Wednesday, March 17, 2021

PT3: Kesan-kesan positif program gaya hidup sihat

Kerajaan telah menjalankan pelbagai program gaya hidup sihat untuk memastikan kesihatan rakyat Malaysia menjadi lebih baik.

Jelaskan kesan-kesan positif yang timbul daripada program sebegini.


Program gaya hidup sihat merujuk aktiviti yang dirangka oleh kerajaan untuk menghasilkan masyarakat yang sihat tubuhnya. Contoh aktiviti yang termasuk dalam program ini meliputi aktiviti berkayak, merentas desa, mendaki gunung, dan berjalan kaki di kawasan taman perumahan. Sebenarnya, program sebegini membawa banyak manfaat kepada rakyat semua.


Kebaikan yang timbul apabila program ini diamalkan oleh rakyat Malaysia ialah kualiti kesihatan peribadi mereka bertambah baik. Apabila masyarakat melihat informasi yang tertera melalui program ini sudah pasti mereka akan berusaha mengambil pelbagai tindakan untuk bersenam kerana sedar kesihatan amat bernilai. Jelaslah, program ini akan membawa kesedaran kepada rakyat untuk menjadikan diri mereka lebih sihat sejahtera.


Selain itu, kos perubatan masyarakat akan menjadi lebih rendah apabila program ini berjaya mencapai matlamatnya. Setiap ahli masyarakat tidak akan kerap menjalani rawatan di hospital kerana badan mereka lebih sihat lalu wang itu digunakan untuk kegunaan lain. Lama-kelamaan, wang lebihan ini boleh menjadikan kualiti kehidupan masyarakat lebih ceria dan bermakna.


Tambahan pula, imej masyarakat dan negara menjadi tersohor apabila program ini diamalkan dalam kehidupan harian mereka. Orang luar akan cuba memahami  kehidupan masyarakat tempatan apabila melihat kualiti kesihatan mereka begitu baik berbanding negara mereka. Ringkasnya, program yang dilancarkan itu apabila dibuat dengan berkesan akan menjadikan negara ini terkenal pada mata masyarakat dunia.


Akhir sekali, masyarakat di negara ini bakal mencapai matlamat hidup mereka apabila program gaya hidup sihat diamalkan oleh mereka. Apabila kesihatan baik sudah pasti rakyat boleh bekerja dengan sempurna, melakukan perkara yang menjadi idaman mereka sebelum meninggalkan kehidupan ini. Sesungguhnya, kepuasan diri akan di capai apabila masyarakat kita mengikuti semua program gaya hidup sihat ini.


Kesimpulannya, semua perkara tadi akan diperoleh apabila program ini disertai oleh rakyat Malaysia. Namun, ada pihak yang melihat program sebegini membazirkan wang kerajaan sahaja. Slogan badan cergas otak cerdas membuktikan bahawa kesihatan  menjadi dasar untuk memajukan rakyat dan negara dalam era kemodenan ini.



No comments:

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Ciri-ciri jiran yang baik

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...