Sunday, May 23, 2021

Karangan PT3: Cara-cara penggunaan rangkaian sosial yang sihat oleh remaja

Rangkaian sosial menjadi kegilaan masyarakat zaman ini terutamanya remaja kita tetapi memahami kesannya.


Jelaskan cara-cara penggunaan yang sihat oleh remaja dalam isu ini.


Rangkaian sosial merujuk penggunaan perisian di internet yang membolehkan penghantaran pelbagai mesej kepada seseorang dengan satu sentuhan sahaja. Perisian yang popular meliputi Facebook, Twitter, Instagram, dan sebagainya. Jadi, memang ada banyak penggunaan rangkaian sosial yang sihat boleh diamalkan oleh remaja kita terutamanya di sekolah.


Penggunaan yang sihat ialah remaja menggunakan rangkaian sosial untuk berkomunikasi dengan mudah dan pantas. Mereka boleh berhubung dengan sesiapa sahaja terutamanya ibu bapa dan saudara di mana-mana sahaja mereka berada pada bila-bila masa pula. Sebenarnya, penggunaan sebegini berupaya merapatkan hubungan sesama ahli keluarga menjadi lebih mesra.


Selain itu, remaja yang bijak akan menggunakan rangkaian sosial terutamanya facebook untuk memperoleh sesuatu informasi yang penting. Banyak pihak terutamanya syarikat gergasi dan pihak kerajaan menggunakan facebook dan twitter untuk melaporkan sesuatu aktiviti yang dijalankan oleh mereka kepada masyarakat umum. Maka, penggunaan rangkaian sosial secara bertanggungjawab ini bakal menjadikan remaja sebagai insan yang bermaklumat tinggi.


Tambahan pula, rangkaian sosial boleh digunakan oleh remaja sebagai cara untuk memperoleh kenalan atau sahabat baru dalam hidup mereka. Semua orang boleh mengakses rangkaian sosial orang lain lalu mereka boleh menggunakan kaedah ini untuk mengenali kawan baru yang berada jauh dari tempat tinggal seseorang tersebut. Akibatnya, remaja menggunakan kawan baru mereka ini sebagai tempat meluahkan perasaan apabila dilanda sesuatu kemelut jiwa yang meruncing tersebut.


Akhir sekali, remaja yang berwawasan boleh menggunakan rangkaian sosial sebagai satu kaedah untuk menonjolkan bakat atau kebolehan sendiri. Bakat dalam bidang tertentu seperti memasak, menyanyi dan kemungkinan menulis boleh diketengahkan menerusi rangkaian sosial sehingga menjadikan remaja dikenali umum berdasarkan kemahiran itu. Ringkasnya, rangkaian sosial boleh digunakan oleh remaja untuk mengasah bakat mereka dalam bidang tertentu menjadi lebih baik pada masa hadapan.


Konklusinya, rangkaian sosial harus digunakan oleh remaja mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh masyarakat kita. Namun, ada remaja yang tidak sedar lalu mereka terperangkap dalam arus perdana penggunaan rangkaian sosial yang menjurus ke arah berlibur tanpa mendatangkan apa-apa hasil yang baik terhadap kehidupan mereka. Peribahasa tepuk dada tanya selera mengingatkan remaja supaya memahami sendiri penggunaan rangkaian sosial supaya sejajar dengan kehidupan mereka yang penuh dengan dugaan dan cabaran hebat tersebut.

No comments:

Artikel Pilihan

Karangan UASA: Cara-cara popularkan semula permainan tradisional