Wednesday, March 31, 2021

SPM: Langkah-langkah bentuk disiplin diri

Disiplin amat penting dalam kehidupan manusia.

Huraikan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk membentuk disiplin seseorang.


Disiplin merujuk satu sikap yang mengutamakan pematuhan terhadap peraturan kehidupan masyarakat. Antara contoh disiplin itu meliputi disiplin di sekolah, di rumah, dan juga di pejabat. Pihak media massa melihat isu disiplin ini semakin penting kerana sering menyiarkan sikap remaja yang suka melanggar disiplin terutama di sekolah. Jadi, ada banyak tindakan yang boleh dibuat untuk memastikan diri seseorang itu mempunyai disiplin.


Langkah yang paling mudah melibatkan usaha kerajaan melancarkan kempen tentang disiplin dalam kalangan masyarakat. Kempen ini boleh disiarkan menerusi media massa pada masa perdana terutama di televisyen negara ini. Penayangan kempen menerusi media massa ini memudahkan rakyat untuk memahami kepentingan disiplin dalam kehidupan lalu bersama-sama mengamalkannya pula. Lantaran itu, tindakan menganjurkan kempen sebegini boleh membawa lebih banyak pihak mengamalkan disiplin dalam hidup mereka.


Selain itu, amalan disiplin ini boleh dipupuk melalui usaha ibu bapa memaparkan teladan yang baik. Orang tua yang selalu berdisiplin terutama dalam aspek mematuhi masa dan bekerja boleh memberi impak kepada golongan muda juga. Anak akan memahami kepentingan disiplin setelah melihat ibu bapa mereka berusaha mematuhi disiplin sebaik mungkin. Sesungguhnya, ibu bapa yang memberi teladan sebegini boleh menjadikan generasi muda memandang disiplin sesuatu yang penting dipatuhi dengan rigid dalam kehidupan harian mereka.


Malah, kejayaan memiliki rakyat yang berdisiplin boleh dicapai jika pihak sekolah mengenakan disiplin yang ketat tanpa sebarang tindakan pilih kasih atau pilih bulu. Semua pelajar yang melakukan kesalahan akan dihukum dengan adil dan berpatutan berdasarkan kesalahan yang dilakukan tersebut. Pelajar di sekolah ini akan memahami dan menyedari bahawa setiap kesilapan akan membawa  balasan tertentu. Oleh itu, pengenalan disiplin yang ketat di sekolah boleh mendidik pelajar supaya memahami tindakan mereka boleh menimbulkan pelbagai kesan yang harus ditanggung itu.


Tambahan pula, disiplin ini boleh dipupuk atau dibentuk oleh diri remaja itu sendiri. Remaja yang bijak akan melihat disiplin sebagai satu peraturan yang dibuat supaya kehidupan mereka menjadi lebih mudah dan tersusun. Lama-kelamaan, remaja itu menyedari bahawa kejayaan dalam hidup banyak bergantung kepada kemampuan diri mereka untuk mematuhi peraturan yang ada di dunia ini. Jelaslah, diri remaja itu sendiri harus ada sikap mengutamakan disiplin dalam kehidupan seharian mereka itu.


Kesimpulannya, semua tindakan tadi memang mampu untuk memastikan disiplin dalam kalangan masyarakat kita terutama remaja begitu kukuh. Kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama daripada remaja supaya  melihat disiplin itu sebagai sesuatu yang positif dan bukannya sesuatu yang mengawal mereka. Sikap mengutamakan disiplin ini boleh membantu negara untuk mencapai wawasan yang diidamkan pada masa hadapan pula. Peribahasa biar mati anak jangan mati adat mengingatkan kita bahawa kemusnahan sesuatu bangsa itu banyak ditentukan oleh kepatuhan mereka terhadap disiplin dan peraturan dalam kehidupan harian yang sudah terkumpul menjadi budaya sesuatu bangsa pula.



No comments:

Artikel Pilihan

Karangan UASA: Cara-cara popularkan semula permainan tradisional