Wednesday, October 14, 2020

Karangan PT3...Punca-punca kejadian keracunan makanan

Masalah keracunan makanan yang berlaku dalam kalangan pelajar semakin menjadi-jadi terutama ketika masa persekolahan berlaku.

Huraikan pendapat anda tentang punca-punca kejadian ini.


Keracunan makanan bermaksud kejadian yang melibatkan makanan yang tidak bersih lalu membawa kesakitan kepada manusia. Kejadian ini sering berlaku di kawasan kantin sekolah, kantin kilang, dan juga ketika sesuatu majlis itu. Maka, faktor-faktor yang membawa berlakunya kejadian ini haruslah difahami oleh semua pihak dengan baik.


Faktor utama yang membawa perkara ini berlaku ialah penyediaan makanan yang tidak bersih oleh pihak yang bertanggungjawab dalam aspek menyediakan makanan itu. Ada penyedia makanan itu tidak menjaga kebersihan apabila menyediakan makanan seperti membasuh ayam dan sayur dengan sempurna. Akibatnya, makanan yang dimasak itu tidak bersih lalu akan membawa keracunan kepada pelajar yang mengambilnya pula.


Selain itu, keracunan makanan turut berlaku apabila kawasan persekitaran tidak bersih terutamanya kawasan kantinsekolah. Banyak kawasan persekitaran yang dipenuhi sampah-sarap sehingga menjadikan kawasan tersebut dipenuhi lalat yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit. Lantaran itu, kawasan yang dipenuhi sampah ini akan memudahkan lalat menghurungi makanan lalu menularnya wabak keracunan makanan tersebut.


Tambahan pula, aspek penularan keracunan makanan ini sering dikaitkan dengan sikap pelajar itu sendiri yang tidak mempunyai kesedaran untuk menjaga kesihatan diri. Ada pelajar yang tidak membasuh tangan selepas keluar dari tandas lalu menyentuh makanan yang boleh membawa gejala negatif ini menimpa diri mereka. Jelaslah, tindakan yang melihat kebersihan diri sebagai tidak penting telah menjadikan masalah keracunan makanan ini begitu serius di Malaysia.


Kemelut keracunan makanan ini juga disebabkan oleh penggunaan makanan yang sudah tamat tempohnya atau tarikh luput. Banyak penyedia makanan kantin menggunakan bahan makanan yang sudah tamat tempohnya kerana mahu mengaut keuntungan yang banyak tanpa memikirkan keselamatan pelajar. Akibatnya, kejadian keracunan makanan terus menerus berlaku di sekolah.


Kesimpulannya, keracunan makanan sudah menjadi satu kelaziman di negara ini kerana banyak pihak memandangnya sebagai perkara remeh sahaja. Isu ini perlu diatasi segera dengan melakukan perubahan minda masyarakat terutamanya penghuni sekolah tentang aspek kebersihan diri itu. Slogan badan sihat otak cerdas mengesahkan betapa pentingnya kesihatan diri yang tinggi pada setiap pelajar di Malaysia itu.



No comments:

Artikel Pilihan

Karangan UASA: Cara-cara popularkan semula permainan tradisional