Wednesday, December 30, 2020

SPM: Ciri-ciri masyarakat yang mampu menjadi negara maju


Konsep negara maju merupakan sasaran pemimpin negara bagi meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju di dunia.


Huraikan ciri-ciri masyarakat yang diperlukan dalam usaha merealisasikan matlamat tersebut.


Konsep negara maju merujuk satu dasar yang diumumkan oleh pemimpin negara kita untuk membawa Malaysia menjadi negara maju setaraf dengan negara moden lainnya. Antara bahagian yang ingin dimajukan itu meliputi aspek sosial, pengetahuan sains dan teknologi serta ekonomi negara pada masa hadapan itu. Pihak akhbar sering menggunakan dasar ini sebagai bahan muka depan akhbar mereka untuk meraih sokongan rakyat terhadap usaha kerajaan merealisasikan dasar tersebut. Maka, pelbagai sikap harus dimiliki oleh masyarakat negara ini sebelum dasar ini menjadi satu realiti pula.


Sahsiah rakyat yang paling penting dimiliki dalam usaha mengejar dasar wawasan ini meliputi pegangan keagamaan yang tinggi. Konsep keagamaan dalam jiwa bangsa boleh menjadi tebal dan positif apabila kebebasan beragama dalam kalangan warganegara ini diberi keutamaan oleh pemimpin negara kita. Lama-kelamaan, semua tindakan yang dilakukan oleh masyarakat kita pasti berpandukan ajaran keagamaan yang tepat lagi sahih itu. Lantaran itu, aspek keagamaan menjadi kriteria utama dalam usaha memastikan program wawasan kerajaan ini mencapai objektifnya itu.


Selain itu, masyarakat yang rajin bekerja turut dilihat sebagai ciri yang diperlukan dalam mencapai wawasan murni ini. Semua pihak di negara ini harus melihat kerja itu sebagai satu usaha murni untuk memajukan negara terutama dalam bidang ekonomi yang penuh cabaran ini. Kerajinan masyarakat Malaysia boleh memacu ekonomi negara menjadi makmur berbanding negara jiran dalam suasana ekonomi globalisasi yang tidak menentu ini. Sesungguhnya, warganegara ini yang mengutamakan amalan suka bekerja tanpa sebarang rungutan itu boleh membantu negara kita menjadi moden pula.


Tambahan pula, kemampuan memiliki ilmu pengetahuan dalam kalangan rakyat terutama remaja penting untuk memenuhi keperluan wawasan ini. Ibu bapa perlulah menjadikan usaha menuntut ilmu ini sebagai keperluan utama dalam kehidupan anak mereka tersebut dengan memberi galakan anak pergi ke sekolah. Langkah ini boleh menjadikan Malaysia mempunyai kelompok populasi pelajar yang berilmu tinggi dalam bidang sains dan teknologi itu. Jadi, negara kita amat memerlukan rakyatnya terutama golongan muda untuk menguasai pelbagai bidang ilmu agar golongan ini boleh membantu mencapai konsep negara maju itu menjadi kenyataan sebenar.


Masyarakat negara ini juga perlulah memiliki persepsi mudah untuk menerima sebarang perubahan yang berlaku. Sikap mudah menerima perubahan ini boleh diamalkan menerusi konsep melihat terlebih dahulu kesan sesuatu sebelum membuat penilaian tertentu itu. Apabila sikap ini diamalkan semua dasar kerajaan akan dilihat secara positif lalu berusaha untuk menjadikan dasar tersebut satu kenyataan tanpa menggunakan pelbagai dalih untuk menolaknya. Akibatnya, negara ini boleh melakukan pelbagai perkara yang unik lagi menarik kerana rakyatnya bersedia menerima perubahan yang berlaku tanpa sebarang rungutan.


Akhir sekali, rakyat negara ini juga perlulah memiliki sikap mengutamakan konsep perpaduan dalam sebarang aktiviti harian mereka itu. Masyarakat negara ini boleh saling menghormati dan melihat perbezaan budaya itu sebagai sesuatu yang positif dalam mewarnai kehidupan mereka tersebut. Amalan murni ini boleh mengekang sebarang konflik yang boleh berlaku itu daripada terus merebak tanpa kawalan pula. Oleh itu, amalan perpaduan haruslah menjadi lumrah dalam jati diri rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan keturunan itu. 


Konklusinya, semua ciri yang dihuraikan tadi harus dimiliki oleh rakyat bumi ini supaya konsep negara maju itu boleh dicapai segera. Pihak berkenaan terutamanya kerajaan perlulah berusaha untuk memupuk semua kriteria ini dalam jiwa masyarakat kita tanpa banyak rungutan pula. Kegagalan untuk menjadikan ciri-ciri ini sesuatu yang lumrah dalam kehidupan masyarakat bakal menyaksikan dasar wawasan ini menemui jalan buntu itu. Bak kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri yang membuktikan kita sebagai rakyat Malaysia harus berusaha menjadikan negara ini sebuah negara maju pada masa hadapan.


No comments:

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Usaha-usaha bantu golongan gelandangan

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...