleh peraturan tradisi yang dilihat sebagai ketinggalan zaman itu. Lantaran itu, remaja menganggap perayaan sebagai sesuatu yang mengongkong kehidupan harian mereka.


Tambahan pula, remaja tidak meminati perayaan kerana melihat amalan berkunjung ke rumah sanak saudara itu sebagai membazirkan masa. Biasanya perbualan antara keluarga ketika musim perayaan melibatkan prestasi peperiksaan remaja di sekolah yang dianggap topik membosankan remaja itu. Maka, remaja menolak perayaan kerana tidak suka ditanya pelbagai soalan mengenai persekolahan mereka itu.


Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa perayaan sudah dilupakan oleh masyarakat kita terutama remaja. Perayaan harus disambut dengan meriah oleh masyarakat kita. Peribahasa tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas membuktikan bahawa perayaan merupakan budaya yang harus dikekalkan sepanjang masa.

Monday, July 05, 2021

Karangan SPM: Cara-cara mengekalkan permainan tradisional

Permainan tradisional semakin dilupakan oleh masyarakat terutama generasi muda.


Jelaskan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.


Permainan tradisional merujuk permainan warisan lama yang diamalkan oleh nenek moyang kita. Antara contoh permainan ini ialah congkak, dam, gasing dan wau yang masih ada dimainkkan oleh masyarakat kita. Cuma permainan ini mula terpinggir dalam hati remaja terutama yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Jadi, ada banyak tindakan yang boleh dijalankan untuk menangani kemelut ini daripada terus menular.


Langkah yang pertama ialah kerajaan mengadakan pertandingan permainaan tradisional. Kejohanan ini boleh dianjuran pada peringkat sekolah, daerah, negeri, dan kebangsaan dan diberi liputan meluas dalam media massa tempatan. Langkah ini berupaya untuk mencungkil bakat-bakat baru yang pada masa yang sama menggalakkan remaja meminati pula permainan ini. Oleh itu, kewujudan pertandingan boleh memastikan permainan tradisional ini terus wujud.


Selain itu, usaha menjadikan permainan ini lebih menarik dan mudah di bawa serta bersesuaian dengan minat remaja turut penting dalam menangani kemelut ini. Permainan tradisional harus diberi bentuk baru yang lebih menarik seperti warna, ringan dan mudah dimainkan. Remaja sering menganggap permainan tradisional sudah kolot dan sukar untuk dimainkan di tempat-tempat mereka berlibur. Jadi, reka bentuk baru permainan tradisional amat penting untuk memastikan permainan ini terus wujud.


Bukan sahaja mengadakan pertandingan dan mengubah permainan itu tetapi langkah mewajibkan permainan ini di sekolah turut mampu memupuk minat dalam jiwa remaja kita. Tindakan bijak ini memastikan semua pelajar di sekolah akan menyertai satu permainan tradisional sebagai aktiviti kokurikulum mereka. Lama-kelamaan perasaan minat dan menghargai permainan tradisional ini akan berjaya dipupuk dalam jiwa remaja kita pula. Oleh itu, tindakan mewajibkan permainan ini di sekolah berupaya mengekalkan kewujudan permainan ini pada sat masa yang panjang.


Malah, kerajaan juga perlu membina lebih banyak kemudahan sukan untuk permainan tradisional sebegini. Pembinaan kawasan padang dan gelanggang khas membolehkan lebih banyak rakyat negara ini turut melibatkan diri dalam permainan yang positif ini. Suasana yang meriah sebegini pasti memberikan impak positif kepada masyarakat lalu mereka melihat permainan ini sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan harian mereka kerana mudah untuk bertemu dengan sesiapa sahaja yang memainkan permainan tradisional ini pula. Sesungguhnya, lebih banyak kawasan khas permainan ini disediakan semakin luaslah minat masyarakat kita untuk memainkannya.


Konklusinya, semua langkah tadi memang mampu untuk memastikan permainan tradisional ini terus wujud dalam kehidupan masyarakat moden kita. Kerjasama semua pihak terutama masyarakat amat diperlukan dalam memastikan usaha ini mencapai kejayaannya. Kegagalan untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya akan menyaksikan permainan lama ini akan terus berkubur lantaran cabaran permainan komputer yang serba canggih itu. Peribahasa “tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan” membuktikan betapa permainan tradisional ini sebahagian daripada budaya yang harus dikekalkan.


Artikel Pilihan

Karangan SPM: Ciri-ciri jiran yang baik

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...