Wednesday, March 24, 2021

SPM: Sebab-sebab pelajar ponteng sekolah

Banyak pelajar pada zaman ini tidak berminat untuk belajar lalu sering ponteng sekolah.

Jelaskan sebab-sebab pelajar ponteng itu.


Ponteng sekolah bermaksud pelajar tidak pergi ke sekolah secara sengaja atau berpura-pura sakit itu. Antara punca yang mendorong pelajar mengambil tindakan ini banyak tetapi sikap diri sendiri turut menjadi penyebab utama isu ponteng semakin menular itu. Kemelut negatif ini telah menjadi satu masalah sosial yang mula mendapat perhatian semua pihak terutamanya daripada pihak kerajaan kita. Lantaran itu, punca-punca yang membawa ponteng sekolah berlaku harus dikaji dan difahami supaya jalan penyelesaiannya boleh diketahui.


Sebab utama pelajar negara ini ponteng sekolah dikaitkan dengan ketiadaan minat untuk belajar di sekolah tersebut. Kajian telah membuktikan bahawa pelajar tidak berminat untuk belajar kerana melihat subjek itu sebagai membosankan, sukar difahami, atau tidak mengetahui kaitan pelajaran itu dengan masa depan mereka. Kegagalan minda pelajar untuk berfikir secara matang tentang masa depan telah menjadikan ketiadaan minat untuk belajar ini sebagai sesuatu yang sukar dikikis. Akibatnya, banyak pelajar mengambil jalan mudah dengan tidak mahu pergi ke sekolah setiap hari itu.


Selain itu, sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan fenomena ponteng sekolah ini semakin menjadi-jadi di kawasan bandar. Kehidupan bandar yang mengutamakan aspek kebendaan telah mendorong ibu bapa memberikan tumpuan khusus terhadap kerjaya mereka lalu menjadikan tugas mendidik anak terabai pula. Situasi ini seolah-olah memberikan tanggapan kepada anak bahawa pendidikan di sekolah itu tidak penting kerana ibu bapa mereka sendiri tidak memberi penekanan pembelajaran di sekolah itu. Maka, kegagalan ibu bapa menjalankan tugas mendidik anak itu telah membuka peluang kepada pelajar untuk terus mengamalkan amalan ponteng sekolah ini.


Tambahan pula, pengaruh rakan telah menjadikan pelajar berani untuk tidak pergi ke sekolah apabila berasa tidak suka itu. Dalam dunia kehidupan pelajar sudah pasti nasihat, teguran, cadangan, dan pujukan rakan sebaya lebih dipercayai daripada kata-kata ibu bapa mereka sendiri. Malangnya, semua cadangan rakan sebaya itu berunsur negatif yang mampu menjejaskan imej pelajar yang masih tercari-cari identiti sendiri itu. Sesungguhnya, pelajar yang mudah dipengaruhi oleh rakan mereka akan lebih terdedah untuk terlibat dalam amalan ponteng sekolah berbanding mereka yang memiliki sahabat yang sejati.


Kemelut ponteng sekolah ini turut berlaku disebabkan cara pengajaran dan pembelajaran sesetengah guru yang tidak menarik itu. Ada guru yang selalu ponteng kelas, tidak bersedia dengan bahan pendidikan, sering bermesyuarat, dan sebagainya yang menjejaskan kualiti pembelajaran pelajar di kelas pula. Apabila perkara sebegini diamalkan oleh seseorang guru sudah pasti pelajar tidak lagi berminat untuk mendengar penerangan guru mereka ketika berada di dalam kelas itu. Jadi, pelajar sanggup ponteng kerana mereka berpendapat cara pengajaran dan pembelajaran guru tertentu tidak memenuhi keperluan diri mereka itu.


Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa ponteng sekolah sudah menjadi satu wabak yang perlu diselesaikan segera. Semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru perlulah berganding bahu serta mengubah sikap mereka jika mahu kemelut ponteng sekolah ini ditangani secara efektif pula. Kegagalan untuk menghalang budaya ponteng ini bakal menyaksikan banyak pelajar tidak akan menerima pendidikan yang sempurna dalam kehidupan mereka itu. Peribahasa pemuda harapan negara, pemudi tiang bangsa membuktikan bahawa pelajar amat penting untuk kemajuan negara pada masa hadapan terutamanya pelajar yang berpendidikan tinggi itu.



No comments:

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Ciri-ciri jiran yang baik

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...