Friday, August 20, 2021

Karangan SPM: Punca semangat kejiranan menghilang dań cara atasinya

Semangat kejiranan yang semakin luntur telah menyebabkan timbulnya berbagai-bagai masalah dalam masyarakat.


Huraikan faktor-faktor lunturnya semangat kejiranan dan cara-cara mengatasinya.


Semangat kejiranan merujuk satu perasaan yang mengutamakan jiran tetangga dalam kehidupan seseorang itu. Pengamalan semangat ini melibatkan sikap sering berbual dengan jiran, mengunjungi mereka ketika perayaan atau kecemasan serta membantu apabila diperlukan tanpa sebarang pertanyaan. Media massa turut menyiarkan pelbagai kemelut yang melibatkan aspek kejiranan di negara ini sehingga menimbulkan polemik yang meluas itu. Akibatnya, pelbagai punca kemelut ini berlaku dan kaedah untuk mengatasinya harus difahami segera.


Punca utama yang membawa lunturnya semangat kejiranan ini ialah perubahan dalam pola kehidupan masyarakat kita itu. Masa bekerja masyarakat zaman moden sudah berubah berbanding masa kerja zaman dahulu dan kesibukan bekerja itu membawa masyarakat melupakan jiran mereka. Kesibukan bekerja ini telah membawa kesukaran masyarakat untuk bertemu dan berbual sesama sendiri untuk mengukuhkan semangat kejiranan itu. Sesungguhnya, perubahan dalam gaya hidup terutama masa bekerja telah menjadikan konsep kejiranan itu semakin terhakis dalam jiwa manusia.


Selain itu, kepupusan semangat kejiranan turut dikaitkan dengan jurang status sosioekonomi masyarakat. Sudah wujud sesetengah ahli masyarakat kita yang berstatus tinggi atau bergaji tinggi yang memandang rendah jiran mereka yang bergaji kecil itu. Persepsi yang mengutamakan status diri menyebabkan kurangnya interaksi sesama jiran yang berbeza status tersebut sehingga boleh menimbulkan perasaan tidak selesa pula. Jadi, semangat kejiranan di negara ini semakin renggang kerana ada ahli masyarakat kita yang mengutamakan status sosioekonomi apabila cuba menjalin sebarang hubungan kejiranan itu.


Kemelut kejiranan ini boleh ditangani apabila pihak berkuasa mengadakan lebih banyak program berunsur kemasyarakatan di peringkat kebangsaan. Antara program itu melibatkan majlis rumah terbuka setiap kali perayaan yang disambut oleh rakyat di negara ini kerana program sebegini mewujudkan peluang rakyat untuk berinteraksi sesama sendiri. Semakin kerap program sebegini dianjurkan oleh kerajaan semakin rapatlah hubungan yang boleh dijalin sesama ahli masyarakat di negara ini yang berbilang kaum itu. Ringkasnya, program kemasyarakatan harus menjadi agenda utama kerajaan dalam melaksanakan sebarang program mereka itu.


Ibu bapa juga berperanan dalam memupuk semangat kejiranan ini dengan menyuburkan konsep jiran yang positif dalam jiwa anak mereka. Golongan tua ini boleh membawa anak mereka menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan kejiranan mereka itu seperti aktiviti kenduri-kendara dan gotong-royong itu. Apabila anak-anak didedahkan dengan amalan yang murni ini sudah pasti jiwa mereka akan terbuka lalu memahami keperluan mempunyai jiran yang rapat itu dalam kehidupan moden ini. Maka, ibu bapa mempunyai tugas berat dalam usaha memastikan semangat kejiranan di negara ini terus wujud tanpa sebarang masalah.


Kesimpulannya, semangat kejiranan di negara ini sedang mengalami satu krisis yang besar tetapi masih sempat untuk diubah situasinya itu. Semua pihak mempunyai tugas berat dalam usaha mengekalkan semangat kejiranan di negara ini kerana dugaan yang menanti begitu hebat pula. Ketiadaan semangat kejiranan boleh menyebabkan pelbagai masalah melanda Malaysia seperti perselisihan kaum, kejatuhan ekonomi, dan kemungkinan berlakunya peperangan itu amat besar. Peribahasa bersatu teguh bercerai roboh membuktikan bahawa semangat kejiranan penting dalam mengekalkan keharmonian di negara ini untuk dinikmati oleh generasi akan datang itu.


No comments:

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Usaha-usaha bantu golongan gelandangan

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...