Friday, August 14, 2020

Cara-cara pihak berkuasa mengekang kejadian banjir daripada menular

Kejadian banjir yang melanda negara ini perlu dibanteras segera supaya kehidupan masyarakat bertambah baik.

Huraikan cara-cara yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengatasi banjir ini.


Rangka:

Skop: kejadian banjir

Tajuk: cara atasi

  1. Kenakan hukuman yang berat kepada pembalak haram
  2. Selenggara sistem perparitan
  3. Wujudkan kawasan hutan/hijau lebih banyak
  4. Bina benteng kawalan banjir


Kejadian banjir merujuk fenomena bencana alam yang boleh meragut nyawa manusia itu. Peristiwa malang ini bukan sahaja meragut nyawa tetapi turut memusnahkan harta benda dan menjejaskan kehidupan harian masyarakat. Sebenarnya, ada banyak tindakan yang boleh diambil untuk mengekang kejadian banjir ini.


Langkah yang paling efektif melibatkan usaha kerajaan mengenakan hukuman yang berat kepada pembalak haram di Malaysia. Semua pembalak haram yang ditangkap boleh dikenakan hukuman penjara yang panjang tempohnya dan denda yang tinggi turut perlu dibayar oleh mereka. Akibatnya, hutan tidak akan mudah dimusnahkan oleh pembalak lalu hutan menjadi kaedah yang berguna untuk mengurangkan banjir pula.


Selain itu, penyelenggaraan sistem perparitan boleh dilakukan oleh pihak berkuasa sebagai langkah susulan untuk mengurangkan impak banjir ini. Kerja-kerja pembersihan sistem perparitan secara berkala hendaklah dibuat supaya tidak berlaku gangguan aliran air ketika hujan lebat. Lama-kelamaan, penyelenggaraan yang sistematik ini akan memastikan pengaliran air hujan berjalan lancar lalu banjir sukar berlaku.


Tambahan pula, banjir boleh dikawal apabila lebih banyak kawasan hijau diwujudkan oleh kerajaan. Lebih banyak projek penanaman semula hutan dilakukan oleh kerajaan bersama-sama usaha membina lebih banyak kawasan hutan simpan negara. Sesungguhnya, kawasan hijau yang lebih banyak akan menyebabkan aliran air ke kawasan sungai menjadi lebih perlahan lalu risiko berlakunya banjir menjadi rendah.


Langkah terakhir melibatkan usaha membina benteng kawalan banjir yang lebih baik di kawasan berisiko tinggi itu. Pembinaan benteng banjir ini boleh dibuat di kawasan berhampiran sungai supaya limpahan air boleh dikawal dengan berkesan. Lama-kelamaan, kewujudan benteng banjir ini boleh menghalang bencana alam ini daripada berlaku nanti.

Kesimpulannya, semua tindakan tadi berupaya menghalang banjir berlaku secara kerap di Malaysia. Namun, wujud segelintir rakyat Malaysia yang enggan bekerjasama membantu mengekang kemelut ini kerana mereka terus memusnahkan hutan dan membuang sampah merata-rata. Peribahasa sediakan payung sebelum hujan harus menjadi pegangan masyarakat agar kemelut banjir ini boleh ditangani secara menyeluruh pula.

No comments:

Artikel Pilihan

Karangan UASA: Cara-cara popularkan semula permainan tradisional