Sunday, April 04, 2021

PT3: Faedah-faedah kedatangan pelancong asing ke Malaysia?

Ratusan ribu pelancong melawat ke negara ini.

Huraikan faedah-faedah kedatangan pelancong negara luar ke negara ini.


Pelancong luar negara bermaksud pelawat yang datang ke Malaysia tetapi berasal dari luar negara. Ada pelancong asing ini yang datang dari Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Perancis, dan Indonesia serta Singapura. Maka, ada banyak kebaikan yang timbul apabila pelancong luar negara datang ke negara ini.


Manfaat yang diperoleh apabila pelancong asing datang ialah rakyat negara ini akan mempunyai banyak peluang pekerjaan. Keperluan pelancong yang mahu menggunakan pengangkutan awam, membeli makanan, menempah hotel, dan membeli-belah memerlukan sumber manusia yang banyak untuk beroperasi dengan lancar. Akibatnya, penduduk tempatan akan mempunyai pekerjaan yang menjamin sumber pendapatan bulanan yang lumayan itu.


Selain itu, pelancong yang banyak ke negara ini akan meninggikan imej negara pada mata masyarakat luar. Apabila mereka melawat Malaysia dan menikmati keindahannya sudah pasti pelancong itu akan menceritakan pengalaman unik mereka kepada rakan-rakan senegara. Ringkasnya, nama negara akan tersohor kerana pelancong asing akan menghebohkan keindahan Malaysia kepada rakyat negara mereka.


Tambahan pula, rakyat negara ini akan terdedah dengan pelbagai budaya pelancong luar itu. Interaksi dengan pelancong asing akan berlaku lalu perbezaan budaya, bahasa, pengalaman hidup boleh dikongsi bersama-sama pula. Lama-kelamaan, minda rakyat akan terbuka kerana melihat sendiri budaya pelancong luar yang berbeza tetapi unik berbanding budaya tempatan.


Kesimpulannya, kehadiran pelancong asing memang dialu-alukan oleh negara ini. Namun, ada segelintir rakyat yang mengambil kesempatan umpama menangguk di air keruh sehingga imej negara terjejas seperti mengenakan bayaran teksi yang melampau kepada pelancong itu. Sudah sampai masanya kita semua bertindak segera agar industri pelancongan negara terus berkembang pesat.




No comments:

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Ciri-ciri jiran yang baik

  Enable Ginger Cannot connect to Ginger Check your internet connection or reload the browser Disable in this text field Edit Edit in Ging...