Monday, September 29, 2025

Karangan UASA: Kesan buruk murid tidur lewat

Kesan Buruk Pelajar Tidur Lewat

Dalam era teknologi moden ini, ramai pelajar terjebak dengan tabiat tidur lewat. Ada yang leka melayari media sosial, bermain permainan video, atau menyiapkan tugasan sekolah pada saat akhir. Walaupun dianggap perkara kecil, tabiat tidur lewat sebenarnya membawa pelbagai kesan buruk kepada pelajar. Hal ini wajar diberikan perhatian kerana pepatah Melayu ada mengatakan, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.”

Impak perdana masalah ini sudah pasti  boleh menjejaskan kesihatan pelajar. Kurang tidur menyebabkan badan tidak mendapat rehat yang cukup, lalu imunisasi tubuh menjadi lemah. Akibatnya, pelajar mudah diserang penyakit seperti demam, batuk, dan selesema. Jika keadaan ini berlarutan, ia boleh mengganggu perkembangan fizikal dan mental pelajar.

Selain itu, tidur lewat memberi kesan negatif terhadap prestasi akademik. Pelajar yang tidak cukup tidur biasanya sukar menumpukan perhatian di dalam kelas. Mereka mudah mengantuk, tidak aktif, dan lambat berfikir ketika guru mengajar. Kesannya, mereka gagal memahami pelajaran dengan baik dan keputusan peperiksaan akan merosot.

Malah,  tidur lewat juga boleh menjejaskan emosi dan tingkah laku pelajar. Kurang tidur sering menyebabkan seseorang mudah marah, stres, dan hilang sabar terhadap perkara kecil. Hal ini boleh menimbulkan konflik dengan rakan sebaya serta menjejaskan hubungan sosial di sekolah. Peribahasa ada menyebut, “kerana mulut badan binasa,” yang bermaksud sikap buruk akibat keletihan boleh membawa padah.

Akhir sekali, tabiat tidur lewat juga membazirkan masa. Pelajar yang berjaga sehingga larut malam biasanya akan bangun lewat pada waktu pagi. Keadaan ini menyebabkan mereka terlepas waktu belajar yang lebih produktif, malah ada yang ponteng sekolah kerana terlalu letih. Jika masa tidak diurus dengan baik, pelajar akan ketinggalan dalam pelajaran dan hilang disiplin diri.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa tabiat tidur lewat membawa banyak kesan buruk terhadap kesihatan, akademik, emosi, dan disiplin pelajar. Oleh itu, pelajar mestilah mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengatur jadual harian secara seimbang. Ingatlah peribahasa, masa itu emas, maka janganlah dibazirkan dengan kebiasaan yang merugikan diri sendiri.

No comments:

Artikel Pilihan

Karangan UASA: Kesan buruk murid tidur lewat

Kesan Buruk Pelajar Tidur Lewat Dalam era teknologi moden ini, ramai pelajar terjebak dengan tabiat tidur lewat. Ada yang leka melayari medi...