Tuesday, October 07, 2025

Karangan UASA: Cara ibu bapa pupuk amalan pemakanan sihat

Cara Ibu Bapa Mempupuk Amalan Pemakanan Sihat kepada Anak

Pemakanan sihat amat penting untuk memastikan tubuh badan kekal cergas dan minda sentiasa tajam. Amalan ini perlu diterapkan sejak kecil agar menjadi kebiasaan hingga dewasa. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang amat besar dalam membentuk tabiat pemakanan sihat anak-anak. Hal ini demikian kerana, anak-anak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan oleh ibu bapa.

Antara cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah menjadi teladan kepada anak-anak. Ibu bapa hendaklah menunjukkan contoh yang baik dengan menikmati makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan minuman tanpa gula berlebihan. Anak-anak akan mencontohi perlakuan ibu bapa mereka kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika ibu bapa makan makanan sihat, anak-anak juga akan terdorong untuk berbuat demikian.

Selain itu, ibu bapa boleh menyediakan makanan sihat di rumah. Contohnya, mereka boleh memasak lauk yang dikukus atau direbus, bukannya digoreng. Penggunaan minyak, garam dan gula juga perlu dikurangkan. Dengan cara ini, anak-anak akan terbiasa menikmati makanan yang menyihatkan. Sediakan payung sebelum hujan — lebih baik mencegah penyakit melalui pemakanan sihat daripada menyesal apabila sudah jatuh sakit.

Seterusnya, ibu bapa boleh mendidik anak-anak tentang kepentingan pemakanan sihat. Penjelasan tentang khasiat makanan akan membuka minda anak-anak bahawa makanan sihat membantu mereka membesar dengan sihat, cergas, dan cerdas. Ilmu pelita hidup, maka pendedahan sebegini amat penting agar anak-anak bijak memilih makanan yang baik untuk tubuh mereka.

Akhir sekali, ibu bapa boleh melibatkan anak-anak dalam aktiviti memasak makanan sihat. Misalnya, ibu bapa boleh mengajak mereka membuat salad, jus buah-buahan atau sandwich sihat. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan. Bersatu teguh, bercerai roboh — kerjasama dalam keluarga menjadikan rumah tangga bahagia dan sihat.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam memupuk amalan pemakanan sihat dalam kalangan anak-anak. Dengan menjadi contoh, menyediakan makanan sihat, memberi penerangan dan melibatkan anak-anak dalam aktiviti bersama, pasti usaha ini membuahkan hasil. Sesungguhnya, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika semua ibu bapa berusaha, maka lahirlah generasi yang sihat, cerdas dan berdisiplin dalam menjaga kesihatan diri.

Monday, September 29, 2025

Karangan UASA: Kesan buruk murid tidur lewat

Kesan Buruk Pelajar Tidur Lewat

Dalam era teknologi moden ini, ramai pelajar terjebak dengan tabiat tidur lewat. Ada yang leka melayari media sosial, bermain permainan video, atau menyiapkan tugasan sekolah pada saat akhir. Walaupun dianggap perkara kecil, tabiat tidur lewat sebenarnya membawa pelbagai kesan buruk kepada pelajar. Hal ini wajar diberikan perhatian kerana pepatah Melayu ada mengatakan, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.”

Impak perdana masalah ini sudah pasti  boleh menjejaskan kesihatan pelajar. Kurang tidur menyebabkan badan tidak mendapat rehat yang cukup, lalu imunisasi tubuh menjadi lemah. Akibatnya, pelajar mudah diserang penyakit seperti demam, batuk, dan selesema. Jika keadaan ini berlarutan, ia boleh mengganggu perkembangan fizikal dan mental pelajar.

Selain itu, tidur lewat memberi kesan negatif terhadap prestasi akademik. Pelajar yang tidak cukup tidur biasanya sukar menumpukan perhatian di dalam kelas. Mereka mudah mengantuk, tidak aktif, dan lambat berfikir ketika guru mengajar. Kesannya, mereka gagal memahami pelajaran dengan baik dan keputusan peperiksaan akan merosot.

Malah,  tidur lewat juga boleh menjejaskan emosi dan tingkah laku pelajar. Kurang tidur sering menyebabkan seseorang mudah marah, stres, dan hilang sabar terhadap perkara kecil. Hal ini boleh menimbulkan konflik dengan rakan sebaya serta menjejaskan hubungan sosial di sekolah. Peribahasa ada menyebut, “kerana mulut badan binasa,” yang bermaksud sikap buruk akibat keletihan boleh membawa padah.

Akhir sekali, tabiat tidur lewat juga membazirkan masa. Pelajar yang berjaga sehingga larut malam biasanya akan bangun lewat pada waktu pagi. Keadaan ini menyebabkan mereka terlepas waktu belajar yang lebih produktif, malah ada yang ponteng sekolah kerana terlalu letih. Jika masa tidak diurus dengan baik, pelajar akan ketinggalan dalam pelajaran dan hilang disiplin diri.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa tabiat tidur lewat membawa banyak kesan buruk terhadap kesihatan, akademik, emosi, dan disiplin pelajar. Oleh itu, pelajar mestilah mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengatur jadual harian secara seimbang. Ingatlah peribahasa, masa itu emas, maka janganlah dibazirkan dengan kebiasaan yang merugikan diri sendiri.

Monday, September 22, 2025

Karangan UASA: Kepentingan memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia

Kepentingan Memartabatkan Penggunaan Bahasa Melayu

Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi identiti rakyat Malaysia. Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa ini sudah menjadi lingua franca dan terus diwarisi sehingga kini. Namun, dalam arus globalisasi, bahasa Melayu sering tercabar oleh bahasa asing. Oleh itu, usaha memartabatkan bahasa ini perlu diberi keutamaan kerana bahasa ibarat jiwa bangsa.

Keperluan utama memartabatkan bahasa Melayu disebabkan bahasa Melayu menjadi alat perpaduan antara kaum. Apabila rakyat menggunakan bahasa yang sama, hubungan persaudaraan akan lebih kukuh. Misalnya, di sekolah, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi pelajar berbilang bangsa untuk berkomunikasi. Hal ini selaras dengan peribahasa “bersatu teguh, bercerai roboh” yang menggambarkan kekuatan tercapai jika wujud perpaduan melalui bahasa.

Selain itu, bahasa Melayu penting untuk mengekalkan warisan budaya bangsa. Peribahasa, pantun, syair, dan gurindam yang lahir daripada bahasa Melayu sarat dengan nilai moral. Jika kita memartabatkan bahasa ini, secara tidak langsung kita menjaga khazanah budaya bangsa. Tepatlah kata peribahasa “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, yang melambangkan bahawa warisan bahasa Melayu akan kekal relevan walau diuji zaman.

Di samping itu, bahasa Melayu dapat memperkasa bidang ilmu dan pendidikan. Buku teks, karya akademik, dan kajian ilmiah banyak dihasilkan dalam bahasa Melayu. Hal ini memudahkan rakyat mendalami pelbagai bidang ilmu tanpa sempadan bahasa. Peribahasa “ilmu pelita hidup” menunjukkan bahawa bahasa Melayu yang digunakan sebagai bahasa ilmu mampu menjadi cahaya yang membimbing generasi muda.

Akhir sekali, memartabatkan bahasa Melayu meneguhkan kedaulatan negara. Bahasa kebangsaan adalah simbol maruah bangsa di mata dunia. Jika rakyat sendiri bangga menggunakan bahasa Melayu, orang luar juga akan lebih menghormati kita. Hal ini dapat diibaratkan melalui peribahasa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”, iaitu setiap warganegara perlu menjunjung tinggi bahasa kebangsaan sebagai tanda kesetiaan kepada negara.

Kesimpulannya, memartabatkan bahasa Melayu amat penting kerana ia menjadi lambang perpaduan, warisan, ilmu, dan kedaulatan negara. Sebagai generasi muda, kita harus berbangga menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Seperti kata peribahasa, “bahasa jiwa bangsa”, maruah sesuatu bangsa terletak pada bahasanya.

Wednesday, September 17, 2025

Karangan SPM: Kebaikan bekerja sambilan kepada mahasiswa

Kepentingan Bekerja Sambilan dalam Kalangan Mahasiswa

Dalam era globalisasi yang serba mencabar ini, mahasiswa bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, malah mereka juga digalakkan untuk menceburkan diri dalam pekerjaan sambilan. Walaupun ada yang berpendapat tugas utama mahasiswa adalah menuntut ilmu, namun tidak dapat dinafikan bahawa bekerja sambilan boleh memberikan banyak manfaat jika dilakukan secara bijak dan seimbang. Oleh itu, kita perlu meneliti kepentingan bekerja sambilan dalam kalangan mahasiswa bagi membentuk insan yang holistik dan berdaya saing.

Pertama sekali, pekerjaan sambilan dapat membantu mahasiswa menambah sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan harian. Kehidupan di kampus memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit. Makanan, pengangkutan, bahan pembelajaran, dan yuran pengajian semuanya memerlukan wang. Dengan bekerja sambilan, mahasiswa dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa mereka dan belajar berdikari dari awal. Sebagai contoh, ramai mahasiswa bekerja di restoran makanan segera, kedai buku, atau secara dalam talian sebagai penulis bebas. Peribahasa Melayu ada menyebut, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul, yang menggambarkan semangat bantu membantu meringankan beban keluarga.

Selain itu, bekerja sambilan juga memberikan peluang kepada mahasiswa untuk menimba pengalaman kerja yang berharga. Dunia pekerjaan sebenar amat berbeza dengan suasana di dalam bilik kuliah. Melalui kerja sambilan, mereka dapat belajar tentang etika kerja, disiplin masa, tanggungjawab, dan cara berkomunikasi secara profesional. Pengalaman ini boleh menjadi nilai tambah dalam resume mereka apabila mencari pekerjaan sebenar selepas tamat pengajian. Malah, ada juga yang ditawarkan pekerjaan tetap oleh majikan mereka setelah tamat belajar.

Seterusnya, bekerja sambilan membantu mahasiswa membina kemahiran insaniah atau soft skills yang penting.Mahasiswa yang bekerja sambilan berpeluang meningkatkan kemahiran komunikasi, menyelesaikan masalah, bekerjasama dalam pasukan dan mengurus tekanan. Ini semua adalah elemen penting yang dicari oleh majikan pada hari ini. Dalam dunia yang penuh persaingan, nilai akademik semata-mata tidak mencukupi. Seorang mahasiswa yang seimbang dari segi akademik dan kemahiran sosial lebih mudah mendapat tempat dalam dunia kerjaya. Peribahasa alah bisa tegal biasa amat sesuai menggambarkan bagaimana seseorang itu mampu menyesuaikan diri dengan cabaran apabila sudah biasa berhadapan dengan realiti kerja.

Akhir sekali, bekerja sambilan boleh meningkatkan keyakinan diri dan kecekalan mental mahasiswa. Dengan menyelesaikan tugasan kerja sambil mengikuti kelas dan menyiapkan tugasan akademik, mahasiswa menjadi lebih cekap mengurus masa dan tekanan. Ini secara tidak langsung melahirkan individu yang lebih tabah, berdisiplin dan cekap membuat keputusan. Malah, bekerja sambilan juga mampu menjadikan mahasiswa lebih matang dalam berfikir serta berani menghadapi cabaran hidup.

Sebagai kesimpulan, pekerjaan sambilan memberikan pelbagai faedah kepada mahasiswa dari sudut kewangan, pengalaman kerja, kemahiran insaniah, dan pembentukan sahsiah diri. Walau bagaimanapun, mahasiswa perlu bijak mengurus masa dan menetapkan keutamaan agar pelajaran tidak terjejas. Jika dilaksanakan secara seimbang, pekerjaan sambilan bukan sahaja memperkasa mahasiswa, bahkan turut melahirkan graduan yang bersedia mengharungi dunia sebenar. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan — maka mahasiswa harus merebut peluang ini demi masa depan yang lebih cemerlang

Monday, September 08, 2025

Karangan Usaha Memartabatkan Kebudayaan dan Kesenian Negara


Usaha Memartabatkan Kebudayaan dan Kesenian Negara


Kebudayaan dan kesenian merupakan warisan yang amat berharga bagi sesebuah negara. Malaysia, sebagai sebuah negara berbilang kaum, kaya dengan kepelbagaian budaya dan seni yang unik seperti tarian tradisional, pakaian, muzik, permainan rakyat dan kraftangan. Warisan ini bukan sahaja melambangkan identiti bangsa, malah mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan masyarakat. Oleh itu, usaha untuk memartabatkan kebudayaan dan kesenian negara perlu dipergiat agar tidak lapuk ditelan zaman.


Antara usaha yang boleh dilakukan ialah melalui pendidikan di sekolah. Pihak kerajaan boleh memperkasakan kurikulum dengan memasukkan elemen kebudayaan seperti tarian zapin, silat, gasing dan permainan tradisional dalam aktiviti kokurikulum. Dengan cara ini, generasi muda dapat mengenali serta menghayati budaya sendiri sejak di bangku sekolah. Peribahasa ada mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya, justeru pendedahan awal ini amat penting.


Selain itu, media massa dan media sosial juga berperanan besar. Pihak televisyen dan platform digital boleh menyiarkan lebih banyak rancangan yang menonjolkan seni tradisi seperti wayang kulit, dikir barat dan makyong. Generasi muda yang gemar menggunakan media sosial boleh diperkenalkan dengan konten kreatif tentang budaya tempatan dalam bentuk video pendek, muzik fusion atau pertandingan dalam talian. Langkah ini menjadikan seni tradisi lebih dekat di hati mereka.


Tambahan pula, penganjuran festival kebudayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa dapat menarik minat masyarakat untuk mengenali seni budaya negara. Misalnya, Festival Gamelan, Festival Kesenian Antarabangsa dan Hari Kebudayaan sekolah mampu menjadi platform untuk mempamerkan keunikan seni setiap kaum. Hal ini bukan sahaja menggalakkan pertukaran budaya, malah dapat memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai bangsa.


Di samping itu, peranan belia dan masyarakat tidak boleh dipandang remeh. Remaja haruslah menjadi pewaris yang menjaga, menghargai dan mempopularkan budaya tempatan. Mereka boleh bergiat aktif dalam kumpulan kebudayaan di sekolah, persatuan belia, atau menyertai bengkel seni tradisional. Sokongan ibu bapa dan masyarakat setempat juga penting agar budaya ini terus subur diamalkan dalam kehidupan seharian.


Kesimpulannya, usaha memartabatkan kebudayaan dan kesenian negara perlu dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua pihak – kerajaan, media, masyarakat dan belia. Jika kita bersatu hati, warisan ini akan kekal subur dan menjadi kebanggaan generasi akan datang. Peribahasa Melayu menyebut, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, demikianlah seharusnya kedudukan budaya dan seni dalam kehidupan bangsa Malaysia.

Artikel Pilihan

EXAM SEMAKIN HAMPIR PERLUKAN GURU UNTUK BELAJAR BERSAMA-SAMA