Monday, November 16, 2020

Masalah pencemaran alam begitu ketara di negara ini terutama di kawasan bandar.

Huraikan impak-impak buruk yang berlaku apabila masalah ini berlanjutan.


Pencemaran alam bermaksud keadaan yang tidak sihat atau baik yang berlaku terhadap kualiti alam sekitar. Biasanya, pencemaran ini berlaku di kawasan hutan belantara, udara, sungai, laut, dan kawasan bergunung itu. Sebenarnya, ada banyak kesan negatif yang timbul apabila fenomena alam ini berlaku secara berleluasa.


Akibat yang paling ketara berlaku apabila pencemaran alam menular ialah kesihatan masyarakat akan menjadi bermasalah pula. Perkara ini berlaku kerana pencemaran alam akan menjejaskan kualiti udara yang disedut oleh manusia sehingga menjadikan penyakit lelah sebagai satu kebiasaan. Jelaslah, udara yang tercemar itu akan membawa banyak pihak terutamanya kanak-kanak dan warga tua mengalami kesukaran untuk bernafas sehingga kesihatan mereka terganggu.


Selain itu, kehidupan harian manusia turut terjejas apabila pencemaran menjadi sesuatu yang lazim berlaku. Bekalan air ke rumah tidak akan berlaku apabila pencemaran sungai begitu teruk untuk dibersihkan oleh loji penapis air di negara ini. Akibatnya, masyarakat tidak boleh mandi, membersihkan rumah, dan memasak kerana bekalan air terganggu disebabkan oleh pencemaran sungai yang berlaku saban hari itu.


Tambahan pula, kepupusan haiwan boleh berlaku sebaik sahaja pencemaran alam sudah dilihat sesuatu yang berleluasa itu. Ketiadaan haiwan boleh menjejaskan masyarakat kerana seseorang itu tidak lagi mampu melihat haiwan ini secara liar kecuali di zoo sahaja. Sesungguhnya, generasi akan datang tidak lagi boleh melihat, menikmati, dan mendengar bunyi haiwan-haiwan yang pupus kerana pencemaran alam menjejaskan habitat semula jadi mereka itu.


Impak yang terakhir berlaku apabila alam tercemar ialah risiko berlakunya wabak penyakit akan menjadi lebih tinggi. Penebangan hutan yang keterlaluan boleh membawa peningkatan suhu dan banjir berlaku sehingga menyebarkan wabak denggi serta taun itu. Lama-kelamaan, kadar kematian akibat penyakit yang ada kaitan dengan pencemaran alam bertambah setiap tahun.


Kesimpulannya, pencemaran alam memang membawa banyak kesan negatif terhadap masyarakat di negara ini. Namun, banyak pihak masih enggan mengakui pencemaran alam berlaku di negara ini sehingga isu ini terus menjadi duri dalam daging pula. Sudah sampai masanya isu pencemaran alam ini menjadi lipatan sejarah dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.







No comments:

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Usaha-usaha bantu golongan gelandangan

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...