Monday, May 17, 2021

Karangan PT3: Punca-punca kemalangan jalan raya melibatkan motosikal bertambah?

Kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal semakin banyak di negara ini.


Jelaskan punca kemalangan ini bertambah.


Kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal merujuk kejadian malang yang menimpa penunggang atau pembonceng kenderaan tersebut. Biasanya kejadian ini berlaku pada waktu sibuk dan di kawasan berselekoh tajam yang bahaya itu terutamanya waktu malam. Sebenarnya, pelbagai faktor mendorong musibah ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita yang masih enggan mengakui kesilapan sendiri.


Punca utama kemalangan motosikal berlaku disebabkan sikap penunggang kenderaan itu yang menungang secara tidak beretika. Mereka biasanya menunggang secara laju dan berbahaya ala pelumba jalanan sehingga mudah membawa kemalangan terjadi pula. Jelaslah, kemalangan motosikal berlaku akibat sikap penunggang yang tidak mematuhi peraturan jalan raya itu seolah-olah mereka sahaja yang menggunakan jalan raya.


Selain itu, penunggang motosikal juga tidak suka memakai topi keselamatan ketika menunggang itu. Sikap negatif ini menyebabkan sebarang kemalangan yang berlaku berupaya untuk meragut nyawa walaupun impaknya begitu kecil. Banyak penunggang beranggapan kemalangan tidak boleh menimpa diri mereka lalu tidak memakai topi keledar yang boleh menyelamatkan mereka daripada kecederaan teruk di kepala itu. 


Tambahan pula, kebanyakan penunggang lebih suka menunggang motosikal mereka secara berkumpulan pula. Apabila mereka menunggang secara berkumpulan ini sudah pasti bahaya akan berlaku kerana kesukaran untuk mengawal motosikal apabila kecemasan terjadi. Maka, kadar kemalangan tinggi kerana penunggang membawa motosikal mereka secara berkumpulan dalam keadaan bahaya itu.


Kajian juga telah membuktikan bahawa penunggang motosikal di negara ini tidak suka menggunakan lorong sikal yang telah disediakan itu. Keengganan sebegini menyebabkan motosikal mereka lebih mudah dilanggar oleh kenderaan lain yang dipandu dengan laju itu. Sesungguhnya, kemalangan motosikal boleh dikurangkan jika penunggang menggunakan lorong yang betul ketika di atas jalan raya itu.


Kesimpulannya, semua punca tadi telah menyebabkan kemalangan yang membabitkan motosikal bertambah saban tahun. Semua pihak terutama ibu bapa perlulah memantau kelakuan anak mereka terutama ketika berada di jalan raya. Konsep lepas tangan oleh pihak ibu bapa hendaklah dikikis kerana merekalah yang menjadi golongan awal yang boleh menasihati anak supaya menunggang motosikal secara baik.

No comments:

Artikel Pilihan

Karangan UASA: Cara-cara popularkan semula permainan tradisional