Friday, October 08, 2021

Karangan PT3: Sebab-sebab ibu bapa enggan anak mereka terlibat dalam kokurikulum

Aktiviti kokurikulum telah diwajibkan kepada pelajar tetapi masih ada yang enggan melaksanakannya.

Jelaskan sebab-sebab ibu bapa tidak mahu anak mereka terlibat secara aktif dalam aktiviti ini.


Kokurikulum merujuk aktiviti luar sekolah yang dilakukan oleh pelajar selepas waktu persekolahan. Antara aktiviti itu meliputi kadet sekolah, persatuan bulan sabit merah, pandu puteri, pengawas, dan bola sepak yang menjadi kegilaan pelajar menyertainya. Namun, banyak ibu bapa tidak mahu anak mereka terlibat dalam aktiviti ini disebabkan oleh pelbagai faktor.


Punca utama ibu bapa menegah anak mereka terlibat secara aktif dalam kokurikulum kerana mereka melihat amalan ini akan menyebabkan anak itu berasa letih. Apabila anak mereka letih sudah pasti pelajar itu tidak bertenaga untuk membuat revisi pelajaran yang dipelajari di sekolah tadi. Akibatnya, ibu bapa lebih gembira jika anak mereka tidak terlibat dalam kokurikulum supaya mereka mampu belajar sehingga lewat malam.


Selain itu, rasa bimbang anak mereka terlibat dalam sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kecederaan tangan dan kaki. Ada aktiviti kokurikulum yang agak keras latihannya seperti aktiviti seni pertahanan diri dan acara sukan ragbi serta hoki yang boleh membawa kecederaan kepada pelajar. Ringkasnya, ibu bapa berasa bimbang tentang keselamatan anak lalu lebih suka anak tidak terlibat dalam aktiviti luar darjah itu.


Tambahan pula, ada pelajar yang sengaja menggunakan alasan aktiviti kokurikulum untuk ponteng sekolah. Mereka memberitahu ibu bapa bahawa di sekolah ada aktiviti kokurikulum tetapi mereka menghabiskan masa di tempat kafe siber tanpa pengetahuan ibu bapa. Akibatnya, ibu bapa melarang terus anak mereka daripada aktiviti ini supaya mereka tidak berpeluang untuk melakukan perkara ponteng sekolah itu.


Kesimpulannya, semua ibu bapa yang prihatin tidak mahu anak mereka terlibat dalam kokurikulum tersebut. Namun, pelajar yang tidak terlibat dalam aktiviti sebegini pastinya akan terlepas pelbagai peluang yang menarik untuk menjalani kehidupan mereka di sekolah itu. Peribahasa tepuk dada tanya selera yang membuktikan bahawa setiap pelajar harus memahami keperluan dalam hidupnya termasuklah keperluan untuk melakukan aktiviti luar dajah itu.

No comments:

Artikel Pilihan

Karangan UASA: Cara-cara popularkan semula permainan tradisional