Wednesday, November 11, 2020

SPM: Tindakan-tindakan sebagai penganggur dalam meneruskan Kehidupan


Kadar pengangguran di negara ini terus meningkat setiap tahun. Banyak pihak mula meminta pihak berkuasa melakukan sesuatu untuk mengawal fenomena sosial ini daripada terus menular.

Jelaskan tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh seseorang penganggur untuk meneruskan kehidupannya.


Pengangguran merujuk situasi seseorang itu tidak mempunyai pekerjaan untuk satu tempoh yang panjang. Perkara ini berlaku kerana banyak syarikat tidak boleh menjalankan operasi perniagaan mereka ketika kemelut covid-19 ini sehingga terpaksa memberhentikan beberapa pekerja mereka. Pihak media massa sendiri turut mengetengahkan isu ini sehingga kemelut pengangguran menjadi buah mulut penduduk di Malaysia. Sebenarnya, ada pelbagai tindakan yang boleh dilakukan oleh seseorang penganggur jika mereka mahu meneruskan cabaran hidup ini.


Tindakan yang paling efektif ialah seseorang penganggur itu perlulah mempunyai pemikiran yang positif dalam hidup. Pemikiran positif ini penting kerana individu yang menganggur akan melihat perkara negatif yang melanda hidup mereka itu sebagai satu bentuk gangguan sementara sahaja. Golongan yang berfikiran positif ini akan berupaya mencari jalan penyelesaian untuk keluar daripada genggaman pengangguran yang begitu kuat itu. Maka, penganggur yang berfikiran positif akan boleh melihat kaedah-kedah yang perlu diambil supaya hidup mereka tidak diancam kemusnahan pula.


Selain itu, kemelut pengangguran ini boleh dikurangkan jika individu tersebut mengurangkan perbelanjaan harian mereka secara drastik. Amalan ini boleh dijelmakan dalam bentuk aktiviti makan di rumah, tidak membeli barang mewah, dan tidak mengamalkan sikap meminjam untuk membeli sesuatu barang yang tidak penting dalam hidup. Apabila semua perkara ini dijadikan amalan sebenar pastinya individu yang menganggur itu tidak akan menggunakan wang mereka dengan sewenang-wenangnya lalu mempunyai sejumlah wang simpanan pula. Akibatnya, penganggur tersebut akan mempunyai wang simpanan yang boleh bertahan untuk tempoh yang lebih panjang untuk meneruskan kehidupan ketika dirinya tidak mempunyai pekerjaan lagi.


Tambahan pula, penganggur yang berfikiran panjang akan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan untuk meneruskan kehidupan mereka nanti. Perniagaan kecil-kecilan ini boleh dalam bentuk menjual makanan, minuman, pakaian, dan sebagainya yang mampu dijalankan berbekalkan modal serta ilmu pengetahuan perniagaan yang sedikit. Apabila perniagaan kecil-kecilan ini dijalankan pastinya penganggur tadi akan mempunyai wang yang boleh digunakan untuk menyara makan minum dirinya dan untuk keluarga. Sesungguhnya, sikap membuat perniagaan sendiri boleh menjadi kaedah yang paling mudah untuk meneruskan kehidupan setelah diberhentikan oleh sesebuah syarikat.


Malah, kemelut pengangguran ini boleh ditangani jika individu tersebut berani untuk memohon bantuan daripada pihak-pihak tertentu. Permohonan meminta bantuan ini boleh diperoleh menerusi jabatan-jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan yang ada di Malaysia. Tindakan proaktif sebegini akan memberikan peluang kepada penganggur itu untuk memperoleh wang saraan yang berguna untuk kehidupan diri sendiri dan keluarganya. Lama-kelamaan, penganggur yang sanggup meminta bantuan ini akan mempunyai kekuatan moral untuk meneruskan kehidupan mereka pada masa hadapan itu.


Tindakan terakhir yang boleh dibuat oleh penganggur melibatkan kesangggupan mereka untuk mempelajari kemahiran-kemahiran baharu dalam hidup. Mereka boleh mengikuti kursus-kursus yang disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta seperti kemahiran dalam kerjaya tertentu atau kemahiran memasak dan mengunting rambut itu. Apabila penganggur menguasai kemahiran-kemahiran ini sudah pasti mereka boleh menggunakannya untuk mencari rezeki pada masa hadapan pula. Sebenarnya, penguasaan kemahiran-kemahiran baharu ini menjadi peluang terbaik kepada pengaanggur untuk mengubah masa depan mereka.


Kesimpulannya, semua tindakan yang dihuraikan tadi berupaya untuk membantu sesiapa sahaja yang menganggur di negara ini. Isu pengangguran perlulah dilihat secara positif kerana perkara ini boleh melanda sesiapa sahaja sama ada yang bekerja sendiri atau bekerja dengan orang lain. Namun, masih ada segelintir pihak yang melihat pengangguran ini satu perkara yang tidak memberikan impak kepada mereka lalu enggan bertindak terlebih dahulu. Peribahasa sediakan payung sebelum hujan harus menjadi pegangan dalam hidup masyarakat kerana setiap insan berpotensi untuk menjadi penganggur dalam hidup mereka itu.


No comments:

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Ciri-ciri jiran yang baik

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...