Thursday, July 22, 2021

Karangan PT3: Kebaikan membina lebuh raya

Lebuh raya menjadi satu aspek kemudahan awam utama di Malaysia. Negara ini mempunyai banyak lebuh raya.


Berikan faedah-faedah membina lebuh raya ini.



Negara kita terkenal dengan jaringan lebuh raya yang berkualiti dan meluas itu. Hampir semua negeri di negara ini memiliki sistem jalan raya dan lebuh raya yang moden dan selamat itu. Sebenarnya, lebuh raya mempunyai banyak kebaikan tersendiri.


Kebaikan utama pembinaan lebuh raya ini ialah proses perjalanan sesebuah kenderaan itu menjadi lebih singkat. Biasanya, jalan lama mengambil masa yang panjang untuk sampai ke sesuatu destinasi berbanding lebuh raya yang dibina untuk kepantasan bergerak itu. Maka, semakin banyak lebuh raya di bina semakin mudah lagi pantas perjalanan ke mana-mana destinasi itu.


Selain itu, usaha membina lebuh raya boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Proses pembinaan itu memerlukan arkitek, jurutera dan pekerja tambahan yang banyak untuk satu tempoh masa yang panjang pula. Sesungguhnya, lebuh raya bukan sahaja memudahkan perjalanan masyarakat tetapi memberikan peluang mencari rezeki pula.


Tambahan pula, imej negara menjadi baik pada mata orang asing menerusi pembinaan lebuh raya ini. Sudah banyak kali orang asing terutamanya pelancong luar memuji kehebatan dan kecanggihan sistem pengangkutan negara terutamanya lebuh raya itu. Lantaran itu, semakin banyak lebuh raya semakin tinggilah imej negara pada orang luar.


Lebuh raya negara ini juga dikatakan menawarkan aspek keselamatan yang tinggi nilainya. Kebanyakan lebuh raya negara kita mempunyai lebih daripada tiga lorong yang memastikan risiko kemalangan berkurangan. Oleh itu, lebuh raya menjamin keselamatan penggunanya daripada kejadian yang tidak diingini itu.


Konklusinya, semua kebaikan lebuh raya yang dihuraikan tadi memang wujud di negara ini. Masyarakat hendaklah menghargai usaha kerajaan membina lebuh raya ini lalu tidak memusnahkannya begitu sahaja. Peribahasa jauh perjalanan luas pandangan harus difahami dengan mendalam lalu penggunaan lebuh raya akan menjadi sesuatu kemestian dalam hidup masyarakat kita.

No comments:

Artikel Pilihan

Karangan UASA: Cara-cara popularkan semula permainan tradisional