Friday, July 17, 2020

Peranan ibu bapa dalam menghasilkan keluarga yang bahagia. Jelaskan sebab-sebab ibu bapa penting dalam kehidupan anak itu.

Peranan ibu bapa dalam menghasilkan keluarga yang bahagia.


Jelaskan sebab-sebab ibu bapa penting dalam kehidupan anak itu.


Anak merupakan satu anugerah Tuhan kepada mana-mana ibu bapa pun di dunia ini. Kemunculan anak dalam kehidupan berkeluarga di anggap pemberi penyeri atau sumber inspirasi pula. Pihak media massa telah selalu mengetengahkan masalah didikan anak ini dalam laporan berita mereka lalu semua pihak bersetuju bahawa ibu bapa perlu memberikan perhatian dan penekanan terhadap usaha mendidik anak sepenuh hati. Oleh itu, ibu bapa memang berperanan penting atau memikul tugas berat dalam mendidik anak mereka.


Kepentingan peranan ibu bapa ketara kerana merekalah orang yang paling rapat dengan anak mereka. Semua tindakan dan kelakuan ibu bapa akan menjadi ikutan anak mereka kerana anak menjadikan ibu bapa contoh teladan atau model idola mereka pula. Kegagalan ibu bapa untuk memaparkan teladan yang baik boleh mempengaruhi sikap anak mereka pula nanti kerana bapa borek anak rintik. Pendek kata, kerapatan ibu bapa dengan anaklah yang menjadikan peranan mendidik itu penting dilaksanakan dengan baik.


Selain itu, ibu bapa menjadi tempat meluahkan masalah buat anak-anak. Setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan anak pasti akan dirujuk kepada ibu bapa untuk mendapat panduan menyelesaikannya dan kegagalan untuk berinteraksi dengan ibu bapa ketika inilah yang menyebabkan anak-anak terganggu kelakuannya. Ibu bapa yang mahir ialah ibu bapa yang sedar keadaan ini lalu memberikan pelbagai nasihat dan kata perangsang yang membantu anak mereka untuk mengharungi zaman keremajaan mereka dengan baik. Justeru, ibu bapa penting kerana merekalah tempat anak-anak mendapatkan panduan ketika dibelenggu pelbagai masalah hidup.


Tambahan pula, ibu bapa boleh menjadi individu yang memberikan kasih sayang kepada anak mereka terutama ketika anak mereka melakukan kesilapan. Ibu bapa yang bijak mendidik akan memaafkan kesalahan anak mereka walaupun diri mereka berasa kecewa kerana sedar anak mereka perlu diberi peluang kali kedua. Tindakan memaafkan kesalahan anak dengan bijak dan penuh kasih sayang ini akan membentuk anak menjadi insan yang lebih baik sikapnya kerana anak beras diri mereka dihargai oleh ibu bapa. Maka, ibu bapa penting kerana merekalah tempat kasih sayang bermula dalam hidup remaja yang penuh dengan dugaan hidup itu.


Namun begitu, peranan pihak sekolah terutama guru juga penting dalam kehidupan remaja. Pihak guru perlulah mendidik generasi muda ini dengan penuh tanggung jawab kerana masa remaja banyak juga dihabiskan di sekolah. Semua nasihat dan dorongan yang diberikan oleh pihak guru pasti meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa pelajar itu lalu membentuk peribadi yang mulia pula. Jadi, pihak sekolah juga memikul tugas mendidik generasi muda ini bersama-sama ibu bapa.


Malah, pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak anak-anak mereka. Remaja yang berakhlak mulia pasti memiliki rakan yang serupa juga akhlaknya dalam kehidupan mereka. Kegagalan memilih rakan yang baik akan menyebabkan seseorang remaja itu terjebak ke kancah negatif  yang lebih buruk pada masa hadapan. Oleh itu, anak juga hendaklah bijak memilih rakan supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak bermanfaat pula.


Kesimpulannya, ibu bapa memang berperanan penting dalam didikan anak kerana mereka umpama lilin yang membakar diri sendiri untuk memastikan kehidupan anak berjalan lancar. Kerjasama anak juga penting supaya semua masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan lebih mudah dan pantas. Anak merupakan satu tugas yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita semua lalu perlulah dilaksanakan amanat itu dengan penuh dedikasi. Peribahasa “melentur buluh biarlah daripada rebungnya” membuktikan betapa didikan ibu bapa ketika anak itu masih kecil amat penting lagi bermakna untuk masa depan mereka kelak.

Wednesday, July 15, 2020

KARANGAN SPM...PUNCA-PUNCA PENYAKIT BERJANGKIT BERLAKU

Penyakit berjangkit yang berlaku di negara ini telah mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa. 

Jelaskan punca-punca perkara ini berlaku.


Penularan wabak penyakit dikaitkan sebagai merebaknya sesuatu penyakit dalam kalangan masyarakat sehingga menimbulkan kegawatan yang melampau pula. Wabak penyakit yang sering melanda negara ini meliputi penyakit taun, malaria, denggi dan selesema burung serta virus covid-19 yang mengorbankan nyawa penduduk Malaysia. Masalah wabak ini sering mendapat liputan pihak media massa dan pelbagai pihak mula menuding jari dalam usaha menyalahkan satu sama lain. Sebenarnya, wabak penyakit ini merebak disebabkan oleh sikap masyarakat yang tidak mengutamakan aspek kesihatan dalam kehidupan harian mereka.


Amalan negatif masyarakat kita yang menyebabkan penyebaran wabak penyakit dikaitkan dengan sikap masyarakat yang tidak membersihkan kawasan persekitaran kediaman mereka. Ada pihak yang membiarkan sahaja kawasan longkang mereka bertakung untuk beberapa bulan sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang berbahaya itu. Pembiakan nyamuk ini telah membawa penyebaran demam denggi yang boleh meragut nyawa manusia apabila tidak menerima rawatan segera itu. Akibatnya, wabak penyakit seperti demam denggi akan terus merebak kerana masyarakat kita tidak membersihkan kawasan persekitaran kediaman mereka tersebut.


Selain itu, sikap sebahagian kecil ahli masyarakat yang hanya membersihkan kawasan rumah mereka sedangkan kawasan berhampiran kotor turut menyumbang merebaknya penyakit di Malaysia. Mereka begitu serius membersihkan halaman rumah dan memastikan tidak ada sebarang tempat yang boleh menjadi pembiakan vektor penyakit tanpa menyedari kawasan taman permainan dan kawasan balai serba guna begitu kotor. Peribahasa kerana seekor kerbau membawa lumpur habis terpalit semuanya telah menyebabkan kesilapan seorang di kawasan kejiranan telah membawa musibah kepada semua penduduk pula. Sesungguhnya, wabak penyakit tidak akan berlaku jika semua pihak memahami tugas mereka dalam memastikan kebersihan kawasan satu keutamaan penting.


Bukan sahaja keengganan menjaga kawasan persekitaran dan kediaman menjadi bersih yang mendorong penularan penyakit tetapi amalan membuang sampah merata-rata atau bukan ke dalam tong sampah telah menjadi kemelut ini meruncing. Sikap buruk ini menyukarkan pihak majlis perbandaran untuk mengutip sampah lalu menjadikan kawasan persekitaran lebih bersih begitu sukar.  Apabila perkara ini berlanjutan sudah pasti terdapat longgokan sampah di kawasan perumahan yang menjadi tempat pembiakan tikus dan lalat yang menyebarkan wabak penyakit itu. Jelaslah, sikap membuang sampah tanpa kawalan ini menyebabkan negara kita terus mengalami pelbagai jenis wabak penyakit yang berbahaya.


Kekurangan ilmu kesihatan atau maklumat tentang penyakit turut menjadikan risiko penyebaran penyakit di negara ini terus meningkat saban tahun. Penduduk negara ini seolah-olah tidak mahu memahami amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tentang sesuatu penyakit yang melanda negara. Golongan sebegini berpendapat mereka tidak akan menerima penyakit berbahaya itu kerana tidak memahami kesan atau cara penyakit tertentu berjangkit kepada orang lain. Sikap tidak peduli masyarakat ini bolehlah disamakan dengan peribahasa sudah terhantuk baru tengadah kerana hanya mengambil langkah pencegahan setelah penyakit itu merebak atau berlaku dalam kalangan keluarga sendiri.


Penyebaran wabak penyakit di Malaysia boleh disebabkan oleh sikap pengusaha premis makanan yang mengabaikan aspek kebersihan terutamanya dalam penyediaan makanan. Mereka tidak memastikan pekerja sihat dan bersih serta kawasan premis makanan mereka dibiarkan begitu sahaja sehingga menjadi tempat pembiakan pelbagai jenis virus penyakit berbahaya. Kejadian keracunan makanan kerap berlaku di kawasan premis makanan bersama-sama wabak taun kerana semua ini dikaitkan dengan tahap kebersihan yang rendah. Ringkasnya, penyakit berjangkit akan berlaku selagi pihak pengusaha makanan tidak mahu berubah sikap dan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam penyediaan makanan mereka.


Kesimpulannya, wabak penyakit berlaku akibat kesilapan manusia sendiri dalam menjalani kehidupan harian mereka. Jika kita masih enggan mengakui perkara ini semakin mudahlah masyarakat kita dilanda pelbagai wabak penyakit pada masa depan. Pihak kerajaan hendaklah mengambil langkah tegas dalam mengekang penularan wabak penyakit tanpa kompromi itu. Bak kata pepatah hendak seribu daya tak hendak seribu dalih yang menekankan pentingnya usaha gigih kerajaan dalam menyelesaikan kemelut ini.


Artikel Pilihan

Karangan SPM: Ciri-ciri jiran yang baik

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...