Wednesday, December 30, 2020

SPM: Ciri-ciri masyarakat yang mampu menjadi negara maju


Konsep negara maju merupakan sasaran pemimpin negara bagi meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju di dunia.


Huraikan ciri-ciri masyarakat yang diperlukan dalam usaha merealisasikan matlamat tersebut.


Konsep negara maju merujuk satu dasar yang diumumkan oleh pemimpin negara kita untuk membawa Malaysia menjadi negara maju setaraf dengan negara moden lainnya. Antara bahagian yang ingin dimajukan itu meliputi aspek sosial, pengetahuan sains dan teknologi serta ekonomi negara pada masa hadapan itu. Pihak akhbar sering menggunakan dasar ini sebagai bahan muka depan akhbar mereka untuk meraih sokongan rakyat terhadap usaha kerajaan merealisasikan dasar tersebut. Maka, pelbagai sikap harus dimiliki oleh masyarakat negara ini sebelum dasar ini menjadi satu realiti pula.


Sahsiah rakyat yang paling penting dimiliki dalam usaha mengejar dasar wawasan ini meliputi pegangan keagamaan yang tinggi. Konsep keagamaan dalam jiwa bangsa boleh menjadi tebal dan positif apabila kebebasan beragama dalam kalangan warganegara ini diberi keutamaan oleh pemimpin negara kita. Lama-kelamaan, semua tindakan yang dilakukan oleh masyarakat kita pasti berpandukan ajaran keagamaan yang tepat lagi sahih itu. Lantaran itu, aspek keagamaan menjadi kriteria utama dalam usaha memastikan program wawasan kerajaan ini mencapai objektifnya itu.


Selain itu, masyarakat yang rajin bekerja turut dilihat sebagai ciri yang diperlukan dalam mencapai wawasan murni ini. Semua pihak di negara ini harus melihat kerja itu sebagai satu usaha murni untuk memajukan negara terutama dalam bidang ekonomi yang penuh cabaran ini. Kerajinan masyarakat Malaysia boleh memacu ekonomi negara menjadi makmur berbanding negara jiran dalam suasana ekonomi globalisasi yang tidak menentu ini. Sesungguhnya, warganegara ini yang mengutamakan amalan suka bekerja tanpa sebarang rungutan itu boleh membantu negara kita menjadi moden pula.


Tambahan pula, kemampuan memiliki ilmu pengetahuan dalam kalangan rakyat terutama remaja penting untuk memenuhi keperluan wawasan ini. Ibu bapa perlulah menjadikan usaha menuntut ilmu ini sebagai keperluan utama dalam kehidupan anak mereka tersebut dengan memberi galakan anak pergi ke sekolah. Langkah ini boleh menjadikan Malaysia mempunyai kelompok populasi pelajar yang berilmu tinggi dalam bidang sains dan teknologi itu. Jadi, negara kita amat memerlukan rakyatnya terutama golongan muda untuk menguasai pelbagai bidang ilmu agar golongan ini boleh membantu mencapai konsep negara maju itu menjadi kenyataan sebenar.


Masyarakat negara ini juga perlulah memiliki persepsi mudah untuk menerima sebarang perubahan yang berlaku. Sikap mudah menerima perubahan ini boleh diamalkan menerusi konsep melihat terlebih dahulu kesan sesuatu sebelum membuat penilaian tertentu itu. Apabila sikap ini diamalkan semua dasar kerajaan akan dilihat secara positif lalu berusaha untuk menjadikan dasar tersebut satu kenyataan tanpa menggunakan pelbagai dalih untuk menolaknya. Akibatnya, negara ini boleh melakukan pelbagai perkara yang unik lagi menarik kerana rakyatnya bersedia menerima perubahan yang berlaku tanpa sebarang rungutan.


Akhir sekali, rakyat negara ini juga perlulah memiliki sikap mengutamakan konsep perpaduan dalam sebarang aktiviti harian mereka itu. Masyarakat negara ini boleh saling menghormati dan melihat perbezaan budaya itu sebagai sesuatu yang positif dalam mewarnai kehidupan mereka tersebut. Amalan murni ini boleh mengekang sebarang konflik yang boleh berlaku itu daripada terus merebak tanpa kawalan pula. Oleh itu, amalan perpaduan haruslah menjadi lumrah dalam jati diri rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan keturunan itu. 


Konklusinya, semua ciri yang dihuraikan tadi harus dimiliki oleh rakyat bumi ini supaya konsep negara maju itu boleh dicapai segera. Pihak berkenaan terutamanya kerajaan perlulah berusaha untuk memupuk semua kriteria ini dalam jiwa masyarakat kita tanpa banyak rungutan pula. Kegagalan untuk menjadikan ciri-ciri ini sesuatu yang lumrah dalam kehidupan masyarakat bakal menyaksikan dasar wawasan ini menemui jalan buntu itu. Bak kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri yang membuktikan kita sebagai rakyat Malaysia harus berusaha menjadikan negara ini sebuah negara maju pada masa hadapan.


Thursday, December 17, 2020

PT3: Kaedah-kaedah kekalkan perpaduan rakyat


Negara kita sedang mengalami pelbagai masalah terutama yang berkaitan dengan perpaduan.  


Huraikan tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan untuk memastikan perpaduan terus kekal.


Perpaduan merujuk satu suasana yang harmoni dalam sesebuah masyarakat negara itu. Antara perkara yang mengancam kestabilan perpaduan itu meliputi perasaan hasad dengki, perselisihan faham, dan juga dendam kesumat. Akibatnya, pihak kerajaan perlulah melakukan beberapa tindakan supaya perpaduan di negara ini mampu dicapai itu.


Langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan itu ialah mereka menganjurkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Program ini memiliki pelbagai aktiviti yang boleh memupuk perpaduan sesama pelajar kita yang berbilang kaum itu seperti melawat rumah kebajikan, masuk hutan berkumpulan, dan menembak senjata. Ringkasnya, PLKN boleh membentuk satu golongan remaja yang memiliki sikap toleransi sesama kaum kerana mereka menghabiskan masa bersama-sama.


Selain itu, kerajaan juga boleh mewajibkan subjek Sejarah dalam sistem pendidikan negara kita terutama di sekolah menengah. Pengenalan subjek ini penting kerana banyak bahan sejarah boleh dipelajari oleh pelajar tentang kemerdekaan dan perjuangan rakyat terdahulu itu. Jadi, semakin kerap subjek Sejarah diajar di sekolah semakin tinggilah peluang untuk wujudnya perpaduan itu kerana masyarakat terutama remaja memahami perjuangan kaum-kaum terdahulu. 


Tambahan pula, sambutan Hari Kebangsaan boleh dilaksanakan oleh kerajaan dalam suasana yang lebih meriah tetapi bermakna. Semua lapisan masyarakat diminta untuk menyertainya dan merayakannya bersama-sama supaya wujud satu suara Malaysia yang sebenar. Lantaran itu, sambutan Hari Kebangsaan yang dirancang dengan teliti mampu membuahkan semangat cinta akan negara yang sejati secara tersirat.


Kerajaan juga boleh melancarkan projek pembangunan Gagasan 1Malaysia yang berteraskan konsep perpaduan sesama kaum itu. Gagasan ini menekankan prinsip sama rata lalu semua projek kerajaan disalurkan demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum. Sesungguhnya, gagasan ini akan memberi harapan tercetusnya semangat perpaduan kerana rakyat menyedari kerajaan berusaha membantu kehidupan mereka secara saksama itu.


Kesimpulannya, semua kaedah tadi perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan kita tanpa dalih lagi. Kegagalan untuk bertindak dengan segera mampu menjadikan rakyat Malaysia tidak bersatu hati pula lalu memudahkan musuh negara menangguk di air keruh itu. Peribahasa bersatu teguh bercerai roboh membuktikan bahawa perpaduan itu amat penting dalam mengharungi cabaran globalisasi yang hebat ini.


Wednesday, December 09, 2020

SPM: Amalan ziarah yang hilang ditelan zaman

Amalan ziarah dalam kalangan masyarakat kita sudah mula hilang.

Berikan komen anda.

Ziarah merupakan amalan mengunjungi sanak- saudara dan jiran serta sahabat tanpa mengira masa. Sikap ini boleh mewujudkan rasa persaudaraan yang erat dan saling memahami sesama manusia itu. Media massa ada membuat komentar dalam ruang pojok akhbar mengenai amalan ziarah yang semakin menghilang ini.Sebenarnya, masalah yang melanda amalan ziarah ini semakin ketara ekoran kewujudan teknologi moden tetapi ada kebaikan yang turut timbul.

Punca utama ziarah semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita dikaitkan dengan kecanggihan teknologi komunikasi era moden ini. Masyarakat melihat hubungan menerusi alat komunikasi seperti telefon bimbit dan komputer itu sudah cukup untuk berhubungan sesama mereka. Komunikasi ini tidak melibatkan sentuhan tetapi amat dipercayai oleh remaja zaman ini sehingga menjadikan kaedah ini alat perhubungan yang paling diminati. Jadi, teknologi komunikasi dilihat sudah cukup untuk berhubung lalu membiarkan sahaja amalan ziarah ini berkubur.

Selain itu, amalan ziarah ini turut pupus ditelan zaman kerana banyak program menarik disiarkan menerusi televisyen itu. Banyak orang terutama remaja yang menggunakan alasan tidak mahu keluar rumah menziarahi keluarga kerana ingin menonton program menarik di televisyen itu. Jadual hidup masyarakat seolah-olah ditentukan oleh program televisyen sehingga menjadikan ziarah tidak lagi sesuai dilakukan pada hujung minggu juga. Lantaran itu, masyarakat tidak lagi suka melawat rumah saudara dan jiran kerana lebih suka menonton program televisyen yang menarik itu.

Malah, ada sesetengah pihak yang menyalahkan teknologi kerana menyiarkan pelbagai maklumat yang boleh diperoleh menerusi amalan ziarah ini. Golongan masyarakat di negara ini boleh mendapatkan pelbagai informasi menerusi internet dan saluran teknologi lain dengan mudah. Ziarah digunakan juga sebagai kaedah untuk memperoleh pelbagai maklumat suatu masa dahulu oleh masyarakat kita. Jelaslah, kemajuan sebagai cara yang paling mudah untuk memperoleh sesuatu informasi sehingga menghilangkan amalan ziarah yang murni itu.

Amalan ziarah ini boleh dihidupkan semula menerusi usaha menjalankan kempen yang efektif oleh pihak berkuasa. Kempen ini boleh disiarkan menerusi teknologi yang moden itu terutama melalui saluran internet dan televisyen serta radio. Tindakan ini boleh menyedarkan masyarakat terutama remaja tentang kebaikan yang diperoleh melalui tindakan mengamalkan amalan ziarah tersebut. Sesungguhnya, ziarah akan dapat dihidupkan semula sebaik sahaja kempen yang betul dilancarkan segera oleh pihak berkenaan di negara ini.

Pada masa yang sama, masyarakat boleh menggunakan teknologi ini untuk berbincang tentang aktiviti yang boleh memajukan diri mereka. Penggunaan teknologi komunikasi seperti SKYPE dan FACETIME boleh menjadikan diskusi lebih menarik dan bersemuka antara ahli masyarakat di negara ini. Teknologi moden boleh menjadikan ziarah satu konsep baru yang bersesuaian dengan perubahan zaman seperti kata orang tua-tua sekali air bah sekali pantai berubah. Maka, teknologi yang dilihat memusnahkan amalan ziarah itu turut boleh diaplikasikan untuk memodenkan wajah ziarah mengikut perubahan zaman.


Konklusinya, semua hujah tadi membuktikan amalan ziarah penting dihidupkan terutama dalam situasi cabaran kemodenan ini. Semua pihak hendaklah bekerjasama untuk memupuk amalan ini dengan berusaha untuk menjayakannya tanpa banyak alasan lagi. Kegagalan untuk menghulurkan kerjasama ini pasti akan membawa budaya nenek moyang kita ini hilang ditelan zaman. Mungkin sudah sampai masanya kita berhenti daripada menuding jari dalam usaha mengatasi isu ini sebaliknya bersedia untuk membuat perubahan yang drastik itu.

Thursday, December 03, 2020

PT3: Peranan ibu bapa dalam penggunaan web

Kekerapan penggunaan laman sosial dalam kalangan remaja begitu mengejutkan masyarakat sehingga pelbagai pihak mahu satu tindakan tegas dilakukan dalam menangani isu ini.


Jelaskan peranan ibu bapa dalam mengatasi isu ini.


Laman sosial merujuk penggunaan aplikasi komputer yang menghubungkan seseorang dengan individu lain secara alam maya. Kajian membuktikan bahawa laman sosial yang terkenal meliputi Facebook, Twitter, dan Instagram yang mempunyai capaian pengguna melebihi jutaan orang. Namun, penggunaan laman ini sering disalahgunakan oleh golongan muda yang memerlukan satu pendekatan baru buat ibu bapa dalam usaha mengekang fenomena globalisasi ini.


Pendekatan utama ialah ibu bapa seharusnya memahami aplikasi laman sosial ini dengan lebih menyeluruh. Kefahaman tentang aplikasi ini membolehkan ibu bapa memahami cara anak mereka menggunakan laman sosial lalu boleh mengawal mereka daripada melakukan kesilapan pula. Maka, pengetahuan ibu bapa yang meluas tentang laman sosial akan memudahkan mereka mengawal penggunaan aplikasi ini dalam kalangan anak pula.


Selain itu, aktiviti memantau penggunaan laman ini oleh ibu bapa mestilah lebih teliti dan menyeluruh. Komputer yang digunakan oleh anak boleh diisi dengan perisian yang menghalang mereka memasuki halaman sesawang yang tidak senonoh atau meletakkan peralatan canggih itu di ruang tamu sahaja. Lama-kelamaan, amalan memantau secara efektif ini akan memadamkan hasrat anak untuk melakukan perkara buruk menerusi penggunaan laman sosial.


Tambahan pula, penyalahgunaan laman sosial ini boleh dikekang menerusi didikan ibu bapa yang tidak mengawal anak secara keterlaluan tersebut. Golongan tua ini harus memberikan lebih banyak kebebasan dan keyakinan kepada golongan muda untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka. Apabila anak berasa diri mereka diberi lebih banyak suara dalam menguruskan kehidupan sudah pasti emosi golongan ini lebih tenang lalu mereka boleh berfikir secara matang ketika menggunakan laman sosial itu.


Tindakan terakhir melibatkan penggunaan nasihat oleh ibu bapa terhadap anak mereka apabila tersilap melakukan sesuatu kesalahan. Anak yang masih mentah dalam pengalaman hidup pastinya akan berasa teruja apabila ibu bapa memberi nasihat ketika mereka bermasalah dan bukannya menilai kesalahan mereka. Akibatnya, anak tidak akan menggunakan laman sosial untuk meluahkan emosi mereka yang penuh gelora itu.


Kesimpulannya, semua pendekatan tadi boleh dilaksanakan oleh ibu bapa yang prihatin terhadap keselamatan anak mereka dalam era globalisasi ini. Namun, ada sesetengah ibu bapa yang enggan menerima kenyataan lalu menolak penggunaan internet oleh anak mereka. Peribahasa kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga mengingatkan kita bahawa internet terutamanya laman sosial ada kebaikan dan keburukan yang harus ditentukan oleh pengguna itu sendiri.

Artikel Pilihan

Peranan remaja menjadi warganegara berkualiti