Hal berkaitan dengan pembentukan sahsiah anak-anak perlu diberikan penekanan dalam keluarga.
Huraikan peranan ibu bapa untuk membentuk sahsiah anak-anak.
Semua orang menginginkan anak mereka memiliki budi pekerti yang baik di dunia ini. Kajian sudah membuktikan bahawa sahsiah anak banyak ditentukan oleh jenis didikan yang diterima oleh golongan muda ini daripada ibu bapa mereka. Lantaran itu, didikan yang sewajarnya hendaklah dimulakan di rumah oleh semua ibu bapa yang bertanggungjawab. Sesungguhnya, ibu bapa boleh melakukan pelbagai cara yang berupaya menjadikan sahsiah anak mereka dihormati lalu dikagumi oleh orang lain pula.
Didikan agama dan moral menjadi aspek utama yang harus ditekankan oleh ibu bapa kepada anak mereka sejak kecil. Setiap anak yang mempunyai asas keagamaan dan moral kemanusiaan boleh membezakan perkara yang baik daripada perkara yang buruk dengan mudah. Semua perkara yang hendak dijalankan oleh anak itu akan dilakukan berdasarkan fahaman mereka terhadap keperluan agama dan moral yang sudah ditanam sejak kecil tersebut. Ringkasnya, didikan agama dan moral mampu membentuk akhlak yang mulia dalam jiwa setiap anak di dunia ini.
Selain itu, ibu bapa yang prihatin itu hendaklah menonjolkan teladan yang betul kepada anak supaya kelakuan mereka boleh dicontohi oleh anak pula. Setiap kali sebelum melakukan sesuatu di rumah dan di luar rumah, ibu bapa perlulah berfikir kerana tindakan mereka sedang diperhatikan oleh anak. Apabila ibu bapa berhati-hati dalam melakukan tindakan mereka ini sudah pasti anak akan mempelajari tindakan yang betul dalam kehidupan mereka pada masa depan. Lama-kelamaan, anak akan meniru semua teladan yang dipamerkan oleh ibu bapa sehingga kelakuan itu menjadi sebahagian daripada asas budi pekerti mereka pula.
Anak yang berbudi pekerti mulia juga boleh dihasilkan apabila ibu bapa sering meluangkan masa bersama-sama anak mereka. Amalan menghabiskan masa ini boleh dilakukan pada hujung minggu dan ketika semua ahli keluarga berkumpul itu pada waktu malam hari. Apabila semua ahli keluarga berbual-bual, beriadah dan menghabiskan masa bersama-sama sudah pasti satu persefahaman yang kukuh wujud antara mereka kerana sering menghabiskan masa bersama-sama. Maka, anak akan berasa diri mereka dihargai lalu mereka lebih mudah memahami dan menerima semua didikan yang diterima daripada ibu bapa itu.
Satu lagi perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam persoalan ini ialah mereka sering mengawasi atau memantau pergaulan serta pergerakan anak sendiri. Ibu bapa hendaklah mengetahui kawan anak mereka dan tempat yang dikunjungi oleh anak setiap masa untuk memastikan mereka tidak dipedaya oleh unsur-unsur subversif yang boleh memusnahkan jiwa anak pada masa depan. Sikap berwaspada ini membolehkan ibu bapa memberi teguran kepada anak jika mendapati anak berkawan dengan orang yang tidak betul dalam kehidupan itu. Jelaslah, sikap pemantauan sebegini boleh menjauhkan anak daripada terjebak dengan gejala negatif seperti merokok, menagih dadah, dan melepak.
Ibu bapa juga hendaklah lebih prihatin akan hal ehwal dan permasalahan anak mereka sendiri. Sebaik sahaja ibu bapa mengetahui anak mengalami masalah di sekolah dan sebagainya mereka hendaklah pantas bertindak dengan berusaha mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut. Langkah ini boleh menghalang anak daripada mendapat nasihat yang tidak betul daripada pihak lain terutamanya rakan sebaya yang boleh menjejaskan peribadi anak pada masa depan. Jadi, semakin cepat ibu bapa mengetahui masalah yang menganggu minda anak mereka semakin kurangnya risiko untuk anak itu menjadi liar dalam kehidupan mereka.
Kesimpulannya, ibu bapa perlulah mampu melaksanakan konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya dalam aspek mendidik anak memiliki budi pekerti yang tinggi ini. Mereka harus sedar bahawa anak akan menjadikan ibu bapa sebagai contoh teladan kehidupan ini bak kata pepatah bagaimana rupa begitulah bayangnya yang membuktikan anak meniru sikap ibu bapa. Anak pula hendaklah bersedia untuk menerima teguran dan nasihat daripada orang tua mereka apabila aspek budi pekerti menjadi perbualan seisi keluarga mereka. Mungkin matlamat mempunyai satu kelompok remaja yang berbudi pekerti tinggi akan tercapai apabila ibu bapa melaksanakan tugas mendidik mereka dengan sebaik mungkin itu.