Thursday, June 17, 2021

Karangan PT3: Sebab-sebab perayaan dilupakan oleh generasi muda

Sambutan perayaan di negara ini begitu banyak tetapi ada pihak yang tidak merayakannya.


Jelaskan sebab-sebab perayaan mula dilupakan oleh generasi muda.


Perayaan bolehlah dikatakan sebagai hari kebesaran yang disambut oleh masyarakat tertentu di negara ini saban tahun. Antara perayaan itu meliputi Hari Deepavali, Hari Natal, Tahun Baru Cina, dan Hari Raya Aidil Fitri yang disambut oleh rakyat Malaysia. Namun, sudah ada generasi muda yang melupakan sambutan perayaan ini atas beberapa sebab.


Punca utama perayaan dilupakan oleh masyarakat kita disebabkan oleh golongan ini tidak memahami erti atau makna sambutan perayaan tersebut. Mereka sudah tidak melihat perayaan sebagai sesuatu budaya yang harus dikekalkan dalam kehidupan yang bergelar modenisasi itu. Akibatnya, perayaan tidak mendapat tempat dalam jiwa remaja kerana mereka sendiri tidak mampu untuk memahami maksud perayaan itu.


Selain itu, perayaan tidak diminati oleh golongan ini kerana terlalu banyak peraturan atau tradisi yang harus dipatuhi itu sebelum, semasa dan selepas perayaan. Mereka tidak suka dikawal oleh peraturan tradisi yang dilihat sebagai ketinggalan zaman itu baik dalam aspek pakaian dan sebagainya. Lantaran itu, remaja menganggap perayaan sebagai sesuatu yang mengongkong kehidupan harian mereka.


Tambahan pula, remaja tidak meminati perayaan kerana melihat amalan berkunjung ke rumah sanak saudara itu sebagai membazirkan masa. Biasanya perbualan antara keluarga ketika musim perayaan melibatkan prestasi peperiksaan remaja di sekolah yang dianggap topik membosankan remaja itu. Maka, remaja menolak perayaan kerana tidak suka ditanya pelbagai soalan mengenai persekolahan mereka itu.


Kegagalan remaja memahami konsep perayaan turut dikaitkan dengan sikap ibu bapa yang gagal mendidik mereka. Sejak kecil remaja kita tidak didedahkan dengan semangat perayaan ini kerana ibu bapa sendiri tidak membawa anak pergi menziarahi keluarga mereka pada masa perayaan. Akibatnya, remaja membesar tanpa memahami keperluan mereka untuk merayakan sesuatu perayaan tersebut.


Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa perayaan sudah dilupakan oleh masyarakat kita terutama remaja. Perayaan harus disambut dengan meriah oleh masyarakat kita. Peribahasa tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas membuktikan bahawa perayaan merupakan budaya yang harus dikekalkan sepanjang masa kerana itulah lambang sesebuah kaum.

No comments:

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Ciri-ciri jiran yang baik

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...