Friday, March 05, 2021

SPM...Cara-cara menjadi pengguna bijak di Malaysia

Saban hari media massa menyiarkan berita mengenai rungutan masyarakat tentang kenaikan harga barang di negara ini. Rungutan ini membuktikan bahawa isu kenaikan harga barang bukanlah satu mitos tetapi realiti perit yang sukar untuk diterima oleh penduduk negara terutama golongan berpendapatam rendah. Sudah ada pelbagai pihak menyuarakan kaedah dan tindakan yang boleh diambil oleh pengguna untuk mengharungi cabaran kos kehidupan yang semakin tinggi itu. Jadi, apakah langkah yang boleh diambil oleh masyarakat untuk menjadi pengguna yang bijak itu?


Sudah pasti tindakan yang praktikal ialah pengguna tidak membeli barang mewah dalam kehidupan harian mereka. Maknanya, pengguna hendaklah mencari pilihan lain untuk semua keperluan barang yang dibeli berbanding pembelian sebelum harga barang naik. Kalau dahulu pengguna begitu mengutamakan produk luar negara yang harganya begitu tinggi itu sudah sampai masanya mereka beralih membeli produk keluaran tempatan pula. Jelaslah, pengguna bijak akan menolak produk luar negara yang mahal dengan membeli produk buatan tempatan itu.


Selain itu, golongan pengguna juga boleh mengamalkan amalan makan di rumah dengan lebih kerap berbanding dahulu. Kalau sebelum ini hampir setiap minggu pengguna membawa ahli keluarga menjamu selera di rumah, kini amalan itu perlu dikawal. Sikap memasak sendiri makanan menjadikan pengguna boleh mengawal kos perbelanjaan harian dan juga memastikan kualiti makanan yang dinikmati itu baik. Ringkasnya, amalan makan di luar rumah harus dikekang jika pengguna mahu memastikan diri mereka berjaya mengharungi krisis kenaikan harga barang ini.


Tambahan pula, pengguna hendaklah membuat perancangan dalam setiap pembeliannya terutama barang yang berharga mahal. Mereka boleh membuat perbandingan harga dengan menyelidik semua kedai sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu produk seperti peti sejuk, mesin basuh, pakaian, dan sebagainya itu. Tindakan membuat perancangan dan bandingkan harga ini memastikan pengguna akan menerima nilai terbaik daripada barang yang dibeli tersebut. Sesungguhnya, pengguna yang bijak akan memeriksa terlebih dahulu harga barang yang ingin dibeli sebelum membuat keputusan akhir membelinya itu.


Usaha lain untuk meneruskan kehidupan pengguna dalam keadaan negara mengalami krisis harga barang naik ialah konsep kitar semula diamalkan dengan meluas. Dalam amalan ini semua benda yang ada di rumah digunakan dengan sebaik mungkin sehinggalah benda itu tidak lagi boleh digunakan atau sudah betul-betul rosak. Misalnya, pakaian anak sulung boleh diberikan kepada anak kedua dan seterusnya atau kasut abang diberikan kepada adik. Langkah ini boleh membawa penjimatan dalam kos pembelian beberapa keperluan utama pengguna terutama pakaian dan sebagainya itu.


Pendek kata, semua langkah untuk menjadi pengguna bijak itu penting diamalkan oleh semua lapisan masyarakat negara ini. Masalah kenaikan harga barang mampu diatasi dengan efektif apabila semua tindakan di atas dilaksanakan dengan penuh daya. Namun, kegagalan untuk melakukan perkara di atas boleh menyaksikan penduduk negara ini terus dibelenggu masalah kenaikan harga barang yang mampu menjejaskan kualiti kehidupan mereka. Bak kata pepatah ukur baju di badan sendiri yang mengingatkan kita  supaya berbelanja mengikut kemampuan kewangan diri itu. 


No comments:

Artikel Pilihan

Cara-cara murid menjaga kebersihan diri