Monday, October 26, 2020

SPM: Sebab-sebab berlakunya penghijrahan manusia?

 Masalah penghijarahan rakyat ke sesebuah negara perlu dikawal agar nilai kecintaan terhadap negara asal tidak hilang dalam jiwa mereka.

Huraikan faktor-faktor penghijrahan rakyat sesebuah negara ke negara lain termasuk Malaysia.


Hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, maka lebih baik di negeri sendiri merupakan satu peribahasa yang mengingatkan kita betapa pentingnya rasa cinta akan negara sendiri. Namun, era moden ini telah menyaksikan banyak insan yang melupakan negara sendiri lalu berhijrah ke negara lain yang pada pandangan mereka lebih bersesuaian dengan jiwa sendiri.kebanjiran rakyat ke sesebuah negara lain bergantung pada pelbagai faktor tolakan dan tarikan tertentu. lantaran itu, pemimpin sesebuah negara termasuklah Malaysia perlu memandang serius punca-punca fenomena ini berlaku.


Punca utama penghijrahan berlaku dikiatkan dengan peluang kerja yang sangat terhad dan terkawal di negara asal. Situasi ini menjadi tolakan utama bagi rakyat di negara seperti Indonesia dan Bangladesh yang sukar memperoleh kerja di negara sendiri serta hidup dalam suasana kemiskinan tegar. Mereka sanggup berhijrah ke Malaysia dan negara-negara lain kerana sedar peluang kerja di negara luar ini lebih baik berbanding negara sendiri. Jelaslah, masalah pengangguran yang begitu teruk telah menyebabkan banyak manusia berani meninggalkan negara tumpah darah mereka sendiri kerana mencari sesuap nasi untuk keluarga yang tercinta pula.


Selain itu, suasana politik yang tidak stabil sehingga menimbulkan kekacauan atau peperangan di sesebuah negara turut menjadikan masalah penghijrahan ini sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia sejagat. Buktinya, banyak negara Arab yang mengalami pergolakan politik seperti Iraq, Syria, dan Lebanon serta Palestin yang mendorong rakyta negara itu berhijrah ke negara lain. Golongan ini memilih negara-negara yang aman dan damai seperti Malaysia, Australia, New Zealand sebagai destinasi tempat mereka untuk mendidik anak-anak dengan sempurna. Sesungguhnya, masalah politik yang sering kali bergolak itu telah menjadi pemangkin untuk seseorang manusia itu meninggalkan negara tercintanya mencari tempat yang lebh aman dan damai tersebut.


Tambahan pula, impian untuk memperoleh tangga gaji atau upah yang tinggi telah memberikan suntikan semangat kepada sesiapa sahaja untuk melangkah keluar meninggalkan negara sendiri. Banyak rakyat negara ini yang sanggup bekerja di Singapura kerana kadar upah yang diberikan oleh majikan di negara jiran itu jauh lebih tinggi berbanding negara Malaysia.  Mereka sanggup bangun pagi meninggalkan rumah di Malaysia menuju ke Singapura atau menyewa di kota raya metropolitan yang mahal itu kerana gaji yang diterima masih mampu membiayai kehidupan mereka sekeluarga dengan sempurna di Malaysia pula. Maka, mana-mana pemerintah kerajaan di dunia ini perlu mempunyai suatu ketatapan daripada segi jumlah gaji yang diberikan kepada rakyatnya sebagai satu taktik untuk mengurangkan kadar penghijrahan rakyat mereka ke negara luar.


Pada masa yang sama, masalah ini berlaku kerana ada negara yang tidak mengiktiraf kepakaran yang dimiliki oleh seseorang itu kerana pelbagai faktor tertentu.  Contohnya, bukan semua negara memerlukan pakar dalam bidang sains nuklear dan penghasilan teknologi perisian komputer sehingga menyukarkan golongan ini menjalankan kajian dalam bidang mereka itu.  Tawaran dari negara luar yang memerlukan kepakaran mereka itu bersama-sama gaji yang lumayan sudah pasti akan menarik sesiapa sahaja untuk meninggalkan negara tercinta mereka tersebut. Jadi, pihak kerajaan perlulah mengikitiraf dan memberikan insentif yang berpatutan agar golongan cerdik pandai ini tidak meninggalkan negara mereka dengan begitu mudah pula.


Ada juga pihak yang berhijrah kerana diri mereka mempunyai keinginan untuk mencari pengalaman atau menikmati kehidupan di negara orang.  Mereka ingin mengalami suasana kehidupan di negara yang mempunyai empat musim seperti Jepun, Amerika Syarikat, dan Kanada itu. Keinginan yang begitu tinggi ini menyebabkan mereka teruja untuk pergi ke sana lalu membina hidup baru di negara asing yang menjadi idaman mereka sejak kecil tersebut. Lantaran itu, penghijrahan tidak boleh dikekang jika seseorang itu benar-benar mahu meninggalkan negara asalnya kerana berhasrat menimba pengalaman kehidupan baru yang tidak boleh ditawarkan  oleh negara asal mereka itu.


Kesimpulannya, penghijrahan ke negara lain bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dikekang oleh mana-mana pihak terutamanya kerajaan. Usaha yang lebih gigih harus dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan masalah ini tidak berlaku dalam skala yang besar pula. Namun, kita perlu berusaha untuk mencari jalan agar kehidupan di negara sendiri lebih baik sebelum berhasrat meninggalkan negara sendiri itu kerana tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain yang membuktikan negara sendiri itu amat penting dalam jiwa seseorang. Mungkin sudah sampai masanya kita melihat erti semangat cinta negara ini dalam satu sudut pandangan yang lebih luas dan tidak berdasarkan amalan yang sempit sahaja.





No comments:

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Ciri-ciri jiran yang baik

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...