Friday, January 22, 2021

SPM: Faedah khidmat bimbingan dan kaunseling di sekolah

Khidmat bimbingan dan kaunseling di sekolah dapat membantu pelajar menangani masalah peribadi, akademik dan kerjaya.


Huraikan faedah-faedah yang anda sebagai pelajar peroleh melalui khidmat bimbingan dan kaunseling ini.


Khidmat bimbingan dan kaunseling bolehlah ditakrifkan sebagai satu kaedah untuk menenangkan perasaan seseorang pelajar di sekolah. Pelbagai cabaran kehidu pan di sekolah dan di rumah seperti tekanan peperiksaan, hubungan sesama kawan, dan juga masalah ibu bapa telah menjadikan jiwa pelajar sering dicabar secara berterusan itu. Kajian yang disiarkan menerusi media massa telah membuktikan bahawa kejadian gejala sosial seperti kejadian bunuh diri dan kes jenayah disumbangkan oleh semua tekanan kehidupan yang dialami oleh seseorang insan itu. Lantaran itu, banyak perkara berfaedah yang boleh diterima oleh pelajar apabila khidmat sebegini wujud di sekolah mereka.


Sudah pasti faedah yang paling berkesan ialah pelajar dapat menyelesaikan pelbagai masalah peribadi yang sedang dialami itu. Kisah cinta monyet pelajar dan pergaduhan ibu bapa serta hubungan dengan ahli keluarga sering menjadi bahan utama yang mewujudkan kemelut peribadi dalam jiwa pelajar. Kekecewaan yang dialami akibat semua masalah ini hanya boleh diatasi apabila pelajar meluahkan masalah mereka kepada pihak kaunselor di sekolah itu. Sebenarnya, teknik meluahkan masalah peribadi kepada pihak ketiga ini seolah-olah melegakan tekanan yang dialami lalu masalah yang berlaku itu boleh ditangani dengan bijak lagi rasional.


Selain itu, khidmat kaunseling dan bimbingan ini boleh menyelesaikan masalah akademik yang dialami oleh pelajar dengan efektif. Banyak pelajar gagal dalam peperiksaan bukan disebabkan minda mereka tidak cerdas tetapi disebabkan oleh pelbagai faktor lain seperti ketiadaan tumpuan ketika belajar, tidak tahu menguruskan jadual belajar, dan ketidakfahaman tentang teknik belajar yang betul. Semua masalah pembelajaran ini boleh dibincangkan dengan pihak guru yang mahir dalam bidang kaunseling itu lalu pelbagai jalan penyelesaian boleh dihulurkan oleh pihak guru itu untuk diamalkan oleh pelajar. Akibatnya, prestasi pelajar dalam sesuatu peperiksaan itu akan menjadi lebih baik kerana semua kelemahan yang selama ini tidak disedari telah diberikan jalan yang betul lagi praktikal itu.


Tambahan pula, personaliti pelajar dapat dibangunkan dengan lebih mapan menerusi bimbangan kaunseling ini kerana media massa sering memaparkan seolah-olah pelajar mempunyai imej yang negatif. Pelajar sering dikaitkan sebagai kain putih yang harus diwarnakan dengan sebaik mungkin oleh pihak guru agar peribadi pelajar menjadi lebih matang dan dewasa pula. Khidmat kaunseling oleh pihak sekolah akan menegur kelakuan pelajar yang kurang menyenangkan lalu tindakan negatif itu akan dibuang kerana kelakuan yang lebih positif akan menyerlah dalam kehidupan pelajar. Lama-kelamaan, kelakuan positif pelajar ini akan menjadikan personaliti mereka lebih menarik pada masa mereka memasuki alam kedewasaan itu.


Motivasi pelajar juga boleh ditingkatkan melalui khidmat kaunseling dan bimbingan di sekolah ini. Kekerapan bertemu dengan guru kaunseling menjadikan pelajar sering menerima motivasi yang betul dalam kehidupan harian di sekolah itu lalu jiwa mereka lebih mampu untuk mengharungi cabaran. Diri pelajar yang masih mentah dalam pengalaman hidup itu perlu diberi motivasi dengan kerap supaya mereka tidak menyimpang daripada melakukan kesilapan dalam kehidupan yang boleh menjejaskan motivasi diri pula. Sesungguhnya, khidmat kaunseling ini berupaya untuk memastikan motivasi pelajar untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan dugaan ini terus subur dalam jiwa mereka itu.


Bukan sahaja masalah peribadi diselesaikan dan isu akademik pelajar dibetulkan tetapi khidmat kaunseling sebegini boleh membantu pelajar dalam menghadapi alam kerjaya  pascasekolah itu. Pelbagai maklumat tentang kerjaya dipaparkan di papan kenyataan khidmat kaunseling sekolah bersama-sama dengan usaha menjalankan seminar kerjaya yang boleh membuka mata pelajar tentang prospek mendapat pekerjaan pada masa depan itu. Teknik untuk menjawab ketika menghadiri temuduga pekerjaan atau cara berpakaian ketika bekerja juga boleh dipelajari oleh pelajar menerusi aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kaunseling dan bimbingan ini. Ringkasnya, pelajar akan mempelajari pelbagai informasi mengenai pekerjaan menerusi khidmat kaunseling yang berguna ini.


Kesimpulannya, khidmat kaunseling dan bimbingan ini memberikan banyak faedah kepada pelajar tanpa disedari oleh pelbagai pihak. Jiwa pelajar yang mudah terganggu kerana usia yang masih muda dan cabaran hidup yang mencabar membuktikan betapa khidmat kaunseling ini penting diluaskan skopnya. Pelajar yang bermasalah jiwanya pasti akan mengharungi kehidupan alam kedewasaan yang penuh dengan kemurungan dan kesedihan yang menjejaskan semua pihak. Bak kata pepatah bagai menatang minyak yang penuh membuktikan bahawa didikan sejak awal amat penting tetapi penting dilaksanakan untuk melahirkan pelajar yang berkualiti lagi syumul sifatnya.

No comments:

Artikel Pilihan

Karangan Kepentingan Bulan Sukan Negara