Sunday, February 07, 2021

SPM: Kaedah negara serantau hadapi krisis makanan

Krisis kekurangan makanan yang berlaku di rantau ini dapat ditangani secara berkesan melalui kerjasama antara negara serantau.


Bincangkan kerjasama yang dapat dilakukan oleh Malaysia dengan negara-negara jiran untuk menangani krisis tersebut.


Krisis kekurangan makanan di rantau ini sering dikaitkan dengan kegagalan rakyat sesebuah negara untuk menerima  makanan yang secukupnya. Antara negara rantau ini yang sering mengalami masalah kekurangan makanan meliputi Laos, Myammar, Indonesia dan India. Kemelut kekurangan makanan turut mendapat reaksi pemimpin dunia terutama apabila menghadiri sesuatu persidangan yang mendapat liputan meluas media massa itu. Sebenarnya, pelbagai tindakan yang berunsur kerjasama boleh dilaksanakan oleh Malaysia dan negara-negara serantau untuk membasmi isu yang semakin mendapat perhatian masyarakat global ini.


Langkah bekerjasama yang paling munasabah dilaksanakan oleh Malaysia dan negara jiran ialah penghantaran bekalan makanan kepada negara yang menghadapi masalah kekurangan makanan itu. Bekalan makanan yang meliputi beras, gula, tepung dan minyak masak ini boleh dihantar menggunakan saluran pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Palang Merah Antarabangsa yang sering melakukan tugas sebegini. Tindakan pantas negara-negara serantau ini boleh meringankan beban yang dipikul oleh negara terbabit terutama setelah negara itu dilanda bencana alam yang boleh membawa kemusnahan bekalan makanan secara besar-besaran seperti angin taufan dan gempa bumi. Lantaran itu, masalah kekurangan bekalan makanan selepas bencana alam berlaku boleh ditangani apabila penghantaran bekalan ini dilaksanakan dengan segera.


Selain itu, kekurangan makanan boleh ditangani dengan efektif apabila semua negara yang berjiran di rantau ini berkongsi teknologi yang mereka gunakan itu. Amalan berkongsi teknologi ini terutamanya penggunaan mesin atau jentera boleh mengurangkan penggunaan buruh manusia secara menyeluruh dalam sektor pertanian sesebuah negara itu. Malah, penggunaan jentera secara meluas turut berupaya untuk meningkatkan produktiviti iaitu menambah jumlah penghasilan sesuatu bahan makanan tersebut.  Jadi, semakin banyak teknologi yang dikongsi oleh negara serantau semakin kurangnya berlaku kejadian kekurangan bekalan makanan di kawasan ini.


Tambahan pula, negara rantau ini boleh berkongsi kepakaran masing-masing dalam bidang pertanian. Setiap negara boleh menghantar pakar mereka dalam bidang pertanian yang kemudiannya digunakan oleh petani di negara lain untuk memajukan sektor pertanian tersebut. Teknik-teknik menanam, memetik, dan memilih baka pokok pertanian sudah pasti akan didedahkan kepada petani di negara tertentu itu lalu membawa pulangan hasil yang jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini. Ringkasnya, teknik penanaman pertanian yang lebih moden berupaya untuk menghapuskan masalah kekurangan bekalan makanan yang menghantui sesebuah negara di dunia itu.


Bukan sahaja pemberian teknologi dan berkongsi kepakaran tetapi Malaysia dan negara yang lain boleh menyuntik sumber kewangan sebagai modal kepada negara yang mengalami krisis makanan itu.Pemberian peruntukan kewangan ini boleh memberikan negara tersebut kemampuan untuk membina kemudahan awam yang berupaya memajukan sektor pertanian mereka seperti pembinaan empangan dan pembelian benih pertanian yang berkualiti pula. Semua modal yang disalurkan oleh negara serantau itu menjadi cara untuk negara tertentu memodenkan lagi sistem pertanian mereka selaras dengan perubahan zaman yang mengutamakan teknologi dan penggunaan jentera itu. Sesungguhnya, pemberian sumber kewangan menjadi satu kaedah yang paling mudah dalam usaha mengekang isu kekurangan bekalan makanan ini.


Akhir sekali, kempen tentang krisis makanan ini boleh dilaksanakan oleh semua negara yang bertanggungjawab itu. Usaha mengadakan kempen kesedaran ini boleh menimbulkan rasa bertanggungjawab dalam diri setiap rakyat di rantau ini supaya melihat makanan sebagai sesuatu yang penting dan harus dikongsi bersama. Rakyat yang menyedari kepentingan tidak membazir makanan akan melakukan tindakan yang boleh mengurangkan impak krisis makanan apabila benar-benar berlaku. Maka, kempen yang dilancarkan itu akan memberi pengetahuan kepada rakyat tentang keperluan tidak membazir makanan yang diperoleh saban hari itu.


Konklusinya, krisis kekurangan makanan ini memerlukan kerjasama semua pihak terutama negara yang berjiran dengan mereka itu. Kerjasama secara holistik itu penting kerana masalah makanan ini sudah menjadi isu global yang sukar untuk diselesaikan tanpa pembabitan semua pihak. Kegagalan untuk menghulurkan kerjasama itu boleh menyaksikan angka kematian akibat kebuluran di dunia ini akan bertambah setiap tahun terutama di benua Afrika dan Asia itu. Peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat membuktikan bahawa masalah kekurangan makanan ini boleh diatasi setelah semua pihak bersatu dalam melaksanakan tugas mereka.


No comments:

Artikel Pilihan

Karangan UASA: Cara-cara popularkan semula permainan tradisional