Friday, September 03, 2021

Karangan SPM: Cara-cara pupuk perpaduan di Malaysia

Perpaduan amat diperlukan di negara ini terutama ketika pelbagai cabaran mendatang.

Huraikan cara-cara untuk memupuk perpaduan di negara kita.


Perpaduan merujuk satu suasana atau ikatan yang mesra antara rakyat sesebuah negara itu. Antara impak yang timbul akibat ketiadaan perpaduan ialah peperangan, sikap saling bergaduh dan juga ketiadaan pertumbuhan ekonomi yang stabil di sesebuah negara itu. Tulisan mengenai kepentingan perpaduan telah banyak kali diketengahkan oleh pihak media massa di negara ini lalu membuktikan betapa seriusnya konsep ini kepada masyarakat kita. Jadi, kaedah-kaedah untuk mencapai perpaduan di negara ini harus diketahui dengan mendalam pula.


Tindakan awal ialah konsep rumah terbuka harus diluaskan di negara ini kerana setiap kaum mempunyai perayaan yang tersendiri pula. Rumah terbuka ketika musim perayaan membolehkan sesiapa sahaja melawat rumah jiran mereka lalu mewujudkan satu persefahaman tentang kehidupan mereka itu tanpa disedari pula. Lama-kelamaan lawatan sebegini memberikan satu pandangan yang positif tentang jiran tetangga yang kemudiannya turut mengukuhkan lagi semangat perpaduan yang wujud dalam jiwa masyarakat mereka itu. Maka, perpaduan masyarakat berbilang kaum boleh dicapai melalui perluasan konsep rumah terbuka di negara ini.


Selain itu, sikap saling menghormati antara satu sama lain harus ditekankan juga. Sikap saling hormat ini menyebabkan setiap lapisan masyarakat tidak akan berani untuk mengeluarkan sebarang ungkapan atau istilah yang boleh menyinggung perasaan kaum yang lain pula. Ketertinggian pandangan terhadap perasaan individu daripada kaum lain menyebabkan rasa perpaduan itu begitu menebal dalam jiwa setiap insan di negara ini. Justeru, perpaduan akan terus menjadi sesuatu yang dihargai di negara ini jika sikap saling menghormati itu wujud dalam jiwa penduduk negara.


Malahan, satu program berunsur perpaduan boleh dianjurkan di peringkat sekolah terutama dalam kalangan remaja untuk memastikan generasi muda turut memiliki perasaan perpaduan ini. Program ini boleh menekankan pelbagai aktiviti yang melibatkan pembabitan semua pelajar daripada pelbagai kaum untuk mewujudkan satu interaksi pula. Jiwa remaja yang masih mudah sudah pasti akan mudah untuk ditanam dengan unsur perpaduan ini kerana mereka masih belum memiliki sebarang perasaan negatif terhadap kaum yang lain pula. Maka, penganjuran program yang bersesuaian dalam kalangan remaja menjadi satu mekanisme yang baik untuk memupuk perpaduan ini.


Tambahan pula, pihak media massa terutama stesen penyiaran tempatan terutama swasta boleh menyiarkan pelbagai program yang berunsur perpaduan. Rancangan hiburan, drama dan dokumentari perlulah menekankan unsur perpaduan seperti mengambil semua pelakon tanpa mengira kaum atau menyiarkan sejarah kaum yang wujud di Malaysia. Program melalui media massa ini sudah pasti akan tertanam secara perlahan-lahan dalam jiwa masyarakat terutama jika unsur hiburan turut diselitkan dalam setiap program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan akan tercapai dengan lebih mudah melalui penyiaran pelbagai program berunsur perpaduan di media massa kita.


Konklusinya, semua kaedah untuk mencapai perpaduan tadi mampu untuk dilaksanakan lalu mencapai matlamatnya. Semua pihak perlulah memberikan kerjasama yang baik terutama masyarakat demi perpaduan sejati itu. Ketiadaan kerjasama yang padu boleh membawa kemusnahan kepada negara ini pada masa yang mendatang terutama jika isu-isu sensitif terus digunakan oleh pihak-pihak terbabit pula. Peribahasa “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” membuktikan perpaduan itu amat penting buat mana-mana negara di dunia ini kerana tanpanya negara itu pasti akan mudah dijajah oleh kuasa-kuasa asing pula.

No comments:

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Ciri-ciri jiran yang baik

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...