Wednesday, September 29, 2021

Karangan PT3: Kemahiran-kemahiran yang perlu pelajar miliki

Negara ini sedang mengalami masalah dalam melahirkan pelajar yang berkualiti.


Jelaskan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh pelajar dalam menghadapi kehidupan ini.


Kemahiran pelajar dimaksudkan sebagai kebolehan seseorang dalam menguruskan kehidupannya menjadi lebih mudah. Perkara ini penting dikuasai kerana pelajar akan mengalami cabaran hidup yang lebih hebat apabila menempuh kehidupan alam dewasa dan kerjaya. Jadi, apakah kemahiran yang diperlukan oleh pelajar itu untuk memudahkannya mengharungi era moden ini?


Kebolehan utama yang harus dimiliki oleh pelajar ialah mereka mahir dalam berkomunikasi dengan individu lain. Pelajar yang ada kemahiran ini boleh berinteraksi dengan sesiapa sahaja dalam meluahkan perasaan mereka secara jelas tanpa sebarang sekatan. Sebenarnya, pelajar yang mahir dalam pelbagai teknik komunikasi sesama manusia boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat pada masa depan.


Selain itu, pelajar harus memahami teknologi maklumat dan komunikasi moden untuk berjaya dalam hidup mereka. Semua bidang kerjaya pada masa depan memerlukan kemahiran dalam komputer yang tinggi kerana ekonomi masa depan begitu pantas bergerak atau berubah. Ringkasnya, pelajar yang bijak akan memahirkan diri dalam teknologi maklumat dan komunikasi untuk memudahkandiri mereka mencari pekerjaan yang baik pada masa depan.


Tambahan pula, kemahiran insaniah turut diperlukan oleh pelajar untuk menempuh alam kehidupan globalisasi ini.  Banyak pelajar yang masih mentah atau rapuh jiwanya alan mudah terpengaruh dengan kehidupan moden seperti penagihan dadah, isu mat rempit dan jenayah gara-gara kemahiran insaniah mereka rendah. Maka, pelajar yang tinggi kemahiran insaniah akan mampu menepis semua godaan dunia yang boleh membawa kehancuran kepada hidup mereka.


Kemahiran yang terakhir melibatkan kemahiran menyelesaikan masalah. Semua pelajar akan mengalami masalah di rumah, di sekolah, dan di luar rumah yang memerlukan kemahiran mereka untuk menyelesaikannya secara baik. Sesungguhnya, pelajar yang boleh menyelesaikan kemelut sendiri akan hidup dalam keadaan tenang dan bahagia kerana mereka menyelesaikan cabaran hidup berdasarkan kemampuan sendiri.


Kesimpulannya, semua kemahiran tadi penting dimiliki oleh pelajar kita. Namun, ada pelajar yang masih enggan mengakui keperluan kemahiran ini lalu bergantung harap kepada ibu bapa sahaja. Peribahasa tepuk dada tanya selera yang membuktikan bahawa pelajar perlu tahu kelemahan dan kelebihan diri mereka lalu membuat perubahan yang perlu jika mereka mahu menjalani kehidupan ini dengan baik.

Tuesday, September 21, 2021

Karangan SPM: Peranan dan keistimewaan pantun

Masyarakat Melayu kaya dengan puisi tradisional. Pantun mempunyai keistimewaan dan peranannya yang tersendiri dalam kalangan masyarakat dahulu dan kini.


Bincangkan peranan dan keistimewaan pantun.


Puisi traditional Melayu termasuklah pantun merupakan satu bukti kehidupan masyarakatnya yang unit. Pantun yang terhasil daripada kata-kata yang puitis dalam setiap baitnya terutama unsur tersirat yang kadangkala begitu menarik untuk dikaji. Pada masa yang sama pantun juga membuktikan falsafah bangsa yang mendalam cirinya. Sesuai dengan peribahasa 'tak lapuk dek hujan tak leaking dek panas', pantun memiliki banyak keistimewaan dan peranan yang tersendiri dalam kebudayaan masyarakat di negara ini. 


Peranan pantun yang ketara ialah sastera ini menjadi media komunikasi dan hiburan semula jadi buat masyarakat kita. Pantun digunakan sebagai lagu dan dinyanyikan untuk tujuan berhibur atau mengusik antara jantina dalam masyarakat kita. Tindakan ini menjadikan kehidupan masyarakat lebih ceria, seronok dan menarik untuk dilalui. Sesungguhnya, pantun menjadikan kehidupan masyarakat menjadi lebih bermakna.


Selain itu, pantun juga memberikan nasihat dan tunjuk ajar terutama kepada generasi muda kita. Golongan tua yang kaya dengan pelbagai nasihat dan pengalaman hidup serta amat peka dengan perubahan sesuatu perkara selalu menggunakan pantun sebagai kaedah memberi peringatan pula. Contohnya, Pantun Kiasan dalam Antologi Anak Laut yang jelas menolak sebarang usaha suka membazir dalam kehidupan manusia itu. Jelaslah, pantun boleh secara diam-diam memberi nasihat kepada masyarakat untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan.


Malahan, pantun juga dilihat sebagai satu cara untuk menyampaikan rasa penghargaan atau terima kasih kepada seseorang itu. Masyarakat kita memang terkenal dengan sikap masyarakat yang mengenang budi orang lain. Pantun yang menggunakan bait Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati membuktikan betapa tingginya konsep mengenang budi dalam masyarakat kita itu.Maka, pantun menjadi satu cara yang paling mudah untuk menyuarakan rasa terima kasih atas bantuan yang diterima daripada seseorang manusia itu.


Pantun juga dilihat sebagai satu teknik menyindir atau menempelak seseorang itu dengan lebih sopan. Masyarakat kita yang tidak suka menimbulkan masalah pergaduhan tetapi masih mahu memberi peringatan kepada orang lain telah menggunakan pantun sebagai jalan penyelesaiannya. Penggunaan pantun membolehkan hanya orang yang melakukan sesuatu tindakan yang salah itu memahaminya lalu berusaha untuk mengubah kesilapannya pada masa hadapan. Oleh itu, pantunlah yang membantu masyarakat kita mengkritik ahli yang lain tetapi masih mengekalkan suasana keharmonian dalam sesebuah masyarakat itu.


Akhir sekali, pantun juga berperanan untuk mempamerkan adat istiadat masyarakat kita. Sudah acap kali pantun digunakan sebagai pembuka kata sebagai tanda memento kebenaran atau menyampaikan hasrat terutama ketika majlis perkhawinan dan sebagainya. Penggunaan kaedah berpantun ini menjadikan suasana majlis lebih ceria dan menarik kepada masyarakat. Sesungguhnya, penggunaan pantun sebagai alat adat istiadat telah meninggikan lagi kedudukan pantun dalam masyarakat kita itu.


Kesimpulannya, pantun mempunyai keistimewaan yang tersendiri dalam masyarakat kita. Situasi ini menjadikan kedudukan pantun itu sesuatu yang bernilai dan harus dikekalkan dalam kebudayaan kita. Namun, pantun semakin lama semakin terhakis akibat perubahan zaman yang berlaku dengan pantas itu. Bak kata pepatah, 'biar mati anak, jangan mati adat' yang membuktikan bahawa pantun itu sesuatu yang berharga dalam kebudayaan kita.


Friday, September 17, 2021

Karangan PT3: Langkah popularkan subjek Sejarah

Subjek Sejarah sering dikatakan subjek yang membosankan terutama oleh pelajar sekolah.


Nyatakan langkah-langkah yang boleh dibuat untuk menjadikan subjek ini popular semula dalam kalangan pelajar.


Subjek Sejarah merupakan salah satu subjek utama dalam pendidikan negara ini. Namun, subjek ini mula dilupakan oleh pelajar sehingga ada pelajar yang tidak lagi meminati subjek tersebut. Jadi, ada pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk menjadikan subjek ini popular semula dalam kalangan pelajar kita.


Kaedah yang paling berkesan ialah guru yang mengajar subjek Sejarah perlulah lebih kreatif ketika mengajar itu. Pelajar zaman ini lebih meminati guru yang boleh memahami emosi mereka ketika mengajar sesuatu subjek itu. Lantaran itu, minat pelajar terhadap subjek Sejarah akan bertambah apabila guru yang mengajar subjek itu dipilih dengan bijaksana.


Selain itu, bahan subjek ini haruslah diubah supaya bersesuaian dengan minat pelajar itu. Penggunaan bahan subjek boleh dibuat dalam bentuk grafik yang lebih menarik lalu disebarkan menerusi penggunaan teknologi terutamanya komputer itu. Jelaslah, penggunaan teknologi boleh meningkatkan minat pelajar terhadap subjek ini.


Tambahan pula, subjek Sejarah boleh dipanjangkan masa atau tempoh pembelajarannya. Masa yang lebih panjang ini akan memudahkan guru untuk mengajar subjek itu dalam suasana yang lebih sesuai dan menarik pula. Maka, subjek ini akan lebih diminati apabila tempoh masa pembelajaranya dipanjangkan pula.


Pihak sekolah dan guru boleh menjalakan projek lawatan sambil belajar kepada pelajar mereka terutama tempat bersejarah itu. Lawatan sebegini boleh dijalankan pada hujung minggu atau ketika cuti sekolah. Akibatnya, pelajar akan lebih mudah memahami sejarah setelah melihat sendiri bangunan atau tempat yang bersejarah itu.


Kesimpulannya, subjek ini penting diberi penekanan oleh setiap pelajar di sekolah. Namun, pihak lain terutamanya ibu bapa harus juga berusaha untuk memupuk minat terhadap subjek ini dengan menggunakan kaedah tertentu pula. Peribahasa di mana ada kemahuan di situ ada jalan yang membuktikan bahawa isu ini boleh diatasi jika semua pihak benar-benar ikhlas untuk menyelesaikannya pula. 

Thursday, September 09, 2021

Karangan PT3: Peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan laman sosial dalam kalangan remaja

 Kekerapan penggunaan laman sosial dalam kalangan remaja begitu mengejutkan masyarakat sehingga pelbagai pihak mahu satu tindakan tegas dilakukan dalam menangani isu ini.


Jelaskan peranan ibu bapa dalam mengatasi isu ini.


Laman sosial merujuk penggunaan aplikasi komputer yang menghubungkan seseorang dengan individu lain secara alam maya. Kajian membuktikan bahawa laman sosial yang terkenal meliputi Facebook, Twitter, dan Instagram yang mempunyai capaian pengguna melebihi jutaan orang. Namun, penggunaan laman ini sering disalahgunakan oleh golongan muda yang memerlukan satu pendekatan baru buat ibu bapa dalam usaha mengekang fenomena globalisasi ini.


Pendekatan utama ialah ibu bapa seharusnya memahami aplikasi laman sosial ini dengan lebih menyeluruh. Kefahaman tentang aplikasi ini membolehkan ibu bapa memahami cara anak mereka menggunakan laman sosial lalu boleh mengawal mereka daripada melakukan kesilapan pula. Maka, pengetahuan ibu bapa yang meluas tentang laman sosial akan memudahkan mereka mengawal penggunaan aplikasi ini dalam kalangan anak pula.


Selain itu, aktiviti memantau penggunaan laman ini oleh ibu bapa mestilah lebih teliti dan menyeluruh. Komputer yang digunakan oleh anak boleh diisi dengan perisian yang menghalang mereka memasuki halaman sesawang yang tidak senonoh atau meletakkan peralatan canggih itu di ruang tamu sahaja. Lama-kelamaan, amalan memantau secara efektif ini akan memadamkan hasrat anak untuk melakukan perkara buruk menerusi penggunaan laman sosial.


Tambahan pula, penyalahgunaan laman sosial ini boleh dikekang menerusi didikan ibu bapa yang tidak mengawal anak secara keterlaluan tersebut. Golongan tua ini harus memberikan lebih banyak kebebasan dan keyakinan kepada golongan muda untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka. Apabila anak berasa diri mereka diberi lebih banyak suara dalam menguruskan kehidupan sudah pasti emosi golongan ini lebih tenang lalu mereka boleh berfikir secara matang ketika menggunakan laman sosial itu.


Tindakan terakhir melibatkan penggunaan nasihat oleh ibu bapa terhadap anak mereka apabila tersilap melakukan sesuatu kesalahan. Anak yang masih mentah dalam pengalaman hidup pastinya akan berasa teruja apabila ibu bapa memberi nasihat ketika mereka bermasalah dan bukannya menilai kesalahan mereka. Akibatnya, anak tidak akan menggunakan laman sosial untuk meluahkan emosi mereka yang penuh gelora itu.


Kesimpulannya, semua pendekatan tadi boleh dilaksanakan oleh ibu bapa yang prihatin terhadap keselamatan anak mereka dalam era globalisasi ini. Namun, ada sesetengah ibu bapa yang enggan menerima kenyataan lalu menolak penggunaan internet oleh anak mereka. Peribahasa kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga mengingatkan kita bahawa internet terutamanya laman sosial ada kebaikan dan keburukan yang harus ditentukan oleh pengguna itu sendiri.

Friday, September 03, 2021

Karangan SPM: Cara-cara pupuk perpaduan di Malaysia

Perpaduan amat diperlukan di negara ini terutama ketika pelbagai cabaran mendatang.

Huraikan cara-cara untuk memupuk perpaduan di negara kita.


Perpaduan merujuk satu suasana atau ikatan yang mesra antara rakyat sesebuah negara itu. Antara impak yang timbul akibat ketiadaan perpaduan ialah peperangan, sikap saling bergaduh dan juga ketiadaan pertumbuhan ekonomi yang stabil di sesebuah negara itu. Tulisan mengenai kepentingan perpaduan telah banyak kali diketengahkan oleh pihak media massa di negara ini lalu membuktikan betapa seriusnya konsep ini kepada masyarakat kita. Jadi, kaedah-kaedah untuk mencapai perpaduan di negara ini harus diketahui dengan mendalam pula.


Tindakan awal ialah konsep rumah terbuka harus diluaskan di negara ini kerana setiap kaum mempunyai perayaan yang tersendiri pula. Rumah terbuka ketika musim perayaan membolehkan sesiapa sahaja melawat rumah jiran mereka lalu mewujudkan satu persefahaman tentang kehidupan mereka itu tanpa disedari pula. Lama-kelamaan lawatan sebegini memberikan satu pandangan yang positif tentang jiran tetangga yang kemudiannya turut mengukuhkan lagi semangat perpaduan yang wujud dalam jiwa masyarakat mereka itu. Maka, perpaduan masyarakat berbilang kaum boleh dicapai melalui perluasan konsep rumah terbuka di negara ini.


Selain itu, sikap saling menghormati antara satu sama lain harus ditekankan juga. Sikap saling hormat ini menyebabkan setiap lapisan masyarakat tidak akan berani untuk mengeluarkan sebarang ungkapan atau istilah yang boleh menyinggung perasaan kaum yang lain pula. Ketertinggian pandangan terhadap perasaan individu daripada kaum lain menyebabkan rasa perpaduan itu begitu menebal dalam jiwa setiap insan di negara ini. Justeru, perpaduan akan terus menjadi sesuatu yang dihargai di negara ini jika sikap saling menghormati itu wujud dalam jiwa penduduk negara.


Malahan, satu program berunsur perpaduan boleh dianjurkan di peringkat sekolah terutama dalam kalangan remaja untuk memastikan generasi muda turut memiliki perasaan perpaduan ini. Program ini boleh menekankan pelbagai aktiviti yang melibatkan pembabitan semua pelajar daripada pelbagai kaum untuk mewujudkan satu interaksi pula. Jiwa remaja yang masih mudah sudah pasti akan mudah untuk ditanam dengan unsur perpaduan ini kerana mereka masih belum memiliki sebarang perasaan negatif terhadap kaum yang lain pula. Maka, penganjuran program yang bersesuaian dalam kalangan remaja menjadi satu mekanisme yang baik untuk memupuk perpaduan ini.


Tambahan pula, pihak media massa terutama stesen penyiaran tempatan terutama swasta boleh menyiarkan pelbagai program yang berunsur perpaduan. Rancangan hiburan, drama dan dokumentari perlulah menekankan unsur perpaduan seperti mengambil semua pelakon tanpa mengira kaum atau menyiarkan sejarah kaum yang wujud di Malaysia. Program melalui media massa ini sudah pasti akan tertanam secara perlahan-lahan dalam jiwa masyarakat terutama jika unsur hiburan turut diselitkan dalam setiap program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan akan tercapai dengan lebih mudah melalui penyiaran pelbagai program berunsur perpaduan di media massa kita.


Konklusinya, semua kaedah untuk mencapai perpaduan tadi mampu untuk dilaksanakan lalu mencapai matlamatnya. Semua pihak perlulah memberikan kerjasama yang baik terutama masyarakat demi perpaduan sejati itu. Ketiadaan kerjasama yang padu boleh membawa kemusnahan kepada negara ini pada masa yang mendatang terutama jika isu-isu sensitif terus digunakan oleh pihak-pihak terbabit pula. Peribahasa “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” membuktikan perpaduan itu amat penting buat mana-mana negara di dunia ini kerana tanpanya negara itu pasti akan mudah dijajah oleh kuasa-kuasa asing pula.

Artikel Pilihan

Karangan UASA: Cara-cara popularkan semula permainan tradisional